"Terima Kasih Semua... Tapi Saya Tak Layak"

Diterbitkan: 05 Mei 2015

Ditulis oleh Super User

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari hari ini, mengumumkan menolak pencalonan ke atasnya bagi jawatan Ketua Pemuda dan Naib Pemuda PAS dalam pemilihan Muktamar Tahunan Pemuda PAS Pusat, bulan depan.

Ahmad Fadhli berpendapat, belum tiba masanya untuk beliau menggalas amanah tersebut. Berikut adalah kenyataan beliau menerusi laman facebook beliau:
Saya membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Muktamar Tahunan PAS ke 61, Asmuni Awi hari ini seperti yang disiarkan di dalam laman web harakahdaily yang menyatakan bahawa nama saya turut dicalonkan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda PAS Malaysia dan Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia di dalam Muktamar Tahunan Pemuda PAS Pusat awal bulan hadapan.

Saya akan menunggu surat tawaran dari Jawatankuasa Pemilihan sebagaimana yang diumumkan, namun sebagai pengumuman awal, saya ingin menyatakan terima kasih kepada semua Jawatankuasa Pemuda PAS Kawasan yang telah mencalonkan nama saya untuk kedua-dua jawatan ini dan saya amat-amat menghargainya. Bagaimanapun, dengan maaf, saya merasakan belum sampai masanya untuk saya memikul amanah berada di tempat tersebut buat masa sekarang.

Justeru, dengan rendah diri, saya mengisytiharkan untuk tidak bertanding kedua-dua jawatan ini bagi memberikan laluan kepada mereka yang lebih berkelayakan. Insya-Allah, Pemuda PAS Malaysia akan terus maju ke hadapan mendepani arus politik semasa sekaligus menjadi benteng mempersadakan PAS selaku gerakan Islam di bawah lembayung kepimpinan Ulama.

Ahmad Fadhli bin Shaari,
5 Mei 2015

0 comments: