Gerakan Selamatkan Tabung Haji




1.                  Gerakan Selamatkan Tabung Haji (“Selamatkan Tabung Haji”)  membantah sekeras-kerasnya penggunaan dana Tabung Haji untuk menyelamatkan syarikat 1MDB, sebuah lagi syarikat milik kerajaan yang diselubungi pelbagai skandal. Syarikat “dana daulat” yang berhutang sebanyak RM42 bilion ini dilaporkan terlibat di dalam pelbagai transaksi kewangan yang meragukan (questionable financial transactions) menyebabkan ia kekeringan mudah tunai dan gagal melunaskan hutang pada masanya.  Baru-baru ini dilaporkan bahawa pembayaran balik hutangnya dengan beberapa buah bank telah tertangguh beberapa kali dan untuk mengelakkan hutang berkenaan dari diklasifikasikan ke dalam kategori “hutang tidak berprestasi” (non-performing loans),  syarikat 1MBD dikatakan telah meminjam wang dari seorang ahli korporat ternama untuk melunaskan hutang yang tertangguh pembayarannya itu. Juga dilaporkan, Kementerian Kewangan telah membuka kemudahan surat kredit (Standby letter of credit) dengan had kemudahan sebanyak RM950 juta bertujuan melegakan kesempitan mudah tunai yang sedang dihadapi oleh syarikat berkenaan.


2.                  Sebagai satu usaha untuk melegakan kesempitan mudah tunai yang dihadapi, syarikat 1MDB pada awalnya dilaporkan telah mencairkan pelaburan sulitnya (confidential investment portfolio) di Cayman Island tetapi khabarnya, dana tunai itu tidak dibawa masuk terus ke Malaysia tetapi sebaliknya, telah dipindahkan ke sebuah bank di Singapura bagi mengelakkan apa yang didakwa “peraturan Bank Negara yang lebih ketat” dalam hal membawa dana masuk dari luar negara berbanding dengan “amalan yang lebih mudah yang berkuatkuasa di Singapura.” Sampai ke hari ini, tidak diketahui kedudukan dana tunai ini samada  ia masih disimpan di Singapura atau telah dibawa balik ke Malaysia. Terkini dilaporkan bahawa tiada dana milik syarikat 1MDB di dalam akaun banknya di Singapura dan dokumen yang didakwa menunjukkan dana tunai itu ada di dalam akaun berkenaan dilaporkan sebagai  dokumen palsu.  Apa pun, yang jelas ialah syarikat 1MDB terus berdepan dengan situasi kesempitan mudah tunai dan risko tidak mampu membayar hutang yang tinggi.


3.                  Gerakan Menyelamatkan Tabung Haji percaya bahawa “keadaan terdesak” yang dihadapi oleh oleh syarikat 1MDB seperti yang disebut di atas “memaksa” syarikat “dana daaulat” ini menjual tanah miliknya di TRX bagi menjana tunai dengan secepat mungkin untuk melunaskan hutang atau bunga ke atas hutang yang sudah sampai tempohnya untuk dibayar. Tindakan menjual tanah seluas satu setengah ekar di TRX kepada Tabung Haji pada “harga yang luarbiasa tingginya” adalah satu tindakan terdesak (desparate move) untuk menjana tunai dengan secepat mungkin bagi menyelamatkan syarikat 1MDB dari dikenakan tindakan undang-undang oleh pihak bank. Untuk tanah seluas satu se tengah ekar, Tabung Haji membayar RM188.5 juta tunai, tidak seperti amalan biasa di mana pembeli biasanya membayar 10-20% wang pendahuluan dan selebihnya setelah segala urusan perundangan dan lain-lain urusan berkaitan dengan transaksi berkenaan dimuktamadkan. Dalam amalan biasa, pihak pembeli seperti Tabung Haji ini perlu membuat penelitian wajar (due diligence) ke atas hartanah yang bakal dibeli, melantik juru ukur dan juru nilai bertauliah untuk mengesahkan nilai hartanah dan hartanah yang hendak dibeli bebas dari sebarang ikatan (encumberances) dan seterusnya menguruskan segala aspek perundangan berkaitan transaksi berkenaan.  Amatlah menghairan, proses yang lazimnya memakan masa agak panjang dapat dibereskan dalam masa yang agak pendek. Kelajuan yang luar biasa di dalam memuktamadkan transaksi ini dan pembayaran tunai penoh dan segera kepada penjual mengundang persepsi bahawa urusniaga hartanah di antara 1MDB dan Tabung Haji ini tidak lain adalah helah dan muslihat untuk menggunakan dana Tabung Haji untuk menyelamatkan sebuah syarikat yang diselubungi pelbagai skandal, 1MDB. Kita tahu 1MDB banyak berhutang dan kebarangkaliannya tinggi bahawa hartanah di TRX itu sudah dicagarkan kepada bank.


4.                  Transaksi hartanah 1MDB-Tabung Haji ini dengan jelas menunjukkan bahawa Perdana Menteri Malaysia boleh, pada bila-bila masa, mempengaruhi proses pembuatan keputusan di Tabung Haji. Ini adalah satu tindakan contoh (precedence)  yang bakal ditiru dan diulang oleh pemimpin-pemimpin yang lain. Justeru,  campur tangan ini perlu dibantah sekeras-kerasnya kerana ini adalah satu bentuk penyalahgunaan kuasa dalam urusan dana awam dan bertentangan sama sekali dengan prinsip-prinsip urustabir yang baik, ketelusan, keamanahan dan kebertsngungjawaban dalam pengurusan dana awam.  Harus dingat bahawa dana Tabung Haji adalah hak milik penabung-penabung yang terdiri dari dari orang Islam yang majoritinya berpendapatan rendah – penoreh  getah, nelayan, pemandu teksi, kakitangan kerajaan dan pekerja-pekerja persendirian – yang menabung berdikit-dikit untuk memenuhi hajat ke Tanah Suci. Adalah malang wang yang dijana dari keringat dan air mata rakyat marhain ini disalahgunakan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab untuk kepentingan yang langsung tidak ada kena mengena dengan kepentingan dan kebajikan penabung-penabung. Kita dengar, sudah berkali-kali dan Tabung Haji digunakan untuk menyelamatkan syarikat-syarikat kerajaan dan syarikat milik keroni kepada pemimpin tertentu, maka,  sudah sampai masanya penyalahgunaan dana awam seperti ini dihentikan segera.  Berurusan dengan sebuah syarikat yang dalam penyiasatan oleh pihak berkuasa  dan sebuahsyarikat yang secara terbuka sudah diketahui ada tuduhan ke atasnya bahawa ia terlibat dalam pelbagai skandal kewangan adalah menyalah etika perniagaan.  Sukar difahami kenapa Tabung Haji masih mahu berurusniaga dengan syarikat seperti ini.


5.                  Dilaporkan Perdana Menteri mendakwa bahawa pembelian hartanah oleh Tabung Haji dari 1MDB ini bakal menjana keuntungan lumayan kepada Tabung Haji, kononnya sehingga ratusan juta.  Dakwaan ini boleh dipertikaikan. Pertama, kalau memang niat Perdana Menteri untuk memberi keuntungan lumayan kepada Tabung Haji supaya akhirnya penabung-peanbung- penabung akan mendapat manfaat dalam bentuk bayaran dividen yang tinggi, kenapa tidak dijual tanah TRX itu kepada Tabung Haji awal-awal lagi pada harga “tanah kerajaan” seperti yang dibayar oleh 1MDB bila ia membeli tanah itu?  Kalau sesungguhnya Perdana Menteri Berjiwa Islam dan Melayu, itulah yang sepatutnya dilakukan kerana penabung-penabung di Tabung Haji 100% orang Islam dan Melayu. Kedua,  sekiranya niat Perdana Menteri ialah untuk memberi keuntungan lumayan kepada Tabung Haji, kenapakah hartanah berkenaan dijual kepada Tabung Haji pada harga yang luar biasa mahalnya, lebih mahal dari hartanah di Bukit Bintang dan kita difahamkan bahawa hartanah yang bernama TRX itu seolah-olahnya adalah sekeping hartanah di Kota London dan New York.  Malah ada pihak yang mendakwa hartanah yang dibeli oleh Tabung Haji itu adalah sekeping hartanah yang harganya paling mahal di dunia.  Oleh yang demikian, kami melihat bahawa tidakan menjual satu setengah ekar tanah di TRX oleh 1MDB kepada badan kaya tunai Tabung Haji dengan harga tunai dibayar segera dan sepenuhnya tidak lain melainkan adalah satu tindakan untuk menyelamatkan 1MDB  yang diselubungi pelbagai skandal dan yang sedang menghadapi kesempitan mudah tunai akibat dari terlibat, seperti yang dilaporkan pelbagai pihak, dalam pelbagai transaksi kewangan yang meragukan yang menyebabkan sebahagian dana tunainya “lesap tidak dapat dikesan.”


6.                  Gerakan Menyelamatkan Tabung Haji (Selamatkan Tabung Haji) berpendirian Tabung Haji perlu diselamatkan dari menjadi mangsa puak yang menyalahgunakan kuasa dan yang dilihat tidak berminat untuk menjaga kepentingan dan kebajikan penabung-penabung.  Oleh itu, kami mendesak satu rombakan dan penyusunan semula pengerusi dan lembaga pengarah Tabung Haji serta pengarah urusan dan timbalan pengarah urusan hendaklah dilakukan dengan segera.  Tabung Haji hendaklah dibebaskan dari menjadi mangsa kepada gejala pertembungan kepentingan. Kita tidak boleh membiarkan elemen-elemen seperti ini mengkompromi keutuhan sebuah institusi kewangan Islam yang  amat besar maknanya kepada kepentingan ekonomi umat Islam ini.  Gerakan Selamatkan Tabung Haji menasihatkan supaya penabung-penabung mengelakkan diri dari mengambil tindakan yang negatif yang tidak menguntungkan Tabung Haji dan penabung-penabung sendiri. Jangan ada pihak yang bertindak untuk  mengkrompromi keutuhan Tabung Haji yang telah dibina dari keringat rakyat miskin ini.



YB DATO’ HJ MAHFUZ OMAR
Pengerusi Gerakan Selamatkan Tabung Haji
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur
Isnin, 11 Mei 2015

0 comments: