Hari Kelahiran GST


1. Setuju atau tidak, hari ini rakyat terpaksa sambut kelahiran GST. Satu sistem percukaian baru diperkenalkan oleh kerajaan UMNO dan BN bagi menggantikan cukai SST sebelum ini. Mudahnya cukai GST ini ialah Cukai (yang dikenakan) Barangan dan Perkhidmatan. Semua rakyat tanpa mengira miskin dan kaya terlibat dengan pembayaran cukai GST.

2. Kesan langsung dari GST ini ialah kenaikan harga barang. Tiada siapa yang boleh menafikan kesan ini. Malah lebih runcing apabila terdapat peniaga yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barang sewenangnya atas nama GST. Kerajaan berjanji mahu memantau peniaga agar tidak menaikkan harga barang. Namun ini adalah lagu klasik yang sudah kerap kita dengar.

3. Sebelum lahirnya "makhluk songsang" bernama GST ini, dengan kenaikan harga minyak, menjelang hari raya dan sebagainya, kerajaan sudah acap kali menyebut bahawa kami akan pantau peniaga. Realitinya, pemantauan hanya berlaku seminggu dua dan hanya tertumpu di beberapa tempat tertentu. Sedang kesempatan naik harga ini berlaku di seluruh negara.

4. Kelahiran GST menjadi igauan ngeri kepada rakyat khasnya mereka yang miskin. Mereka tetap akan menjadi "mangsa" GST. Justeru GST adalah seperti "mesin memerah" hasil dari rakyat untuk mengisi kantung negara. Kini GST dilihat menjadi sumber pendapatan negara dan fenomena ini sangat bertentangan dengan syarat keharusan cukai dalam Islam.

5. Cukai hanya diharuskan apabila ia bermaksud menampung kekurangan dan keperluan negara, sedang negara tiada sumber dan cara melainkan terpaksa memungut cukai dari rakyat. Itu pun mestilah mengelak - sasarkan orang miskin dari senarai pihak yang layak dipungut cukai.

6. Sementelah negara hari ini terlalu banyak sumber pendapatan, namun dipersiakan melalui pembaziran pada projek yang tidak memberi impak besar kepada pembangunan ekonomi rakyat. Ketirisan dana awam dan penyelewengan dalam urus tadbir ekonomi negara antara yang meragut kantung negara. Malangnya kerajaan tidak melakukan suatu yang berkesan untuk menangani kes ragut kantung negara sebaliknya hanya berfikir agar cukai dapat dipungut dari rakyat untuk memastikan kerajaan memperolehi pendapatannya yang baharu. Rakyat bagai dipaksa untuk "bail out" keperluan negara melalui GST.

7. Sempena hari lahir GST ini, saya sampaikan salam dan ucapan kepada pemimpin kerajaan dengan mengemukakan Firman Allah swt :

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).
Surah Al Baqarah : 188


Sekian.
Nasrudin bin Hassan
AJK PAS Pusat

2 comments:

KEPEDULIAN TERHADAP ALAM SEKITAR- TANGGUNG JAWAB KITA BERSAMA


KENYATAAN MEDIA – 30HB MAC 2015
“ KEPEDULIAN TERHADAP ALAM SEKITAR- TANGGUNG JAWAB KITA BERSAMA”

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. 


Mari kita renungkan Firman Allah SWT dalam Surah Al Anbiya’ ayat 107:

“Dan tidaklah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi semesta alam”.

Risalah yang dibawa oleh Ar-Rasul SAW merupakan risalah yang membawa rahmah kepada sekalian alam. Syariat ini memberi jaminan kepada perlindungan dan hak kepada semua makhluk untuk hidup dengan sejahtera di muka bumi ini. Manusia perlu sedar bahawa mereka adalah sebahagian daripada alam ini, yang memerlukan mereka menunaikan hak dan tanggungjawab terhadapnya dan bukan hanya menikmati dan mengeksploitasi segala sumber alam yang diamanahkan itu. Manusia juga perlu disedarkan untuk mengambil tanggungjawab dalam mengubah gaya hidup mereka dan melakukan perubahan yang besar bagi mengurangkan kesan kerosakan kepada alam ini.

Kita sebenarnya sangat bertuah kerana negara kita Malaysia dianugerahkan dengan pelbagai khazanah alam semula jadi dan sumber asli yang unik dan tidak ternilai harganya. Dengan kelebihan yang dianugerahkan, kita sebagai rakyat Malaysia perlu mengambil berat dalam mengurangkan serta mencegah elemen kemusnahan alam sekitar akibat daripada aktiviti kehidupan kita seharian. Oleh yang demikian, pendidikan di peringkat akar umbi akan mewujudkan rasa tanggungjawab dan keprihatinan kita untuk memastikan alam sekitar di bumi bertuah ini, mahupun flora dan fauna terpelihara dengan baik.

Kita semua perlu sedar bahawa masalah-masalah alam sekitar seperti pencemaran udara, pencemaran air, pembuangan sisa pepejal dan toksin, penebangan hutan secara haram, dan sebagainya menyebabkan ketidakseimbangan kepada alam sekitar. Akibatnya timbul implikasi atau pun tindak balas terhadap kesihatan dan kualiti hidup kita. Seperti yang kita sedia maklum, segala usaha di pihak berkuasa sahaja tidak mencukupi untuk menjaga kelestarian alam sekitar kerana ianya memerlukan kerjasama dan penglibatan seluruh masyarakat, tidak mengira golongan tua ataupun muda dan tanpa mengenal batasan kaum.

Membudayakan amalan kehidupan hijau (green living) hendaklah bermula daripada setiap individu di rumah mahupun di tempat kerja semasa menjalankan aktiviti harian. Menyedari hakikat ini maka DEWAN MUSLIMAT PAS MALAYSIA melalui Lajnah Alam Sekitar mengambil initiatif untuk melaksanakan program 3R – Reduce, reuse dan recycle bermula di Pejabat Dewan Muslimat dan Pejabat Agung PAS Pusat itu sendiri.

Tong-tong sampah 3R disediakan bagi memberi kesedaran kepada semua AJK dan ahli-ahli untuk mula melaksanakan aktiviti 3R di peringkat pengurusan pejabat. Program 3R yang diadakan pada hari ini merupakan antara inisiatif bagi memberi kesedaran dan sebagai pencetus kepada kehidupan beretika dengan mengamalkan nilai-nilai yang diterap semasa melaksanakan amalan-amalan hijau di kalangan ahli-ahli PAS. Hasrat kita adalah untuk menglestarikan persekitaran hari ini untuk dinikmati oleh generasi yang akan datang.

Banyak tip Amalan Hijau yang boleh dilaksanakan oleh kita semua bagi menyelamatkan bumi kita. Di kesempatan ini, saya juga ingin berkongsi sedikit tips amalan-amalan hijau yang mudah untuk di rumah dan pejabat khususnya. Antaranya adalah:

• Guna air dan elektrik dengan berhemah. Sila padamkan lampu atau peralatan elektrik apabila tidak digunakan dan memastikan pili air ditutup dengan rapat. Gunakanlah air dan elektrik dengan bijaksana;

• Mengamalkan konsep 3R (Reduce-Reuse-Recycle) supaya kita dapat mengurangkan pembuangan sisa pepejal ke tapak pembuangan sampah;

• Mengurangkan penggunaan beg plastik (yang sukar dilupuskan);

• Memaksimumkan pengangkutan awam seperti bas, LRT, ERL, dan Komuter; atau berkongsi kenderaan.

• Menggunakan peralatan elektrik yang mesra alam dan jimat tenaga.

• Membeli produk hasil bahan kitar semula dan mesra alam 

• Membudayakan aktiviti tanam sendiri untuk kegunaan masakan di rumah.


Sumbangan ini walaupun nampak kecil atau remeh, saya percaya sekiranya kita semua benar-benar mengamalkan tip ini, sedikit sebanyak ia dapat memberi impak yang positif ke arah pencapaian visi hijau Malaysia. Saya juga ingin sarankan kepada semua bahawa kita perlu mengkaji kembali berkenaan tatacara kelakuan, gaya hidup dan disiplin kita dalam menjalani kehidupan seharian kerana ini adalah perkara serius. Ia akan menentukan hala tuju tahap kehidupan generasi akan datang yang akan menerima kesan daripada sikap pembaziran yang tidak mesra alam generasi masa kini. Semoga dengan kepedulian kita terhadap alam sekitar akan mampu mengurang impak pencemaran yang lebih besar ke atas Malaysia khususnya.

“KEPEDULIAN TERHADAP ALAM SEKITAR ADALAH TANGGUNGJAWAB KITA BERSAMA!”
“GO GREEN”


YB Hjh Siti Zailah bt Mohd Yusoff
Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia


Norwani binti Ahmat
Pengerusi Lajnah Alam Sekitar Dewan Muslimat PAS Malaysia

0 comments:

Pemuda PAS Sandakan Bantah Perlaksanaan GST


Pemuda PAS Sandakan dan Batu Sapi flashmob menentang perlaksanaan GST di bandar Sandakan sebentar tadi.


Yang Kaya Terus Kaya,
Yang Miskin Terus Miskin...

0 comments:

24 Jam Menuju GST: Kerajaan Mesti Henti Kelirukan Rakyat


Diterbitkan: 31 Mac 2015

Ditulis oleh M Arifiriazul B Paijo

Pemuda PAS Sarawak menggesa kerajaan untuk berhenti mengelirukan rakyat mengenai GST. Pemuda PAS Sarawak kesal dengan penyelewangan fakta oleh kerajaan mengenai GST. GST dijaja sebagai cukai yang tidak membebankan rakyat dan tidak akan menyebabkan kenaikan harga barangan. Hakikatnya, GST merupakan cukai yang tidak adil, di mana semua peringkat masyarakat dikenakan cukai, termasuk golongan berpendapatan rendah. GST juga membebankan peruncit kecil-kecilan.
Kerajaan mendakwa GST tidak menyebabkan kenaikan harga barangan. Daripada tinjauan bebas Pemuda PAS Sarawak, GST akan menaikkan kebanyakan harga barangan keperluan harian. Pada waktu yang sama, jika GST tidak menaikkan harga barangan, kenapakah Timbalan Menteri Kewangan menasihatkan syarikat-syarikat besar menyerap GST seperti yang akan dilaksanakan oleh Mydin? Bukankah sepatutnya GST akan menurunkan harga barangan seperti didakwa kerajaan? Bagaimana pula dengan peruncit-peruncit kecil-kecilan di kawasan luar bandar di Sarawak? Mereka pastinya tidak mempunyai kemampuan menyerap kos GST, malah mungkin tidak berdaftar untuk mendapat pulangan balik GST. Kos berganda pastinya diserap oleh pengguna melalui kenaikan harga barangan. 
Kerajaan pada awal kempen GST menjamin harga barangan akan dipantau oleh penguatkuasa dan tindakan undang-undang akand dikenakan. Namun, baru-baru ini, Menteri Perdagangan Dalam Negeri mendakwa tidak mempunyai tenaga yang cukup bagi memantau harga barangan selepas GST. Adakah janji pemantauan harga barangan selepas GST mampu dilaksanakan kerajaan?
Fakta-fakta kempen yang menyeleweng ini amatlah dikesali. Kami pernah menyuarakan kebimbangan kesan GST terhadap Sarawak. Kami yakin, GST bakal memberi kesan berganda kepada pengguna di Sarawak, kerana kos logistik yang bakal dikenakan GST. Dasar kabotaj, yang menambah kos barangan di Sarawak, bakal menyebabkan kesan berganda kepada harga barangan di negeri ini.
Rakyat Sarawak mempunyai peluang untuk memberikan jentikan kepada kerajaan dan penolakan terhadap GST dengan memilih PAS dan Pakatan Rakyat dalam Pilihanraya Negeri yang akan datang. Signal penolakan ini amat penting dan hendaklah diterjemahkan oleh rakyat melalui peti undi, pada pilihanraya akan datang.
Pemuda PAS Sarawak juga menggesa hasil GST dikembalikan kepada negeri, termasuk Sarawak bagi memastikan kutipan GST dikembalikan kepada rakyat secara telus. Janganlah hanya GST sedap dikutip, tapi hasilnya entah ke mana.
M Arifiriazul B Paijo
Ketua Pemuda PAS Sarawak

0 comments:

Jangan Guna Akta Hasutan Terhadap Media


Diterbitkan: 31 Mac 2015

Ditulis oleh Harakahdaily

KUALA LUMPUR: Media yang bebas adalah satu tiang untuk negara terus bergerak maju dan demokrasi terus subur, kata Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, tindakan menggunakan Akta Hasutan terhadap media kerana laporan, tepat mahupun kurang tepat laporanya adalah keterlaluan, seolah-olah hanya akta hasutan yang ada, sedangkan pelbagai peraturan digubal bagi mengawal penyalahgunaan media.
"Penggunaan Akta Hasutan ini mungkin bertujuan untuk menakut-nakutkan rakyat bagi menentang penyelewengan dan salah urustadbir negara," ujarnya dalam satu kenyataan.

Tetapi ingatlah, kata beliau penggunaan Akta Hasutan secara semberono dalam mengekang rakyat akan pasti menambah biaknya kebangkitan dan kemarahan rakyat.

Justeru, ujar beliau PAS menggesa kerajaan untuk berhenti menggunakan Akta Hasutan itu terhadap media dan juga tujuan politik.

Tambahnya, tangkapan berleluasa sebulan ini menunjukkan kerajaan yang ada hari ini tidak boleh diyakini untuk tidak menyalahgunakan undang-undang yang ada demi politik.

"Ini juga menjadi kerisauan rakyat terhadap POTA yang bakal dibentangkan," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 31/3/2015

0 comments:

Yaman: Rundingan Damai Elak Pertumpahan Darah


Diterbitkan: 31 Mac 2015 Ditulis oleh Salmiyah Harun

KUALA LUMPUR: PAS menggesa agar satu rundingan ke arah pendamaian antara Arab Saudi dengan Yaman dilaksanakan segera bagi mengelakkan berlakunya konflik lebih besar.
Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Nawawi bimbang jika konflik ini tidak ditangani lebih awal, akan mengundang pertumpahan darah lebih besar seperti di Syria yang telah mengorbankan 200,000 rakyatnya manakala tujuh juta pula menjadi pelarian dalam konflik ini.
Katanya, PAS bersama pemimpin gerakan Islam dunia menyeru seluruh masyarakat dan negara Islam tanpa mengira fahaman untuk memahami konflik sebenar yang berlaku.
"Ia adalah konflik kuasa besar yang didalangi oleh Amerika yang punyai kepentingan strategi di negara-negara umat Islam sendiri.
"Malah di Yaman, Amerika mempunyai kepentingan amat besar untuk menguasai Teluk Arden yang dilihat cukup penting untuk strategik Amerika.
"Dalam konflik di Yaman, Amerika pernah membantu kerajaan di Yaman yang berhadapan dengan kelompok Al Qaeda. Dan ini telah berlaku semasa pemerintahan presiden yang lalu Abdullah Salleh kini musuh kepada Amerika dan sekutu kepada Iran bagi memberi kemenangan kelompok Houthi di Yaman," katanya kepada Harakahdaily.
Tegasnya, PAS melihat penglibatan secara terbuka Arab Saudi dengan menyerang menggunakan segala kelengkapan tentera amat berbahaya kepada masa depan dan keselamatan bukan sahaja di Yaman tetapi di seluruh Semenanjung Tanah Arab.
Tindakan Arab Saudi ini katanya, akan meluaskan lagi konflik yang telah berlaku
di dunia Arab seperti di Syria, Libya dan terkini konflik di Yaman mengakibat ketidakstabilan ketara di Tanah Arab.
Dalam hal ini, PAS melihat apa yang berlaku di Yaman bukanlah hanya dalam perspektif fahaman mazhab malangnya umum pula melihat bahawa konflik ini adalah konflik mazhab Sunni dan Syiah yang mana kelompok Sunni didokongi oleh Arab saudi dan kelompok Syiah oleh Iran.
Sebaliknya jelas Syed Azman, ia perlu dilihat secara mendalam membatasi persoalan Sunni dan Syiah kerana bagi pihak Houthi, ada sebahagian daripada kelompok-kelompok Sunni di Yaman menyokong kelompok Houthi untuk mengambil alih kuasa di Yaman.
Konflik sedang berlaku sekarang ini melibatkan negara Islam Arab Saudi dengan Yaman dan negara-negara di Teluk termasuk negara Iran sebagai proksi bagi membantu kelompok Houthi berfahaman Syiah sekali gus membantu kelompok Houthi untuk mengambil alih Yaman.
Pihak Houthi adalah sebahagian daripada rakyat dan masyarat Yaman bersama-sama masyarakat Sunni di negara itu hidup dalam keadaan aman damai tanpa berlakunya sebarang konflik.
Justeru, PAS menyeru supaya kembalikan keamanan dan kestabilan Yaman dengan mengajak kedua-dua pihak Arab Saudi dan Houthi kembali ke meja perundingan untuk cari jalan penyelesaian terbaik. -HARAKAHDAILY 31/3/2015 

0 comments:

Membawa Rang Undang-undang Persendirian Membuka Laluan Kepada Pelaksanaan Hudud adalah Satu Kemuliaan dan Fadhilat Yang diberikan Pahala


Diterbitkan: 31 Mac 2015 Ditulis oleh DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

1. Menegakkan Undang-undang Jenayah Islam termasuk Hudud adalah kewajipan umat Islam yang diimani oleh PAS. Membawa rang undang-undang persendirian ke Dewan Rakyat yang membuka jalan untuk pelaksanaan undang-undang Allah adalah satu kemuliaan dan fadhilat yang pasti diberikan pahala. Ia tidak patut diserahkan kepada orang lain kerana ia adalah amanah dan tanggungjawab PAS sebagai Parti Islam.
2. Kita jangan mudah percayakan orang lain untuk membawa apa yang kita perjuangkan sekian lama. Sesiapa yang ingin membantu dipersilakan. Tidak mahu menyokong pun tidak mengapa.
3. Kepada wakil rakyat muslim di Parlimen kita menjemput mereka bersama-sama mencari pahala dan fadhilat berdasarkan konsep
"Dan bersegeralah kamu kepada keampunan Tuhan dan syurga yang keluasannya adalah keluasan langit dan bumi yang disediakan kepada orang-orang yang bertaqwa". Surah Aali Imran ayat 133
4. Jika ada yang ingin membantu dialu-alukan. Adakah bantuannya ikhlas ataupun tidak? Keikhlasan adalah sesuatu yang tersembunyi di dalam hati. Kita serahkan kepada Allah.
5. Jika ada yang berniat jahat dan serong kita serahkan kepada Allah sebagaimana yang diajar oleh Allah dalam al-Anfaal ayat 62;
"Dan sekiranya mereka berhasrat memperdayakan kamu maka sesungguhnya cukuplah untuk kamu Allah (menjaga kamu daripada tipudaya). Dialah yang menyokong memperkuatkan kamu dengan bantuan kemenangan-Nya dan dengan orang-orang beriman".
6. Kita sudah banyak berdailog secara ilmu dan harmoni dengan pimpinan politik kalangan bukan Islam menjelaskan tentang Undang-undang jenayah Islam lebih daripada 25 tahun sejak 1990. Malah sebelumnya lagi sejak penubuhan PAS pencerahan dan penjelasan diberikan. Ada yang berdolak-dalik enggan menerima kebenaran. Ada yang enggan menerimanya walaupun atas konsep hak demokrasi. Setelah penjelasan yang panjang kita menyerahkan kepada mereka untuk menerima atau menolak. Kita tidak memaksa mereka bersetuju. Malah kita menghormati hak mereka untuk tidak bersetuju. Namun perjuangan, penjelasan dan dakwah kita tetap diteruskan.
7. Kepada umat Islam kita sama-sama beringat dengan peringatan Allah dalam surah al-Maidah ayat 49-50.
"Dan hendaklah kamu berhukum kalangan mereka dengan apa yang diturunkan oleh Allah dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu mereka"
Allah peringatkan lagi
"Dan berwaspadalah (beringatlah) dengan mereka menggoda (memalingkan kamu meninggalkan) sebahagian apa yang diturunkan Allah kepada kamu"
8. Marilah kita mengambil pengajaran dengan ayat seterusnya
"Maka adakah hukum Jahiliyyah yang mereka cari. Dan siapakah yang terbaik berbanding Allah hukumannya bagi kaum yang yakin"
Sekian.
DATO’ DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Nerus
AJK Kerja PAS Pusat

Tarikh : 31 Mac 2015 / 10 Jamadilakhir 1436H

0 comments:

TADABBUR AL QUR'ANI AL HARAKI


Surah al A'raaf : 178-180

(بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ)

Ayat 178:
(مَنْ يَهْدِ اللَّهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِي ۖ وَمَنْ يُضْلِلْ فَأُولَٰئِكَ هُمُ الْخَاسِرُونَ).

 Barangsiapa yang diberi petunjuk oleh Allah, maka dialah yang mendapat petunjuk; dan barangsiapa yang disesatkan Allah, maka merekalah orang-orang yang merugi.

Ayat 179:
(وَلَقَدْ ذَرَأْنَا لِجَهَنَّمَ كَثِيرًا مِنَ الْجِنِّ وَالْإِنْسِ ۖ لَهُمْ قُلُوبٌ لَا يَفْقَهُونَ بِهَا وَلَهُمْ أَعْيُنٌ لَا يُبْصِرُونَ بِهَا وَلَهُمْ آذَانٌ لَا يَسْمَعُونَ بِهَا ۚ أُولَٰئِكَ كَالْأَنْعَامِ بَلْ هُمْ أَضَلُّ ۚ أُولَٰئِكَ هُمُ الْغَافِلُونَ) 

Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk (isi neraka Jahannam) kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.


Ayat 180:
(وَلِلَّهِ الْأَسْمَاءُ الْحُسْنَىٰ فَادْعُوهُ بِهَا ۖ وَذَرُوا الَّذِينَ يُلْحِدُونَ فِي أَسْمَائِهِ ۚ سَيُجْزَوْنَ مَا كَانُوا يَعْمَلُونَ)

Hanya milik Allah asmaa-ul husna, maka bermohonlah kepada-Nya dengan menyebut asmaa-ul husna itu dan tinggalkanlah orang-orang yang menyimpang dari kebenaran dalam (menyebut) nama-nama-Nya. Nanti mereka akan mendapat balasan terhadap apa yang telah mereka kerjakan.


 1.   Petunjuk Ilahi ...
Setiap manusia memerlukannya, dengan petunjuk Rabbani manusia akan berjaya melalui kehidupan ini dengan penuh cekal, tabah serta bahagia.


2. Orang yang sesat itu seringkali tersasar dari jalan yang benar dan diredhai Allah swt. Mereka tidak merasa bersalah bila mana pelanggaran hukum berlaku. Mereka juga sombong dengan perilaku jelik mereka yang menampakkan kebodohan mereka sendiri.


3. Hati, mata dan telinga ...antara deria penting manusia, kenapa hilang fungsinya sedangkan mata untuk melihat, merenung dan memerhati kehebatan ciptaan Allah ... 
Aqal pula kenapa tidak berfungsi? Wahai orang-orang yang beraqal untuk berfikir segala kebenaran yang terkandung dalam Risakah Wahyu ini..

4. Pembalasan Allah swt terhadap golongan yang mendustakan kebenaran ...
Jin dan manusia sebagai makhluk yg memikul taklif dan tanggungjawab untuk mengabdikan diri hanya kepada Tuhan sekelian alam.


5. Nama-Nama Allah yang Maha Mulia أسماء الحسنى..
Sebutlah nama-namaNya dalam setiap doa-doamu wahai manusia ... Jangan lalai dan melupaikan Dia yang telah mengutuskan seorang Nabi akhir zaman ... 
Bersamanya kebenaran untuk ummah. Pasti kamu akan mendapat petunjuk yang tiada simpang siurnya.


Semoga Hidayah sentiasa menyinari sanubari kita ... Meledak kesedaran diri untuk bangkit menjadi sebaik-baik Ummah di akhir zamsn ini.


Al Faqirah ila Allah : 
Dr Nadzirah Mohd 
29 Mac 2015


0 comments:

PAS Harap Dapat Sokongan Ahli Parlimen Islam

Diterbitkan: 31 Mac 2015

Ditulis oleh SALMIYAH HARUN | Foto Fadhil Muraabithun
KUALA LUMPUR: PAS mengharapkan majoriti mudah dengan mendapat sokongan ahli parlimen (MP) beragama Islam bagi meminda Akta 355  Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Perkara itu dimaklumkan oleh Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam sidang media di Pejabat Agung PAS di sini petang semalam (30 mac) sebaik sahaja selesai Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat.

"Kita mengajak MP-MP beragama Islam khususnya yang mendukung dan menyokong usul ini tanpa mengira parti politik.
"Dan kita minta laluan kepada bukan Islam supaya meminda akta ini. Sebab itu kita perlu mereka bagi laluan atas semangat perlembagaan," katanya.

Ahli Parlimen Marang itu bagaimanapun telah membawa usul persendirian mengikut Peraturan Mesyuarat 49 untuk meminda satu Akta 355 Seksyen 2.

Katanya, seksyen itu kini hanya memberi kuasa kepada Mahkamah Syariah menjatuhkan hukuman tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam rotan kepada pesalah.

"Pindaan ini tidak melibatkan penambahan kesalahaan di bawah mahkamah syariah tetapi  menambah baik mengikut hukum syarak," katanya.

Justeru katanya, pindaan itu hanya terpakai kepada orang Islam sahaja.

Rang Udang-undang Persendirian itu dijangka akan dibentangkan dalam sesi parlimen ini sebelum 9 April nanti.

Turut bersama dalam sidang media ini, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan penolongnya, Datuk Takiyuddin Hassan.

Mohamad pula memberitahu mesyuarat PAS Pusat hari ini hanya membincangkan soal pindaan Akta 355 langsung tidak menyentuh soal kedudukan PAS dalam Pakatan Rakyat.

"PAS kekal dalam Pakatan Rakyat," tegasnya sebaik ditanya pemberita berhubung perkara itu. - HARAKAHDAILY 30/3/2015

0 comments:

EKJS: PAS Harap Majoriti Mudah


Diterbitkan: 30 Mac 2015 Ditulis oleh Muhammad Faizal

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berharap akan mendapat majoriti mudah di parlimen bagi membenarkan Kelantan melaksanakan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II (EKJS) di negeri itu.

Beliau ketika ditemui di lobi parlimen hari ini turut berkata perbentangan rang undang-undang persendirian pada sidang parlimen kali ini bergantung kepada perbincangan Kelantan dengan pihak berkenaan (kerajaan).

"Undang-undang persendirian 'private bill'  itu bergantung kepada perbincangan Kelantan dengan pihak berkenaan kerana ia berkaitan dengan perlembagaan.
"Ada bergantung kepada 2/3 majoriti dan majoriti mudah, kita pilih majoriti mudah yang kita dapat dari orang-orang Islam sahaja," katanya.

Ahli Parlimen Marang itu turut berkata PAS terus konsisten dalam memperjuangan Islam dan undang-undang Islam untuk keadilan semua kaum.

"DAP telah nyatakan pendirian bersetuju dan tidak bersetuju, boleh rujuk kenyataan bersama Pakatan Rakyat, kita bersetuju untuk beliau tidak bersetuju.

"Kenyataan DAP dalam hal ini tidak memeranjatkan, PAS konsisten dalam perjuangan Islam untuk semua kaum dan keadilan untuk semua," katanya lagi.

Beliau yang turut menyambut baik jika kejayaan Kelantan melaksanakan EKJS ini akan dapat mempengaruhi negeri-negeri lain dalam mengangkat undang-undang Islam.

"Terpulang kepada negeri lain, kita tidak ada hak terhadap mereka, Islam mengambil kira kedudukan politik tempatan.

"Kelantan berjaya ia akan memberi pengaruh yang baik untuk negeri-negeri lain melaksanakan sepertimana Kelantan termasuk mengalakkan orang bukan Islam menerima kita, tujuan kita untuk selamatkan semua, dalam perjuangan tidak ada yang mudah dan tidak ada yang mustahil," sambung beliau lagi.

Beliau memberitahu belum menerima apa-apa maklum balas dari Speaker Dewan Rakyat berhubung 'private bill', namun yakin ia akan dibentangkan pada persidang kali ini.

Beliau ketika ditanya mengenai kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Sing berhubung pembentukan kerajaan baharu melibatkan Ahli Parlimen di kalangan parti kerajaan dan pembangkang wajar bagi mempertahankan Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.

"Saya tak baca lagi kenyataan penuh beliau, Malaysia sebuah negara demokrasi, dia ada hak dan kita ada hak.

"Percaya Pakatan atau tidak itu terpulang kepada dia, untuk masa depan Pakatan Rakyat saya tidak tahu.

"Cuma apa yang berlaku ini tidak akan mempengaruhi pemilihan pada muktamar nanti kerana segala keputusan itu dibuat oleh ahli PAS bukannya orang lain," tambah beliau.

0 comments:

PAS Kutuk Penahanan Terhadap Timbalan Presiden PAS, Tian Chua, Rafizi Dan Aktivis Lain

Diterbitkan: 28 Mac 2015

Ditulis oleh Tuan Ibrahim Tuan Man
PAS kutuk penahanan terhadap Timbalan Presiden PAS, Tian Chua, Rafizi dan aktivis lain.
PAS mengutuk sekeras-kerasnya penahanan Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, dua Naib Presiden PKR Tian Chua dan Rafizi Ramli dan para aktivis yang lain oleh polis tanpa sebab yang jelas dan kukuh.
Kerajaan perlu menghadapi bantahan rakyat terhadap GST yang bakal mendatang 1 April ini, dan beberapa isu panas seperti 1MDB dan salahguna kuasa; dan bukannya mengalihkan isu dengan tindakan membuli dan menahan pimpinan pembangkang dan aktivis-aktivis yang memperjuangkan isu rakyat tanpa sebab yang jelas.
Tekanan dan tindakan zalim seperti ini hanya akan menambahkan kebencian rakyat terhadap kerajaan BN dan juga hilang hormat pada kewibawaan polis.
Apa yang berlaku hari ini menunjukkan Malaysia memerlukan barisan pembangkang yang kuat untuk memastikan BN menjaga kelakuannya.
Oleh itu, Pakatan Rakyat perlu memperbesarkan isu penyelewengan dan salahgunakuasa BN dan kecilkan perbezaan, terutamanya dalam isu hudud, khasnya melibatkan cadangan Private Members Bill di bawah Akta 355, yang hanya sekadar usaha kecil untuk meningkatkan sedikit hukuman di Mahkamah Syariah dari hukuman sebatan dari 6 sebatan kepada "sebatan yang menepati tuntutan syarak."
Hormatilah perbezaan kecil ini untuk membolehkan kita meraikan persamaan yang teramat luasnya.
Musuh politik kita masih sama iaitu BN-Umno.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Naib Presiden PAS
28 Mac 2015

0 comments:

Pilih Nakhoda Yang Pandai Baca 'Peta'

Diterbitkan: 30 Mac 2015

Ditulis oleh Super User
TEMERLOH: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata perwakilan sepatutnya memilih nakhoda yang pandai membaca ‘peta’.
 

“Peta yang dimaksudkan ialah al-Quran. Nakhoda atau pemimpin yang kita pilih mestilah pandai menterjemah al-Quran kerana bahtera kita ini membawa pendekatan Islam,” ujarnya mengenai pemilihan kepimpinan PAS.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung PAS Kawasan Kuala Krau ke-29 di Darul Hikmah, Kerdau dekat sini pagi ini (29 Mac 2015).

Mengenai Usul Rang undang-undang Persendirian Enakmen Kanun Jenayah Syariah II yang akan dibawa oleh PAS ke Parlimen, jelanya ia tidak memerlukan majoriti dua pertiga dewan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, sebaliknya ia cukup dengan majoriti mudah kerana merupakan usul pindaan.

“Walaupun ahli parlimen PAS hanya ada 21 kerusi tetapi kita buat ini dengan kesedaran bahawa majoriti di parlimen masih yang beragama Islam.

“PAS mahu buktikan bahawa undang-undang Islam adalah jawapan dan tawaran penyelesaian kepada indeks dan kadar jenayah yang tidak terkawal sejak dulu,” katanya.

Sebelum itu, beliau disambut dengan tarian naga oleh masyarakat Tionghua Kerdau sebaik tiba.

Selepas majlis perasmian, beliau kemudiannya diiringi ahli jawatankuasa kawasan melawat Kompleks PAS Pahang bernilai RM5 juta yang masih dalam pembinaan di belakang Darul Hikmah. -HARAKAHDAILY 29/3/2015

0 comments:

Surat Terbuka Gesa Tangguhkan GST

Diterbitkan: 30 Mac 2015

Ditulis oleh Tuan Ibrahim Tuan Man
MELIHAT rakyat marhaen berpusu-pusu memasuki pasaraya membeli pelbagai barangan keperluan dengan kuantiti yang banyak pada hujung minggu yang lalu menggambarkan kerisauan yang mendalam di kalangan rakyat terhadap GST.

Situasi tersebut adalah sama seperti yang disaksikan di stesen minyak pada malam terakhir sebelum harga minyak diumumkan naik pada hari keesokannya.

Fenomena ini menunjukkan rata-rata pembeli merasakan harga barangan akan meningkat selepas 1 April ini.
Majoriti negara di dunia ini melaksanakan GST sebagai sumber pendapatan.

GST tidak pernah diperlukan selama ini di negara kita kerana negara Malaysia sebenarnya kaya dengan sumber asli.

Sejak zaman Pak Lah sehinggalah sekarang, kita mula kedengaran hutang negara menjadi semakin meningkat menghampiri 55% GDP.

Kita mula mendengar penyelewengan dan salah guna dana awam yang semakin meruncing setiap tahun di dalam laporan audit tahunan.

Selepas itulah, baru kita terdengar negara Malaysia tiba-tiba memerlukan GST untuk memperbetulkan defisit kewangannya.

Ketika rakyat masih samar-samar mencari jawapan, tanpa sedar, GST bakal menemui rakyat Malaysia dalam dua hari lagi.

Persoalannya, apakah negara sudah bersedia dengan GST?

Apakah kerajaan sudah melakukan persiapan yang cukup dan melakukan simulasi terhadap apa yang akan berlaku bilamana GST terlaksana?

Jika ya, apakah impak kepada rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana (RM5,000 ke bawah)? Apakah kesannya kepada hutang seisi rumah? Tanpa GST, rata-rata rakyat marhaen sudah hidup dalam keadaan hutang sekeliling - bagaimana pula selepas GST?

Bagaimana pula dengan golongan pencen dan tua? Apakah kerajaan sudah membuat simulasi kesan GST terhadap mereka? Apakah semua ini sudah dikaji, dan daripadanya terhasil satu tindakan susulan untuk membantu mereka selepas GST terlaksana?

Selain itu, apakah kerajaan sudah membuat simulasi kadar inflasi untuk 3, 6 dan 12 bulan seterusnya sejurus GST dilaksanakan? Jika ya, sekadar pertanyaan, apakah kerajaan sudah ada satu pelan tindakan sekiranya kadar inflasi melebihi kadar yang dijangkau kerajaan untuk mengelakkan rakyat tertekan dan terbeban?

Bukan itu sahaja, apakah GST akan menyebabkan peningkatan kadar penggangguran kerana mungkin ada perniagaan-perniagaan bermodal sederhana yang terpaksa mengurangkan kakitangan untuk menampung kos perniagaan yang meningkat kerana GST? Apakah kerajan sudah melakukan simulasi terhadap situasi ini? Jika ya, apakah hasilnya?

Ada juga yang tertanya-tanya mengenai kesan GST pada yuran di universiti awam? Apakah pelajar yang sedang mengaji perlu membayar 6% tambahan kepada pemprosesan yuran universiti dan apa-apa kos pentadbiran universiti yang lain termasuk bayaran peperiksaan dan juga graduasi?

Bagaimana pula dengan pihak PTPTN, apakah kerajaan sudah mengkaji apakah wajar pelajar diberikan pinjaman tambahan untuk menampung kos kehidupan mereka selepas GST terlaksana?

Apakah saluran sudah disediakan untuk para konsumer yang menjadi mangsa untuk mendapatkan pampasan sekiranya mereka terbayar GST kepada barangan yang sepatutnya dikecualikan GST? Bagaimanakah para konsumer boleh mengetahui samada mana-mana satu kedai boleh mengenakan GST mahupun tidak? Bagaimana pihak kastam dapat memantau kutipan GST haram daripada mereka yang tidak layak mengenakan GST?

Pokoknya, apakah kita sebagai satu negara sudah bersedia dengan GST?

Maaf. Sebagai rakyat Malaysia, saya rasa tidak lagi bersedia. Dan saya yakin ramai lagi yang bersetuju dengan saya.

Saya percaya ramai rakyat biasa hanya sekadar bersedia dan tahu mereka terpaksa berbelanja lebih apabila GST terlaksana tanpa mengetahui apa-apa yang lain dan kesannya.

Kerajaan pula dilihat hanya menyibukkan diri untuk menyakinkan rakyat bahawa GST tidak akan menyebabkan peningkatkan kos sara hidup daripada tugas untuk memastikan perlaksanaan GST tidak bermasalah.

Melihat bagaimana kerajaan tiba-tiba tidak mengenakan GST pada buku pada saat-saat akhir sebelum melaksanakan GST menyakinkan saya lagi bahawa kerajaan masih tidak bersedia sepenuhnya untuk melaksanakan GST.

Saya merasa perlunya untuk kerajaan melaksanakan tempoh percubaan GST selama tiga bulan, contohnya di Langkawi, untuk menilai keberkesanan sistem GST yang ada sebelum ia dilaksanakan di seluruh negara.

Kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, inilah masanya untuk mendahulukan rakyat. Jangan perjudikan nasib rakyat dengan pelaksanaan GST yang masih tidak menentu dan stabil.

Oleh itu, saya memohon agar kerajaan menangguhkan perlaksanaan GST sekurang-kurangnya untuk 6 bulan untuk memastikan segala impak pada negara dan rakyat dapat diminimumkan. Lebih baik jika kerajaan dapat memansuhkannya sahaja dan fokus kepada usaha menangani rasuah dan ketirisan dengan cara lebih efektif. -HARAKAHDAILY 30/3/2015
Naib Presiden PAS
30 Mac 2015

0 comments:

Nota Bantahan Tuduhan Liar Dan Prejudis Terhadap Presiden PAS


Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan (BPPWP) dengan ini membantah sekeras- kerasnya kenyataan akhbar tuan yang telah disiarkan di dalam The Malaysian Insider pada 22 Mac 2015 jam 06:54 petang.

Dalam kenyataan itu tuan menyebut:

1. Dalam ketujuh-tujuh kawasan tersebut, PAS telah meletakkan calon pada saat terakhir melalui watikah yang ditandatangani oleh presidennya. Mengikut tatacara lazim, calon-calon PAS akan menerima watikah yang ditandatangani oleh Dato’ Mustafa Ali selaku Setiausaha Agung parti.

2. "tindakan PAS untuk bertanding di tujuh kerusi yang sepatutnya ditandingi PKR itu merupakan khianat yang nyata dilakukan dengan restu Hadi sebagai presiden parti".

Kenyataan tersebut jelas merupakan satu tuduhan melulu tanpa asas dan dibuat secara “mala fide”. Ia menghina kredibiliti YB Dato’ Seri Haji Abdul Hadi Awang, Presiden PAS khususnya dan BPPWP amnya.

Parlimen Wilayah Persekutuan Labuan adalah sememangnya parlimen yang di sepakati oleh Pakatan Rakyat untuk di tandingi oleh PAS pada PRU ke 13. Justeru itu, tidak timbul isu pengkhianatan PAS yang kononnya kerusi tersebut ditandingi oleh PKR dan PAS meletakkan calon di saat akhir melalui watikah yang ditandatangani oleh presidennya. Ini adalah satu kenyataan yang bohong, tidak bersandarkan kepada fakta sebenar dan mencemarkan nama baik Presiden PAS.

Sebenarnya, surat watikah calon bagi Parlimen Labuan P166 pada PRU13 lalu telah ditandatangani oleh Setiausaha Agung PAS, Dato’ Haji Mustafa Ali. Bersama-sama ini di lampirkan surat berkenaan sebagai bukti.

Maka tuduhan tuan tersebut ternyata palsu, meleset, tidak benar sama sekali dan berniat jahat. Sebaliknya PKR lah melalui Ketua Umum dan Timbalan Presidennyalah yang telah merampas Parlimen Labuan tersebut dengan meletakkan calonnya bertanding di Parlimen P 166 Labuan.

Dengan yang demikian, BPPWP mendesak YB agar segera menarik balik kenyataan tersebut dan memohon maaf secara terbuka dalam masa 48 jam dari tarikh nota bantahan ini. Kegagalan tuan berbuat demikian, maka BPPWP akan meneruskan dengan tindakan undang - undang tanpa merujuk kepada tuan lagi.

Maka mulai saat ini BPPWP tidak akan mengadakan sebarang bentuk kerjasama dengan DAP Wilayah Persekutuan dan DAP Labuan kerana DAP sudah terlalu biadap, tidak mempunyai semangat setiakawan dalam Pakatan.

Sekian Terima Kasih

HAJI MOHAMAD NOOR MOHAMAD
Pesuruhjaya 
Badan Perhubungan PAS Wilayah Persekutuan

0 comments:

Catatan Dhuha 30 Mac 2015



Catatan Dhuha


Di dalam jamaah masing-masing ada peranan untuk membina jamaah. Sebab itu diwujudkan lajnah di bawah kepakaran masing-masing. 

Tidak eloklah kita memperlekehkan orang lain supaya hebat macam kita. Allah menjadikan kita kurang dan lebih. Kena saling bantu membantu. Kekuatan kita dapat membantu kelemahan yang ada kepada sahabat kita. Kelemahan kita ditampung oleh sahabat yang lain. 

Tidak elok kita mengaibkan sesama sahabat, kerana kita juga ada kecacatan. Apa akan terjadi kepada jamaah jika orang lain pula mengaibkan kita di khalayak ramai. Akhirnya yang rugi ialah PAS. 


Ustaz Idris Hj Ahmad 
10 Jamadil Akhir 1436/ 30 Mac 2015 Isnin.

0 comments:

Kenyataan Media Resolusi Konvensyen PAS Wilayah Persekutuan 2015




PAS Wilayah Persekutuan melalui Konvensyennya yang bertarikh 28hb Mac 2015 telah menetapkan resolusi-resolusi berikut yang perlu dituruti oleh kesemua perwakilan PAS Wilayah Persekutuan :

1- Konvensyen PAS Wilayah Persekutuan menegaskan terus mendokong kepimpinan Ulamak untuk terus mengemudi perjuangan Islam PAS.

2- PAS Wilayah Persekutuan mengecam tindakan biadap dan tidak bertamadun Lim Guan Eng memutuskan hubungannya dengan Tuan Guru Presiden PAS. Ianya adalah satu penghinaan kepada seluruh ahli PAS yang telah memilih beliau sebagai Presiden melalui saluran muktamar.

3- Konvesyen menegaska sokongan yg tidak berbelah bahagi kepada usaha kerajaan Kelantan untuk merealisasi perlaksanaan undang-undang hudud.

4- Bagi memastikan anasir-anasir perosak di dalam PAS tidak berterusan melakukan mungkar di dalam PAS, Konvensyen PAS Wilayah Persekutuan menggesa pihak Majlis Syura Ulama PAS dan Jawatankuasa Kerja PAS Pusat melalui Jawatankuasa Disiplin agar mengambil tindakan disiplin ke atas mana-mana pemimpin dan ahli PAS yang terlibat dengan PasMa dan mana-mana gerakan dalaman yang cuba menggoncangkan dasar dan prinsip PAS.

5- PAS Wilayah Persekutuan menggesa supaya PAS senantiasa mengambil langkah memantau dan mengkaji kedudukan Tahaluf bersama Pakatan Rakyat dari semasa ke semasa. Prinsip-prinsip Islam wajib dipertahankan dalam bertahaluf dan bukannya untuk dikorbankan.

6- Konvensyen PAS Wilayah Persekutuan mengingatkan pemimpin dan ahli PAS supaya jangan sampai ada berlaku wala kepada rakan tahaluf melebihi wala dan ketaatan kepada perjuangan parti yang dipimpin oleh kepimpinan ulamak.

7- Mengingatkan ahli PAS agar jangan sekali- kali mengambil tindakan bermufaraqah dengan perjuangan PAS yang bercita-cita menegakkan Islam kerana ianya bercanggahan dengan sifat pejuang Islam yang hakiki yang dianjurkan oleh Islam.

8- Konvensyen PAS Wilayah Persekutuan mendesak supaya GST ditarikbalik oleh kerajaan kerana ianya adalah satu kezaliman dan menyukarkan lagi situasi kedudukan ekonomi rakyat. Konvensyen turut menegaskan pentingnya ekonomi negara diuruskan berlandaskan syariat Islam yang bersifat syumul.


TERUS BERISTIQAMAH

0 comments: