Tubuh Jawatankuasa Syariah Kaji Pelantikan Mueller

HARAKAHDAILY | .



KUALA LUMPUR: "Saya bimbang MAS sudah lama kehilangan berkatnya," kata Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.


Maka, kata beliau jadikanlah peluang penyusunan semula MAS untuk meraih keuntungan yang barakah.

"Untungnya banyak dan manfaat untuk negaranya berganda. Ia tidak hanya bergantung kepada pengurusan yang cekap tetapi juga hala tuju, dasar dan urustadbir pengurusan perniagaan berlandaskan Islam menerusi syariah compliant (patuh Syariah), sesuai dengan Islam sebagai agama Persekutuan," ujarnya dalam satu kenyataan, seperti di bawah.

Saya tidak menafikan prinsip put the right person on the right position dalam isu penentuan CEO MAS yang baharu. Islam pun memperihalkan secara teliti persoalan kelayakan dan kemampuan dalam perlantikan seseorang ketua.

Namun, dalam soal menerajui MAS sebagai sebuah syarikat penerbangan negara, tidak memadai sekadar seseorang itu berkeupayaan memulihkan angka untung-rugi MAS. Berkait dengan ini pun, ketidakyakinan yang disuarakan oleh Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed berasas.

Walaupun secara jangka pendek Mueller mungkin boleh memulihkan MAS, namun secara jangka panjangnya beliau belum tentu dapat memacu pertumbuhan keuntungan MAS mengambil kira cabaran mengendalikan syarikat penerbangan di rantau Asia Tenggara adalah berbeza dengan Eropah kerana institusi itu tidak dimiliki oleh kerajaan.

Apa yang lebih penting ialah CEO yang dilantik itu mestilah juga memiliki dan menghayati aspirasi yang dikongsi oleh seluruh rakyat Malaysia dan menganut faham makna yang sesuai dengan citra rakyat negara ini yang berbilang kaum dan menjadikan Islam sebagai agama Persekutuan dalam konteks hak dan tanggungjawab, kebebasan, perpaduan, kebudayaan dan keagamaan.

Jika tidak, dia akan mengoperasikan MAS melampaui kerangka yang dipersetujui oleh kita termasuklah mengekalkan perkara-perkara yang tidak menepati syariah pada aspek penampilan atau pemakaian pramugari dan penyediaan minuman keras semasa penerbangan serta caj arak dalam bayaran tiket. Perkhidmatan penerbangan negara harus sekali menjadikan ajaran Islam sebagai garis panduan dalam menyediakan perkhidmatan.

Oleh yang demikian, saya mendesak agar Kerajaan dan Khazanah Nasional Berhad mengkaji semula pemilihan dan perlantikan CEO baharu MAS dengan mengambilkira pandangan yang dikemukakan oleh tokoh pemimpin negara seperti Tun Mahathir, dan juga bekas CEO MAS seperti Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman yang tetap mahukan MAS dikendalikan oleh seorang ketua warga tempatan.

Saya juga mendesak agar Kerajaan dan Khazanah Nasional Berhad menubuhkan sebuah Jawatankuasa Syariah dalam pentadbiran MAS dengan memasukkan item penubuhan jawatankuasa ini sebagai sebahagian daripada pelan 12 perkara pemulihan MAS bagi memastikan urusan pengendalian kewangan dan penyediaan perkhidmatan penerbangan MAS adalah patuh syariah.

Saya bimbang MAS sudah lama kehilangan berkatnya. Maka jadikanlah peluang penyusunan semula ini untuk meraih keuntungan yang barakah. Untungnya banyak dan manfaat untuk negaranya berganda. Ia tidak hanya bergantung kepada pengurusan yang cekap tetapi juga hala tuju, dasar dan urustadbir pengurusan perniagaan berlandaskan Islam menerusi syariah compliant (patuh syariah), sesuai dengan Islam sebagai agama Persekutuan. - HARAKAHDAILY 9/12/2014

0 comments: