Wahai Pemuda, Fokus & Perkemaskan Jentera Kamu



USTAZ HAFIZ MUSA | .


FIRMAN Allah SWT dalam Surah as-Soff;“Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang berjuang di jalan-Nya dengan tersusun ibarat bangunan yang tersusun kukuh.”



Saidina Ali r.a. pernah berkata: “Kebenaran tanpa perancangan akan dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun kemas!”




Pimpinan Pemuda di setiap peringkat wajib menyedari bahawa mereka diberi amanah untuk memimpin sebuah entiti penting dalam organisasi besar PAS. Jatuh bangun PAS terletak sejauh mana sayap kanan PAS ini berperanan. 




Berdasarkan ayat Allah dan kalam sahabah di atas, inilah fokus yang dituntut oleh Islam. Kita menyusun dan perkemaskan gerak kerja jentera di semua peringkat bagi memenuhi fasal penubuhan PAS iaitu, masyarakat yang terlaksana di dalamnya syariat Islam. Tidak sekadar itu, penyusunan tersebut juga bagi memenuhi gagasan Jemaah PAS dan kehendak muktamar, mendapat kuasa pemerintahan bagi tujuan menegakkan keadilan melalui pilihan raya – muwajahah silmiyyah.




Juga termasuk dalam ketetapan muktamar adalah memperkukuh Pakatan Rakyat. Sama ada kita terima atau tidak, kita terpaksa terima hakikat bahawa syura muktamirin telah membuat keputusan untuk kita bersama-sama dengan PKR dan DAP bagi tujuan mendapatkan kuasa pemerintahan.




Melaksanakan keadilan dan kebajikan untuk rakyat juga merupakan tuntutan Islam. Kita perlu fokus. PAS berbeza dengan gerakan-gerakan dakwah lain yang mungkin fokus dakwahnya berbentuk seruan ibadah formal semata-mata atau mungkin terdiri daripada orang-orang berkelulusan sahaja. PAS sebuah bahtera besar dan bak kata Tuan Guru Presiden sebelum ini, semua jenis manusia ada dalam bahtera besar ini.




Mereka yang alim, jahil, tua, muda, muslimat, profesional, ulama, orang kelainan upaya (OKU) bahkan kaki dadah dan jenis tidak solat pun ada dalam jemaah PAS. Justeru semua itu perlu disusun dan diatur mengikut kadar kemampuan masing-masing, tidak lain hanya semata-mata untuk Islam.




Antara kemahiran khusus yang perlu ada pada kepimpinan pemuda adalah menyusun atur sumber manusia yang kita miliki ini. Mereka yang bergelar ‘ustaz’ diberi amanah untuk pimpin qiamulail dan program-program agama, ‘mat-mat gitar’ yang rajin melepak hingga dinihari diberi peranan berjaga malam (hirasah) menjaga keselamatan awam, mereka yang mahir panjat pokok pula diberi peranan pasang bendera dan begitulah seterusnya.





Kita harus menyedari bahawa semua sumber manusia ini memiliki hak yang sama di sisi Perlembagaan Persekutuan. Tidak mengira mereka ini ustaz atau langsung tidak mengetahui asas-asas agama, kesemuanya sama sahaja iaitu mempunyai hak satu undi dalam pilihan raya. Maka sewajarnya kesemua ini menjadi sasaran sebagai mad'u kita.




Kita juga harus menerima hakikat bahawa semua orang ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Hanya dengan kerjasama dan bertolak ansur sahaja kita akan kuat. Sifat mengasingkan diri dan melabel individu hatta mencantas mereka dalam parti ini hanya akan merugikan parti sahaja.




Selain itu, tarbiyah di medan dengan pengagihan peranan khusus merupakan sebahagian daripada konsep tarbiyah dalam gerakan Islam. Contoh yang boleh kita ambil adalah peristiwa Hijratul Rasul. Ali diberi peranan berada di tempt tidur Nabi, Abu Bakar menemani musafir Nabi, hatta orang bukan Islam, Abdullah bin Uraiqit juga berperanan sebagai petunjuk arah Nabi menuju ke Madinah! Semuanya ini disusun demi kepentingan dakwah dan perkembangan Islam.





Buat akhirnya, terdapat tiga konsep yang perlu ada bagi membolehkan kita berjaya dalam perjuangan yang panjang ini:





1. Asleh Nafsaka Wad'u Ghairuka (Perbaiki diri dan terus berdakwah pada yang lain)

Asleh Nafsaka Wad'u Ghairuka – Perbaiki akhlak dan budi pekerti kita kerana masyarakat akan menilai berdasarkan tingkah laku dan tutur kata kita. ‘Asleh’ ini juga termasuklah dalam komunikasi kita sama ada di facebook atau WhatsApp. Juga perkemaskan ukhuwwah sesama kita, tambah ilmu dan jaga hubungan dengan Allah.





2. Sharpen The Saw (Pertajamkan gergaji kamu)

Sharpen The Saw – Diambil daripada buku Stephen R Covey, 7 Habits Highly Efective People. Kita perlu mengenal pasti kelemahan diri dan jentera sebelum kita masuk di medan juang. Perbaiki efficiency kerja dan perkemaskan pengkalan data. Gerak kerja perlu berstrategi dan pintar. Penting sebab takut-takut kita berhabis masa dengan gergaji tumpul, masa habis dan kayu tidak putus.




3. Wajibaatuna Akthar Min Awqaatina (Kewajipan kita lebih banyak daripada masa yang kita ada)

Wajibaatuna Akthar Min Awqaatina – Masa kita terhad. Perlu disusun keutamaan kerja dan disiplin diri. Peruntukkan masa setiap hari untuk berfikir dan bekerja untuk perjuangan walau sesibuk mana pun kita. Musuh terus bergerak dan jangan pula kita terus bercakaran. Fokus, kerana kita telah diamanahkn untuk menegakkan panji Islam! –HARAKAHDAILY 2/12/2014



Ustaz Hafiz Musa ialah Exco Pemuda Pas Malaysia

0 comments: