Najib, Jangan Guna PAS Untuk Alih Isu

Diterbitkan: 08 Jun 2015
Ditulis oleh Tuan Ibrahim Tuan Man

Merujuk kepada laporan akhbar hari ini yang memetik Datuk Seri Najib Razak bahawa Umno sedia berunding dengan PAS demi kemaslahatan umat Islam setelah meneliti keputusan muktamar PAS.

Untuk makluman Najib, apa jua keputusan muktamar PAS, pendirian parti terhadap Umno adalah sama bahawa tidak akan bergabung dengan Umno. Majlis Shura PAS telah menegaskan perkara ini pada 19 Mei yang lalu.

Najib tidak perlu menangguk di air keruh untuk menimbulkan semula fitnah ini terhadap PAS. Jangan cuba menggunakan PAS untuk mengalihkan pandangan daripada isu-isu yang lebih penting.

Najib boleh melarikan diri daripada forum NothingToHide. Namun, beliau tidak boleh lari daripada masalah negara. Dengan insiden yang sebegitu memalukan, Najib tidak boleh terus-menerus memegang jawatan Perdana Menteri, Menteri Kewangan dan Penasihat 1MDB pada waktu yang sama tatkala pelbagai siasatan dilakukan terhadap 1MDB.

Sebagai permulaan, saya menggesa Najib berhenti serta-merta daripada menjadi Penasihat 1MDB memandangkan Bank Negara Malaysia (BNM) telah juga memulakan siasatan rasmi ke atas 1MDB. Ini satu perkara yang memalukan apabila syarikat yang dinaungi Perdana Menteri sendiri perlu disiasat BNM.

Bukan itu sahaja, Agensi Penarafan Kredit Antarabangsa Fitch Ratings telah menyatakan ada 50% kebarangkalian untuk mengurangkan taraf kredit ke atas Malaysia. Ini dipercayai ada kaitan dengan kontroversi 1MDB dan ketidak-yakinan mereka terhadap pengurasan kewangan negara. Di samping itu, di bawah Najib, Ringgit terus jatuh ke tahap terendah dalam tempoh sembilan tahun iaitu RM3.75 kepada 1USD.

Berlatar-belakangkan ini, saya juga menggesa Najib berhenti menjadi Menteri Kewangan selepas Hari Raya Aidilfitri ini. Cukuplah sekadar memegang jawatan Perdana Menteri sebagai peluang Najib untuk membersihkan nama beliau dan membawa Umno bersamanya ke PRU14.

Kepada Najib: “Kamu boleh hancurkan diri kamu dengan 1MDB. Tapi jangan hancurkan negara dengan 1MDB. Cukuplah kamu meranakan rakyat dengan GST, janganlah kamu meranakan generasi masa depan dengan 1MDB.”

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
8 Jun 2015

0 comments: