GST Terlaksana, BN Bangga, Rakyat Yang Merana


Diterbitkan: 02 April 2015 Ditulis oleh Mohd Shahir
1. Pada 1 April semalam telah bermula pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di seluruh Malaysia. Tatkala para Menteri sibuk mempertahankan bahawa GST ini bagus tetapi hakikatnya keluhan dan keperitan yang sebenar dirasai oleh sekalian rakyat. Begitu bersungguh Ahli Parlimen BN mengatakan GST ini bermanfaat sehingga ada yang meminta “rakyat tinggal di bulan” jika tidak mahu membayar cukai.
2. Walaupun Pakatan Rakyat sudah menentang sekerasnya pelaksanaan GST ini pada mula ia diumumkan oleh PM Najib di Parlimen dulu, tetapi Kerajaan BN tetap degil ingin melaksanakannya. Hal ini tidak lain dan tidak bukan kerana negara sedang mengalami krisis kewangan yang parah. Kerajaan perlu mencari jalan singkat untuk menampung pendapatan wang negara yang kian merosot. 


3. Apa yang mendukacitakan kita ialah rakyat yang menjadi mangsa akibat kegagalan Kerajaan BN mentadbir dengan berhemah. Wang rakyat dibelanjakan dengan sesuka hati, pembaziran, penyelewengan, ketirisan dan kebocoran berlaku di sana-sini. Tatkala rakyat diminta berjimat, Kerajaan BN sibuk membeli Jet Eksekutif yang baru untuk PM, 1MDB pula terus diselamatkan dengan pelbagai suntikan dana walaupun hutangnya sudah melebihi RM 42 Billion. Di mana slogan “Rakyat Didahulukan” yang sering dicanang itu.? Kelihatannya ‘rakyat didahulukan’  untuk menjadi mangsa keadaan dengan diperas wang hasil titik peluh mereka untuk cukai GST.



4. Kerajaan meminta rakyat berhemah dan berubah sikap dalam berbelanja tetapi ia tak ubah seperti “ketam mengajar anaknya berjalan lurus”. Kerajaan sendiri gagal memberi contoh tauladan dalam membelanjakan wang rakyat yang diamanahkan kepada mereka untuk dijaga. Pelaksanaan GST ini memberi impak begitu besar kepada segenap lapisan masyarakat, daripada yang tinggal di kotaraya besar sehinggalah yang berada nun di ceruk kampong. Rakyat yang berpendapatan rendahlah yang paling sengsara kerana kos sara hidup kian meningkat akibat pelaksanaan GST ini. 



5. PAS menyeru sekalian rakyat untuk melihat sendiri kebobrokan BN dalam memerintah yang menjadikan rakyat sebagai mangsa untuk menampung kesilapan dan kegagalan mereka. Moga bahana daripada GST ini akan menjadi ingatan dan obor pembakar semangat untuk kita membuat perubahan tampuk pentadbiran pusat pada PRU 14 akan datang.InsyaAllah.



YB Dato’ Mahfuz Omar,
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ketua Whip Ahli Parlimen PAS

2 APRIL 2015

0 comments: