Wakil Pembangkang Tidak Dipanggil Untuk Banteras Dadah

HARAKAHDAILY | .



KUALA TERENGGANU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu hari ini kecoh seketika apabila Adun daripada PAS dan PKR mempertikaikan kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Sumber Manusia negeri, Datuk Rozi Mamat berhubung usaha membanteras penyalahgunaan dadah.



Rozi ketika menjawab soalan Adun Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman mengajak semua pihak termasuk pembangkang untuk membendung kegiatan penagihan dadah di dalam masyarakat.


Ekoran itu, Adun Bukit Tunggal, Dr Alias Razak (foto) bangun mencelah supaya usaha itu tidak menimbulkan salah faham.


"Jangan salah faham, kita tidak dipanggil di peringkat negeri dan kawasan. Kita sedia jika dipanggil tapi tidak libatkan pembangkang," ujar Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri itu.


Keadaan menjadi kecoh apabila Rozi mengatakan pihak pembangkang juga dilibatkan di peringkat berkenaan dalam usaha mencegah penyalahgunaan dadah.


Penjelasan itu menyebabkan Ustaz Mohd Nor Hamzah (PAS-Bukit Payong), Azan Ismail (PKR-Bandar) dan Datuk Tengku Hassan Tengku Omar (PAS-Ladang) mencelah mempertikaikan apa yang dikatakan exco berkenaan.


"Bila kita diberi mempengerusikan mesyuarat peringkat Dun?" tanya Mohd Nor.


Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman terpaksa masuk campur untuk membantu Rozi menjawab pertanyaan yang dibangkitkan oleh wakil-wakil pembangkang itu.


Begitupun, penjelasan Ahmad Razif yang mengatakan adalah tidak betul jika usaha untuk menyelesaikan masalah dadah dibebankan kepada kerajaan sahaja masih tidak memuaskan.


Ekoran itu, Yang Dipertua Dun, Datuk Mohd Zubir Embong meminta supaya ahli dewan tidak terus menimbulkan kekecohan dan mengarahkan supaya beralih kepada soalan daripada Adun berikutnya. - HARAKAHDAILY 11/12/2014

0 comments: