PAS SEBAGAI GERAKAN ISLAM SENIOR DUNIA ISLAM


PAS SEBAGAI GERAKAN ISLAM SENIOR DUNIA ISLAM
Oleh: Zaiem al-Hilmee

Di dalam Majlis Perasmian Muktamar Dewan Ulamak & Dewan Muslimat PAS Negeri Sabah pada 2 Mei 2015, Tuan Guru Abdul Hadi menyatakan bahawa demokrasi di Malaysia membebaskan kita untuk bercakap mengenai Islam, tidak seperti negara-negara lain seperti Tunisia dan Turki yang tidak boleh bercakap mengenai Islam secara terbuka kerana sekularisme yang kuat.

Di Turki, Erbakan yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Perdana Menteri Turki berhadapan dengan rampasan kuasa oleh tentera apabila menyuarakan untuk membawa agenda Islam begitu juga keadaan suasana yang hampir sama di Tunisia yang dialami oleh Rashid Ghannoushi. Maka, ia sangat berbeza dengan suasana di negara kita dan beliau menegaskan bahawa PAS bukanlah AKP, PAS bukan An-Nahdah, PAS bukan Ikhwan tetapi PAS adalah PAS.

Tuan Guru juga menyatakan ada di kalangan kumpulan Islam yang tasahul (bermudah-mudah dengan Islam) dan ada yang dikenali sebagai tasyaddud (terlalu keras kerana tak faham realiti dan perlaksanaan hukum).

Tuan Guru Abdul Hadi menyertai Ikhwanul Muslimin pada tahun 1969 tanpa mengetahui bahayanya menyertai Ikhwanul Muslimin ketika itu yang ahlinya bakal dihadapkan ke tali gantung. Tekanan ketika itu menyebabkan ramai kepimpinan-kepimpinan Ikhwan berpindah ke luar negara. Maka, tercetus satu gagasan untuk menubuhkan Ikhwan cawangan negara-negara dengan menjadikan Ikhwanul Muslimin sebagai parti Islam yang bersifat antarabangsa. Ikhwanul Muslimin berpecah dua, ada yang setuju dan ada yang tidak setuju mengenai hal ini.

Tuan Guru Abdul Hadi seringkali merujuk kepada Syeikh Sa'id Hawwa yang mengeluarkan pandangan tegas bahawa tidak perlu ditubuhkan Ikhwan cawangan-cawangan kerana ada Gerakan Islam yang sedia ditubuhkan di negara masing-masing. Ini menyebabkan akan berlaku perpecahan dan kerja lagi banyak jika menubuhkan kumpulan Islam yang baru. Maka Tuan Guru telah bertemu enam Mursyidul Am Ikhwanul Muslimin antaranya Umar Tilmisani, Hamid Abu Nasr, Ma'mun Hudhaibi, Mustafa Masyhur, Mehdi Akif dan Mohamed Badi'e menerangkan tentang ini dan mereka sedia maklum berkaitan perkara ini.

Tuan Guru menyatakan PAS mempunyai pengalaman yang cukup luas. Selepas kejayaan Revolusi Iran, beliau pernah bertemu Khomeini dan Khomenei, bertemu Ayatullah Shairazi bertanya pendapatnya mengenai gerakan. Namun untuk mencapai kemenangan tidaklah sekali-kali menjadi Syiah kerana aqidah kita berbeza dengan mereka. Kerajaan Iran ketika itu juga melantik Tuan Guru Abdul Hadi menjadi Ahli Jawatankuasa Taqrib Mazahib (Jawatankuasa yang mendekatkan Mazhab-Mazhab Islam).

Apabila berlaku perpecahan kumpulan Mujahidin di Afghanistan, Tuan Guru Abdul Hadi dan Ustaz Fadzil Noor ke Kabul untuk mendamaikan mujahidin-mujahidin bagi penyatuan mereka. Beliau juga bertemu dengan Dr Abdullah Azam dan Dr Abdullah Azzam pernah berkata bahawa kemenangan Islam hanya dengan jihad bersenjata.

Tuan Guru menegaskan kepada Dr Abdullah Azzam bahawa PAS berjuang secara muwajahah silmiyyah melalui saluran demokrasi yang diamalkan di Malaysia dan ianya berbeza dengan perjuangan mujahidin di Afghanistan. Ini menunjukkan PAS tidak terikut-ikut dengan corak perjuangan kumpulan Islam di negara-negara lain yang sememangnya berbeza realiti dan situasi mengikut keadaan negara masing-masing.

0 comments: