Humanistic Productivity - vol 1 (Produktiviti Kemanusiaan)

Perkongsian Dari Parlimen. Siri 18
Oleh : Nasrudin bin Hassan
Ahli Parlimen Temerloh.


Humanistic Productivity - vol 1
(Produktiviti Kemanusiaan)


Tuan Yang Di Pertua :

1. Perkara paling penting untuk melonjakkan produktiviti seterusnya menggapai sebuah negara maju sebagaimana yang diimpikan, kita mestilah memperkasakan modal insan dan ianya boleh dicapai menerusi pendidikan yang berkualiti.

2. Justeru itu, Pelaburan pendidikan yang dilakukan bukan hanya diukur daripada aspek kuantitatif makro ekonomi, tetapi juga mementingkan aspek kualitatif modal insan yang akan dipasarkan ke dalam pasaran buruh.

3. Benar, bagi memacu sebuah negara maju, mengembangkan ekonomi berasaskan ilmu pengetahuan dan penjanaan pekerjaan berkemahiran tinggi, kita memerlukan pasaran buruh yang berkompetensi. Namun, ia mestilah berakarkan kepada nilai agama, etika dan moral.

Tuan Yang Di Pertua :

4. Spesifik dengan isu pelaburan pendidikan ini, saya lihat ianya satu aspek yang tidak diberikan penekanan dalam RMK 11. Khasnya Pembangunan Pendidikan Islam. Sehingga kini kita tahu bahawa Pendidikan Islam Negara telah ada :

Kurikulum Bersepadu Dini (KBD)

Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT)

Kurikulum Sijil Tinggi Agama Malaysia


Juga perlaksanaan program J-Qaf untuk sekolah rendah dan STAM.

5. Tapi bagaimana keberkesanan kurikulum dan program - program ini ? Pembangunan dan pengupayaannya tidak dimasukkan dalam RMK 11 ? Bagaimana capaian dari sudut akademik dan bagaimana pula penghayatannya ?

Tuan Yang Di Pertua :

6. Saya lihat kerajaan perlu peka dalam soal ini. Ia juga mesti melibatkan usaha pengembelingan tenaga seluruh warga pendidik dan pentadbir sekolah. Samaada melibatkan sekolah bantuan kerajaan termasuklah sekolah agama rakyat. Jangan ia dianaktiri kan !

7. Sewajarnya, merancang pembangunan negara melalui RMK 11 ini, kerajaan mesti :

a - Menyediakan guru - guru yang mempunyai ikhtisas (kepakaran) bagi mengajar subjek KBD dan KBT

b - Memberi pengiktirafan kepada murid lepasan KBD dan KBT supaya mampu lanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi atau mampu berkhidmat dengan baik selepas tamat.

c - Pemerkasaan J - Qaf setelah kerajaan berbangga dengan kejayaan di peringkat sekolah rendah , kenapa tidak ia dikembangkan ke peringkat sekolah menengah ?

8. Tema hari guru 2015 sangat cantik, iaitu Membina Ilmu dan Menyempurnakan Akhlak. Namun jangan hanya menjadi tema di banner atau di signboard semata - mata. Di mana perancangan strategik untuk mencapai apa yang disebut pada tema itu ?

9. Seperkara lagi , bagaimana status pembangunandan perancangan untuk penempatan Guru Penutur Jati Bahasa Arab yang dijangka bermula tahun 2016 ini ? Juga apakah hasrat pembinaan 77 buah SMKA seperti yang termaktub dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) dapat direalisasikan? Saya kemukakan perkara ini kerana isu pembangunan Pendidikan Islam Negara tidak disentuh dalam RMK 11.

10. Sehubungan dengan itu, termasuklah taburan pembinaan Pusat Pengajian Tinggi di negeri - negeri, khasnya di Temerloh sebagai titik tengah semenanjung. Sementelah menteri berkenaan seketika dulu pernah menyebut bahawa IPT akan dibina di Temerloh, malah terdapat satu lokasi yang telah diwartakan sebagai milik salah sebuah IPT awam. Bagaimana perancangan kerajaan ke arah memastikan pembinaan IPT di Temerloh dapat direalisasikan ?

Sekian

0 comments: