TANGGUH PELABURAN TANAH TRX


Pemuda PAS menggesa pihak pengurusan Lembaga Tabung Haji menangguhkan pembelian tanah TRX kepunyaan 1MDB yang dianggap terlalu berisiko bagi sebuah kepentingan dana awam.


Kami sedia maklum bahawa TH Properties Sdn Bhd mempunyai jumlah peruntukan kewangan yang besar untuk projek-projek pelaburan dan pembangunan hartanah, namun keputusan untuk membeli tanah TRX 1MDB dianggap sebagai satu keputusan politik semata-mata.


Terdapat beberapa isu utama untuk menjustifikasikan penangguhan pembelian ini;

[1] 1MDB harus menyelesaikan audit forensik kewangan terlebih dahulu kerana ia melibatkan kepentingan awam dan integriti kerajaan terutamanya YAB Perdana Menteri. Pelbagai persoalan masih belum terjawab. Dana pelaburan yang ditarik semula masih menjadi tanda tanya.

[2] Keseluruhan projek Tun Razak Exchange masih lembab. Tiada laporan perkembangan yang drastik. Tambahan pula, 1MDB bergelumang dengan masalah kewangan yang teruk termasuk beberapa isu integriti. Ini akan terdedah kepada kegagalan keseluruhan projek TRX. Oleh itu, sebagai sebuah dana awam, ia tidak seharusnya terjebak dengan risiko perniagaan dan politik ini.

[3] Di Kuala Lumpur, kita sedang berhadapan dengan lebihan penawaran sektor hartanah mewah samada bagi jenis residen dan pejabat. Selain itu, harga jualan hartanah dengan dampak GST semakin tinggi, dan kadar penolakan pembiayaan/hutang tinggi oleh institusi kewangan, serta jumlah jualan hartanah rendah dari pelbagai pemaju adalah faktor-faktor penolakan yang tidak mewajarkan pembelian tanah tersebut untuk tujuan pembinaan apartmen mewah. Pulangan pelaburan juga dijangka tidak akan tercapai dalam tempoh 5 tahun.

Justifikasi di atas boleh dirumuskan bahawa keputusan pihak pengurusan Lembaga Tabung Haji untuk membeli tanah yang berjumlah RM 188.5 juta adalah semata-mata kerana kepentingan politik dan bukan atas faktor perniagaan dan kepentingan awam.


Sekian, terima kasih.
IR. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN 
Ketua Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan,
Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia

0 comments: