GEMPA BUMI SABAH : AMBIL LANGKAH BERJAGA DAN TERUSKAN BERDOA

Oleh : Nik Mohamad Abduh Bin Nik Abdul Aziz
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Pasir Mas.


6 Jun 2015.

Saya melahirkan rasa simpati terhadap penduduk Ranau dan beberapa tempat di bahagian Sabah yang mengalami gempa bumi pada 6.1 skala Ritcher pada 7.17 pagi semalam.

Kejadian sebegini sudah pasti menggemparkan masyarakat seluruh negara kerana ia adalah gegaran paling kuat melanda negara sejak 1976. Rekod tertinggi ketika itu adalah pada 5.8 skala Ritcher yang telah melanda bahagian Lahad Datu, Sabah.

Beberapa kejadian gempa bumi juga telah melanda beberapa kawasan di Sabah sejak 2011 seperti di Kundasang pada 2.9 skala Ritcher, Timur Keningau pada 3.0 skala Ritcher (Disember 2012) dan begitu juga Kudat pada 3.6 skala Ritcher (Julai 2013) dan beberapa kawasan yang lain.

Saya menasihati penduduk di kawasan-kawasan berkenaan supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga disebabkan keadaan yang masih belum stabil di samping terus berdoa supaya keselamatan diri dan keluarga terus terjamin.

Dewan Pemuda PAS juga akan dikerahkan bagi menyalurkan segala bantuan yang diperlukan mangsa gempa bumi tersebut dengan harapan dapat mengurangkan bebanan yang ditanggung mangsa ketika ini.

Sebagai seorang muslim, ini merupakan suatu peringatan daripada Allah سبحانه وتعالى tentang kekuasaanNya. Allah سبحانه وتعالى telah memberi suatu peringatan di dalam satu firmanNya;

(ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُمْ بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ)

"Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)"
[Surat Ar-Room 41]

Selain itu, menurut laporan media pada malam tadi, ratusan pendaki gunung masih terperangkap di Gunung Kinabalu dan beberapa pendaki masih tidak sedarkan diri.

0 comments: