USRAH WHATSAPP (USWAH) SIRI 136


Dalam Kitab Al-Watsiqah Al-Nabawiyyah Wal Ahkam Al-Syar'iyyah Al-Mustafaadah Minha karya Syeikh Jasim Mohamed Rasyid menegaskan bahawa perlembagaan sesebuah negara yang diredhai Allah ialah yang selaras dengan Al-Quran Sunnah:

"Sesungguhnya kandungan utama bagi perlembagaan umat Islam dan undang-undang yang diguna pakai dalam negara mereka ialah berdasarkan Al-Quran dan Al-Sunnah. Menjadi kesalahan sama sekali jika berpegang kepada undang-undang yang bercanggah dengan syarak walau dalam apa keadaan sekalipun. Hanya undang-undang syarak sahaja yang muktamad dan selainnya tidak ada kuasa mutlak".

Dalam sejarah Islam, perlembagaan awal adalah Sohifah Madinah atau juga dikenali Dustur Madinah atau Watsiqah Madinah yang mempunyai 47 fasal merangkumi keseluruhan hal ehwal pentadbiran, ekonomi, ketenteraan, kehidupan sosial, hubungan antarabangsa, hukuman jenayah, hubungan non muslim dan hal ehwal politik. Setelah ianya digubalkan menjadi perlembagaan rasmi, orang yang berhak mentafsirnya adalah Rasulullah SAW dan kemudian para sahabat selepasnya yang dikenali 'Ahlul Halli Wal Aqdi' yang terawal. Ketinggian perlembagaan berdasarkan petunjuk wahyu ini dijadikan sebagai panduan memerintah dan bernegara dan ia adalah suatu sunnah Rasulullah yang agung untuk dilaksanakan oleh umat Baginda SAW disetiap zaman.

Di negara kita, perlembagaan yang ada adalah mukhalafah sunnah Rasulullah atau bertentangan dengannya dan kita kena berusaha agar selarikan perlembagaan tersebut supaya selaras dengan acuan wahyu, paling kurang perlembagaan yang sedia ada tidak menolak ketetapan syarak. Apabila termaktub dalam perkara 3 bahawa Islam adalah agama bagi persekutuan, maka tidak boleh untuk dikekalkan tafsiran agama tersebut hanya pada amalan ritual semata-mata. Tafsiran yang syumul sewajibnya digunapakai, bahawa Islam dan segala komponennya adalah bebas dilaksanakan. Begitu juga dengan perkara 4 yang membatalkan undang-undang yang bertentangan dengan undang-undang yang diluluskan selepas merdeka, hendaklah dikecualikan undang-undang Islam yang tsabit dalam nas Al-Quran kerana menjunjung perlembagaan yang menetapkan bahawa Islam sebagai agama negara. Maka usaha pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah sepatutnya dipermudahkan oleh pemerintah lagipun ia hanya berkait dengan pindaan kepada akta tertentu dan bukannya perlembagaan itu lagi!. Junjunglah perintah Allah!


~Asri ed-Diwanie 
24 Sya'ban 1436

0 comments: