KENYATAAN MEDIA YAB MENTERI BESAR KELANTAN 3 JANUARI 2015


KENYATAAN MEDIA YAB MENTERI BESAR KELANTAN

Firman Allah Taala:

وَأَمْطَرْنَا عَلَيْهِم مَّطَراً فَسَاءَ مَطَرُ المُنذَرِينَ

Maksudnya: Dan Kami hujani mereka dengan hujan yang menggerunkan, maka amat teruk sekali hujan yang menimpa orang-orang yang telah diberi peringatan itu. (Surah Al-Syuara' : 173)


Pasca banjir yang terjadi pada kali ini merupakan ujian yang begitu berat kepada Kerajaan dan rakyat Kelantan tambahan pula ada sesetengah pihak yang menuding jari menyalahkan pihak Kerajaan Negeri sebagai penyebab kepada banjir besar yang melanda Negeri ini.


Setelah Cameron Highlands dilanda banjir lumpur sedikit waktu dahulu dan dengan banjir besar yang berlaku baru-baru ini, ada pihak-pihak tertentu dengan pantas menuding jari kepada pembalakan berleluasa di Tanah Tinggi Lojing sebagai penyebab kepada banjir besar di Negeri ini. Saya dengan tegas menyangkal tuduhan ini kerana kerja-kerja pembalakan telah dibekukan di Tanah Tinggi Lojing sejak tahun 2006 lagi.


Hakikatnya hujan lebat yang berterusan di Gua Musang untuk 3 hari berturut-turut pada 21-23 Disember 2014 telah mencatatkan taburan hujan tertinggi iaitu 1,295mm yang bersamaan dengan taburan hujan bagi 64 hari. Ini adalah berdasarkan rekod rasmi Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri manakala Jabatan Meteorologi juga telah mengemaskini amaran Jingga di mana hujan lebat di semua daerah di Kelantan bermula 20-24 Disember 2014 telah menyebabkan peningkatan paras air di hampir semua sungai utama di Kelantan.


Ini adalah kekuasaan Allah Taala yang telah menurunkan hujan pada kadar jumlah yang amat banyak dalam jangka waktu yg amat singkat. Kekuasaan Allah mengatasi segala sesuatu. Upaya manusia hanyalah melalui izin-Nya. Allah menurunkan ujian ini kepada kita semua untuk kita merenung akan kekuasaan-Nya.


Saya dengan ini menyeru seluruh rakyat Negeri ini agar menginsafi isyarat daripada Allah ini. Jadikanlah ujian banjir ini sebagai penyebab untuk kita menambah pahala, bukannya penyebab untuk kita menambah dosa. Dalam fasa selepas banjir ini, sama-samalah kita membantu untuk memulihkan semula kawasan-kawasan yang musnah dan menolong mangsa-mangsa banjir yang kehilangan kediaman dan keperluan asasi mereka.


USTAZ DATO' HAJI AHMAD YAKOB
Menteri Besar Kelantan

Bertarikh: 13 Rabiul Awwal 1436 / 3 Januari 2015


0 comments: