Mahasiswa: Idealisme, Sekatan dan Perjuangan



logo-gamisbaru1

Darsawarsa ini mahasiswa menjadi topik perbincangan hangat dalam kalangan segelintir masyarakat di Malaysia. Ditambah pula dengan siri Jelajah Mahasiswa Tolak GST yang dianjurkan oleh Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia(GAMIS) baru-baru ini dari kampus ke kampus telah memarakkan api kemarahan khususnya pihak Hal Ehwal Pelajar(HEP) dan keselamatan kampus. Membuktikan suara mahasiswa memang benar-benar ditakuti oleh Sang Pemerintah yang mungkin akan menyebabkan pengaruh suara mahasiswa ini sampai dan tersebar menusup telinga rakyat dan menyebabkan rakyat bangkit meruntuhkan kezaliman.


Dalam kerangka undang-undang, mahasiwa sebenarnya masih belum jelas akan keterbatasan mereka dalam bersuara. Mahasiswa sebenarnya masih keliru dengan peruntukan kebebasan bersuara yang termaktub di dalam Perlembagaan Malaysia disamping kekangan AUKU dalam akta 174 pindaan 2012. Ramai yang menganggap bahawa pindaan AUKU pada tahun 2012 memberi ruang kebebasan yang selaras dengan kebebasan bersuara dalam artikel 10 (1) Perlembagaan Malaysia.


Apa yang perlu difahami, kedua-dua peruntukan dan akta ini walaupun kelihatan tidak bercanggah, namun masih kontra dari segi aplikasinya. Sekiranya diteliti Seksyen 10(2)(c) dan 10(2)(d) Akta 174 Pindaan 2012, keduanya menyatakan sekiranya mahasiswa tersebut memegang jawatan di dalam parti politik, beliau tidak dibenarkan bertanding di dalam pilihanraya kampus sekaligus tidak dibenarkan memegang jawatan kepimpinan mahasiswa di dalam kampus, apatah lagi ingin menganjurkan sebarang aktiviti parti politik di dalam kampus?


Apabila kita melihat semula dalam kerangka pengertian politik, dalam bahasa mudahnya ia memberi makna “the art of governance”, iaitu seni dalam pengurusan yang merangkumi segenap aspek kehidupan manusia. Bahkan di dalam Islam sendiri menekankan aspek pengurusan dan kawalan diri melalui komponen taqwa. Dan inilah juga yang disifatkan sebagai tugas hamba Allah, iaitu menjadi khalifah, sekaligus pemimpin dan pentadbir dunia dengan menegakkan tiang-tiang syariat Islam.


Surah pertama yang diturunkan Al-Quran yang bermaksud bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan menunjukkan kebebasan akademik dalam Islam. Dalam erti kata lain, manusia bebas dalam berakademik, bersuara, melontarkan pandangan dan idea akan tetapi disana terdapat limitasinya iaitu tidak melangkaui batasan syara.


AUKU Pindaan 2012 pula telah ditafsir lebih luas dari Akta 174 berkenaan keterlibatan mahasiswa yg terlibat dalam parti politik untuk memegang jawatan kepimpinan di dalam kampus. Walau bagaimanapun, Seksyen 15 (3)(b) telah dimanipulasi secara halus untuk menyekat kebebasan mahasiswa bersuara. Limitasinya, mahasiswa diharamkan menyatakan atau mengambil sebarang tindakan yang ditetapkan tidak sesuai oleh Lembaga Universiti. Hal ini membuka peluang kepada Lembaga Universiti untuk mengambil kesempatan mentafsir ketidaksesuaian sebarang bentuk tindakan mahupun kenyataan sebagai tidak sesuai dan salah disisi undang-undang universiti.


Realiti hari ini, apabila mahasiswa sekadar ingin melontarkan pandangan yang agak kontra dengan pihak kerajaan selalunya akan terus dihalang daripada berucap. Alasan yang paling mudah adalah tidak mendapat kebenaran daripada Universiti. Akan tetapi apabila mahasiswa melalui prosedur yang sebenar, membuat kertas kerja program dan ingin meluluskan kertas kerja tersebut, ianya tetap juga tidak dibenarkan. Alasannya pula adalah kerana tajuk tidak sesuai, ataupun penceramah dari parti politik, atau penceramah tersebut adalah kontroversi. Jadi harus bagaimana lagi mahasiswa ingin melontakan pandangan?


Sewaktu Mesir dijajah pada tahun 1915 suatu ketika dulu, antara perkara utama yang telah dilakukan oleh Inggeris adalah menakluki institusi pendidikan. Inggeris telah merampas dan menawan Universiti Al-Azhar kerana mereka menganggap bahawa sekiranya ajaran Islam diajar dan disebar dengan betul maka Islam akan berkembang. Maka mereka menyekat pergerakan pelajar dan pensyarah bahkan telah membuang pensyarah-pensyarah dan sarjana yang lantang bersuara lalu memasukkan sarjana yang pro kepada mereka. Sillibus-sillibus yang asal dtukar kepada sillibus yang berunsur perkauman. Kesannya adalah sistem pembelajaran menjadi longgar dan kualiti pelajarnya menjadi lemah.


Ironinya, halangan-halangan yang wujud di kampus hari ini mirip seperti halangan yang dibuat oleh sang penjajah suatu ketika dahulu. Halangan di dalam AUKU Pindaan 2012 dan Akta 174 Pindaan 2012 pula seolah-olah menafikan hakikat kehidupan mahasiswa yang hampir separuh dari masa mereka berada di dalam kampus dan bersama masyarakat mahasiswa di kampus. Mana mungkin dikotomi sebegini boleh dikatakan sesuatu yang waras?


Yang seharusnya, mahasiswa selaku masyarakat intelek diberi ruang dan peluang seluas-luasnya untuk meneroka ruang berfikir, ruang untuk menyuarakan pandangan, berwacana dan berdiskusi dalam segenap perkara, termasuklah hal ehwal negara. Ini termasuk juga perihal ekonomi, sosial, pendidikan, agama, bangsa, dan sebagainya. Jelas, Seksyen 15 (3)(b) AUKU dan seksyen 10(4)(a) Akta 174 ini bukan sesuatu yang sihat dalam melahirkan graduan yang cerdas dan berdaya saing.


Mohd Imran Md Ishak

Presiden Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia(GAMIS)

0 comments: