Muktamar PAS: Hakikatnya Islam Yang Menang


KENYATAAN KHAS 
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
20 Sya'ban 1436 / 7 Jun 2015

"Muktamar PAS: Hakikatnya Islam Yang Menang"

1. Semua calon yang bertanding dalam pemilihan Muktamar PAS Kali Ke-61 di Kuala Selangor kelmarin hakikatnya memperolehi kemenangan.

2. Mereka yang telah terpilih itu mendapat kepercayaan para perwakilan mewakili ahli PAS dari seluruh negara bagi memikul amanah untuk memenangkan Islam.

3. Manakala mereka yang tidak terpilih pula tetap menjadi harapan agar terus istiqamah menggalas amanah membantu parti hingga mencapai kemenangan perjuangan.

4. Kerana hakikatnya, kekalahan hanyalah untuk golongan yang merasa tidak senang dan tidak mahu melihat kejayaan serta kemenangan Islam.

5. Pada ketika ini yang tidak senang dengan agenda dan perjuangan Islam dibawa PAS adalah DAP. Setiap hari pimpinannya menyerang PAS, termasuk masuk campur hal ehwal pemilihan PAS.

6. DAP semakin angkuh dan hanya mahu melihat PAS seperti 'lembu dicucuk hidung'. Insya-Allah kepimpinan baru PAS akan terus melangsungkan amanah perjuangan Islam.

7. PAS akan kekal beristiqamah menegakkan syariah Islam di bumi Malaysia selaras Perlembagaan Persekutuan hingga mencapai kemenangan menumbangkan kezaliman Umno-BN.

8. PAS juga komited berpegang kepada janji diikat dalam tahaluf siyasi bersama Pakatan Rakyat dan menghormati perbezaan yang wujud serta mengakui realiti kemajmukan rakyat negara ini.


MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Timbalan Ketua
Dewan Pemuda PAS Malaysia

0 comments: