Tangguh Bonus Kakitangan Kerajaan : 1Malaysia Janji Dicapati


KENYATAAN MEDIA
PEMUDA PAS MALAYSIA


Tangguh Bonus Kakitangan Kerajaan : 1Malaysia Janji Dicapati

Pemuda PAS Malaysia (PPM) membantah penangguhan bayaran bonus kepada kakitangan kerajaan yang sepatutnya dibayar pada hari ini. Ini kerana penangguhan tersebut tidak disertakan alasan dan tiada tarikh gantian untuk pembayaran tersebut.

Sebahagian jabatan kerajaan menetapkan pembayarannya bersekali dengan bayaran gaji penghujung Januari ini. Ia sangat lewat daripada dijadualkan. Hal ini menampakkan kelemahan yang amat ketara dalam pengurusan kewangan Kerajaan Persekutuan yang ditadbir oleh Barisan Nasional (BN) dan menimbulkan persoalan yang amat serius terhadap keupayaan kewangan negara pada ketika ini sehingga menjadikan hampir 1.5 juta kakitangan awam sebagai mangsa keadaan.

Selain itu, hasil daripada pemantauan PPM, terdapat badan-badan berkanun yang masih belum membuat keputusan untuk membayar atau tidak dan jumlah bonus yang sepatutnya dibayar kepada kakitangan mereka walaupun sudah masuk tahun 2015. Di antaranya adalah kakitangan di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) seperti di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan beberapa badan lain.

Bebanan kos sara hidup dan persiapan kemasukan ke sekolah bagi anak-anak kakitangan awam yang bermula pada minggu hadapan pastinya akan terganggu dengan penangguhan pembayaran bonus tersebut. Segala perancangan kakitangan kerajaan juga telah tergendala disebabkan tindakan tidak bertanggungjawab Kerajaan BN ini.

Apatah lagi ada dikalangan kakitangan kerajaan di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak terlibat menjadi mangsa banjir minggu lalu akan menambah derita golongan ini.

Dalam masa yang sama Perdana Menteri dan anggota kabinet menghabiskan cuti dengan belanja yang besar dan kakitangan kerajaan diminta berkorban dan berjimat. Ia sesuatu yang tidak adil! Di mana perginya slogan "Kami mendengar luahan rakyat!", "Rakyat Didahulukan atau "Kepimpinan melalui teladan" yang diwar-warkan sebelum ini?

Justeru itu, Pemuda PAS Malaysia menuntut agar kerajaan segera membayar bonus tersebut selewat-lewatnya di dalam minggu ini juga. Kerajaan juga mesti memantau dan bertindak segera terhadap badan badan berkanun yang belum membuat keputusan untuk membayar bonus kepada kakitangan mereka.


MOHD NASAIE ISMAIL 
Ketua Penerangan
Pemuda PAS Malaysia

0 comments: