Pedofilia : Kembali Kepada Islam Sebagai Penyelesaian

Saya terpanggil untuk menulis berhubung isu seorang pelajar tajaan MARA, Nur Fitri Azmeer Nordin yang kini menjalani hukuman penjara bersabit kesalahan memiliki lebih 30,000 imej dan video lucah kanak-kanak di London. Menurut fakta kes, Nur Fitri yang mula belajar di Imperial College sejak tahun lalu ditahan di kediamannya di Queensborough Terrace, West London. Ini berikutan kejayaan pihak Polis Metropolitan yang berjaya mengesan Nur Fitri selepas menemui satu akaun internet miliknya yang telah memuat turun ribuan video dan imej lucah kanak-kanak. Polis kemudiannya bertindak menggeledah rumahnya pada November 2014 dan menemui komputer riba milik Nur Fitri yang masih terbuka bersebelahan sebuah patung kanak-kanak.

Di dalam ilmu perubatan, pedofilia diertikan sebagai sexual feelings directed towards children (keinginan seks secara langsung terhadap kanak-kanak). Ia merupakan salah satu ketegori gangguan psikiatri melibatkan orientasi seksual yang mana kebanyakan pedophile boleh menjadi seperti heteroseksualiti, homoseksual atau biseksual. Ia melibatkan rangsangan erotik, fantasi dan tarikan seksual terhadap kanak-kanak. Bedasarkan DSM-III (Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders) dan Persatuan Psikiatri Amerika, 1987) menyenaraikan ciri-ciri dan kriteria penting pedofilia sebagai berulang-ulang, dorongan seksual, kebangkitan fantasi dan hubungan seks serta berlaku sekurang-kurangnya tempoh enam bulan. Ia melibatkan aktiviti seksual terhadap kanak-kanak yang umumnya berumur 13 tahun ke bawah. (http://www.webmd.com/mental-health/features/explaining-pedophilia)

Pedophile (Pelaku) dikatakan biasanya tidak mendapat kepuasan dalam hubungan seks dewasa dan berkemungkinan besar mempunyai harga diri yang rendah, mereka mendapati aktiviti seksual terhadap kanak-kanak kurang mengancam dan mengganggu gugat penghargaan kendiri mereka. Rujukan daripada DSM-IV (Diagnostic and Statistical Manual of Mental Disorders) kes pedofilia amat jarang berlaku di kalangan wanita dan kebanyakan pedophiles adalah lelaki yang kebiasaannya adalah ahli keluarga, jiran dan kawan. Kebanyakan sasaran dan mangsa juga adalah kanak-kanak perempuan. Namun terdapat juga kes-kes pedofilia terhadap kanak-kanak lelaki.

Di dalam isu Nur Fitri yang dikhabarkan sebagai seorang pelajar genius di dalam ilmu matematik, kerajaan mahupun MARA perlu lebih serius di dalam memastikan gejala sosial di kalangan pelajar genius khususnya yang belajar di luar negara dapat dibendung. Tanpa menyebut sebarang nama, saya yakin rakyat masih mengingati dengan jelas nama-nama pelajar genius di Malaysia yang akhirnya terjebak dengan gejala yang tidak baik apabila menyambung pengajian di luar negara. Natijahnya, mereka tidak pulang membawa kejayaan sebagaimana yang diharapkan.

Islam mempunyai pendekatan sendiri di dalam menangani gejala seperti ini. Untuk golongan muda, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud : “Wahai sekalian pemuda, barangsiapa di antara kalian yang sudah mampu untuk menikah, maka segeralah menikah, karena nikah akan lebih menundukkan pandangan dan lebih menjaga kehormatan, sesiapa yang tidak mampu hendaklah dia berpuasa kerana ia merupakan penghalang kepadanya (untuk melakukan perkara mungkar).” (Muttafaqun alaihi). Justeru, perkahwinan dianggap sebagai satu jalan penyelesaian yang sangat baik di dalam menyelesaikan isu kehendak seksusal yang tidak apat dikawal.

Hari ini, isu perkahwinan di alam belajar mula dianggap sebagai isu yang serius oleh ibubapa. Sebelum ini, menjadi lumrah di kalangan ibubapa untuk melarang anak-anak mereka melangsungkan perkahwinan di alam belajar di atas alasan bimbang fokus terhadap pelajaran akan terganggu. Menjadi amalan juga di kalangan agensi-agensi yang menawarkan biasiswa untuk mengenakan syarat agar penerima biasiswa dilarang daripada melangsungkan perkahwinan ketika belajar. Mana-mana penerima biasiswa yang melanggar syarat ini boleh ditarik balik biasiswa yang diterima serta merta. Ini adalah satu peraturan yang sangat tidak adil terhadap fitrah manusiawi khususnya di era langit terbuka pada hari ini.

Peningkatan kesedaran di kalangan ibubapa di dalam isu pernikahan semasa belajar ini sangat-sangat positif. Justeru, didapati di alam-alam kampus, pasangan-pasangan mahasiswa yang mendirikan rumahtangga sudah tidak menjadi satu perkara yang asing bahkan ia menjadi satu budaya yang sedang berkembang.

Dari satu sisi lagi, pihak penaja perlu memberikan penekanan yang lebih serius terhadap kesedaran agama untuk pelajar-pelajar sebelum mereka melanjutkan pengajian di luar negara. Perlu diingat, dalam situasi tanpa keluarga di sini yang boleh mengawal, pelajar-pelajar ibarat burung yang dilepaskan dari sangkar. Tiada kawalan mutlak yang boleh mengawal mereka. Hanya kesedaran agama yang tinggi sahaja yang boleh menjadikan mereka terhindar dari situasi yang tidak baik.

Namun, penekanan pihak kerajaan dilihat tidak ke arah itu. Kerajaan lebih berminat untuk membasmi persatuan pelajar yang dibimbangi cenderung kepada pembangkang daripada memperkasakan kesedaran agama. Di Mesir sebagai contoh, peranan yang dimainkan oleh pihak kerajaan Malaysia cukup jelas sehingga menjadikan PMRAM selaku persatuan induk pelajar Malaysia yang sudah ditubuhkan berpuluh-puluh tahun akhirnya digantung pendaftarannya. Hasilnya, budaya konsert dan maksiat di kalangan pelajar Malaysia sendiri berjaya bertapak di bumi Mesir dan ia hanya akan membuka jalan kepada situasi yang lebih teruk akibat salah penekanan yang dilakukan oleh kerajaan melalui pihak kedutaan.

Ia hanya sebagai contoh. Justeru, tiada kaedah lain untuk menghalang isu pedofilia ini kecuali kembali kepada Islam. Semua pihak perlu memainkan peranan. Di dalam kes Nur Fitri, beliau sudah dihukum dan tiada lagi sebab untuk MARA terus menggunakan wang rakyat bagi membiayai pelajar yang disahkan mempunyai rekod sebegini. Di luar sana, masih ramai pelajar yang tidak berkemampuan dinafikan hak untuk menerima biasiswa dan hanya mampu melutut di tangga PTPTN mengemis hutang untuk belajar.

Jalan untuk Nur Fitri ialah pulang semula ke Malaysia selepas menjalani hukuman, sambung pengajian di university yang masih banyak di negara ini. Jika beliau benar-benar insaf, saya yakin beliau masih mempunyai masa depan yang cerah. Tidak mustahil beliau boleh mencapai keputusan yang lebih cemerlang di dalam pengajiannya di Malaysia. Perlu diingat, keputusan 3.85 dan ke atas di negara ini melayakkan kita untuk menjadi seorang Menteri.

Ahmad Fadhli bin Shaari
Ketua Pemuda PAS Negeri Kelantan
7 Mei 2015

0 comments: