Umat Islam Sarawak Wajib Dilindungi

Diterbitkan: 11 Mei 2015

Ditulis oleh Zharudin Narudin

Meskipun isu 1MDB mungkin hanya sebagai modal menjatuhkan Barisan Nasional (BN) di Malaysia dan tidak di Sarawak, namun isu wang Tabung Haji (TH) perlu dipandang oleh Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem.

Strategi menangani isu TH tidak semudah menangani isu 1MDB yang di diamkan sahaja di Sarawak, kerana itulah gula-gula penting yang "disapik" atau disuap oleh BN kepada rakyat Sarawak yang menjadikan UMNO terus berkuasa di Malaysia.

CM Adenan perlu menyedari bahawa sebahagian wang yang digunakan untuk membeli tanah yang dijual oleh 1MDB adalah daripada sebahagian wang simpanan Umat Islam di negeri ini! Kepentingan menjaga hak dan keselamatan harta dan jiwa seperti yang dinyatakan oleh CM Adenan ketika pertemuan kami (PAS Sarawak) bulan lepas perlu di zahirkan dan dibuktikan.

CM Adenan perlu segera ke Kuala Lumpur bagi mendapat penjelasan terus daripada Lembaga Tabung Haji tentang kedudukan wang kami umat Islam Sarawak yang telah menyimpan sekian lama di TH. Jika benar wang kami digunakan, urusakanlah agar wang kami umat Islam Sarawak tidak digunakan dalam penyelewengan jijik BN itu.

CM Adenan terkenal dengan sikap tegas dan berani berdepan, jika beliau sanggup ke London bertemu dengan NGO Alam Sekitar di sana dan berdialog, apalah sangat untuk berjumpa rakan sekutunya Dato Seri Najib di Kuala Lumpur?

Umat Islam Sarawak perlu pembelaan dan kita dari kalangan pemimpin Islam negeri inilah bertanggungjawab untuk membantu mereka jika dizalimi. Ingatlah CM Adenan , umat Islam Sarawak sedang menunggu jawaban anda untuk penyelesaian isu ini dan banyak lagi cadangan "pembaharuan" yang dicanangkan oleh kepimpinan anda masih lagi bersifat "akan datang".

Saya mengaharap, keberanian CM Adenan terbukti dengan keberaniannya mempertahankan wang hasil titik peluh umat Islam Sarawak yang berniat untuk menunaikan rukun Islam ke lima ini dari di seleweng oleh BN melalui 1MDB. Usaha ini juga akhirnya akan menjadi contoh kepada Ketua Menteri atau Menteri Besar lain untuk bersungguh-sungguh membela nasib rakyat negerinya.

Zharudin Narudin
Tim.Ketua Pemuda PAS Sarawak

*Gambar: Zharudin (3 dari kanan) ketika bertemu dengan CM Adenan di Pejabatnya di DUN bulan lepas.

0 comments: