Himpunan Anak Muda Selangor (HAMAS) Dan Muktamar Dewan Pemuda PAS Selangor Kali Ke 49



Seruan HAMAS..

Dalam mesyuarat Dewan Pemuda Pas Negeri Selangor (DPPNS) pada bulan Oktober 2014, satu keputusan telah dibuat untuk DPPNS mengadakan satu program himpunan secara besar-besaran.

Mesyuarat bersetuju untuk kita mengadakan satu himpunan atas nama Himpunan Anak Muda Selangor (HAMAS). Akhirnya dalam bulan Mac 2015 kita bersetuju untuk mengadakan Himpunan tersebut bersempena dengan Muktamar DPPNS kali 49 pada tahun ini iaitu pada bulan Mei bertempat di Stadium Tertutup MPSJ, Serdang Jaya.

Gerak kerja untuk persiapan HAMAS dan Muktamar DPPNS yang diketuai oleh Sdr Damanhuri selaku Setiausaha DPPNS dan sekretariatnya berjalan dengan agresif bagi memastikan kejayaan kedua-dua program besar tersebut.

Susunan aturcara dengan melibatkan hampir semua kompenan utama DACS dan penglibatan Dewan Pemuda PAS Kawasan (DPPK) berhampiran termasuk DPPK Puchong, Serdang, Sepang dan lain-lain secara tidak langsung serta kesungguhan sahabat-sahabat DPPNS yang diterajui Us Razali Saari Al Banjari selaku Bendahari mencari dana bagi menampung kos sedikit sebanyak memberi keyakinan bahawa program HAMAS ini akan mencapai kejayaan.

HAMAS beruntung kerana YB Dato' Seri Tuan Guru Presiden PAS telah memaklumkan kesudiannya untuk hadir bersama meraikan program anak muda ini. Di samping tokoh anak muda lain yang akan turut serta.

Harapan dari saya, seperti yang saya sebut dalam mesyuarat DPPNS agar DPPK mengambil peluang untuk sama-sama menjayakan program ini. Ambillah kesempatan di atas program HAMAS ini untuk mendekati anak muda dikawasan masing-masing untuk sertakan mereka dalam agenda program HAMAS. Peluang yang sama ini mampu untuk mengukuhkan dan mengeratkan ukhuwah dikalangan keluarga besar DPPNS.

Aplikasikan kalimah "move foward" yang digembar- gemburkan untuk menjayakan program DPPNS ini daripada melayan perkara yang tidak tahu hujung pangkal. Kejayaan HAMAS adalah kejayaan DPPNS dan DPPK seluruh Selangor.


Syarhan Humaizi Halim
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda Pas Selangor
5 Mei 2015

0 comments: