Penafian Berita Disiarkan Oleh akhbar Berita Harian


Tajuk berita dalam akhbar cetak Berita Harian "Hadi beri amaran jangan sokong undi tidak percaya" bertarikh 31 Julai 2015 itu adalah salah dan mengelirukan. Presiden Pas menyebut bahawa undi tidak percaya di parlimen adalah salah satu proses demokrasi. PAS akan menelitinya. Bagaimana pula ia telah di spin sedemikian rupa oleh Berita Harian dengan tajuk dan isi yang bercanggahan dengan apa yang disebut oleh Presiden PAS.


Melainkan Berita Harian berniat jahat dan mempunyai agenda pecah perintah. Kami mendesak pihak Berita Harian meminta maaf dan membuat pembetulan dalam masa 24 jam. Sekiranya pihak Berita Harian enggan berbuat demikian, pihak kami akan mengambil tindakan selanjutnya. 




Disertakan pautan temuramah tersebut :



Watch "UNDI TIDAK PERCAYA ADALAH PROSES DEMOKRASI" on YouTube - https://youtu.be/FrtduqAGCBU


Dr Ahmad Samsuri Mokhtar
Setiausaha Politik Presiden PAS
31 Julai 2015
11.00 am

0 comments:

PAS SEDANG MENUNGGU LAPORAN DARI NEGERI BERKAITAN SALAH LAKU AHLI.



Admin:PAS Pusat sedang menunggu laporan dari negeri-negeri berkaitan aktiviti kumpulan terbabit sebelum dibawa ke Jawatankuasa Disiplin parti.

Oleh itu, Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberi amaran kepada semua pemimpin PAS termasuk Ahli-ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) agar tidak terlibat dengan penganjuran aktiviti Gerakan Harapan Baru (GHB).

(https://www.facebook.com/abdulhadiawang)


1 comments:

Catatan Dhuha 31 Julai 2015


Ahli PAS sanggup menghabiskan harta dan wang ringgit demi perjuangan PAS. Mereka tidak pernah bertanya apa yang PAS boleh beri kepada mereka. Tidak ada di dalam hati mereka untuk menjadi calon, menjadi ahli majlis, ketua kampung.

Mereka hanya mahu Islam ditegak sebagai cara hidup yang lengkap. Jangan pula setelah menang kita kata ini hak peribadi. Kecil hati mereka.

Ustaz Idris Hj Ahmad 
14 Syawal 1436H / 31 Julai 2015M 
Jumaat

0 comments:

TERUSKAN AGENDA PERUBAHAN NEGARA


Kenyataan Media
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

TERUSKAN AGENDA PERUBAHAN NEGARA


1.   DUPP menzahirkan rasa simpati kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY) yang telah dilucutkan daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 28 Julai yang lalu dan mengharapkan beliau sabar dengan ujian. Perlucutan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan kelantangan TSMY yang mula bersuara mengenai isu 1MDB.


2.   Walaubagaimanapun, keadaan itu diharap tidak melemahkan semangat TSMY untuk meneruskan agenda perubahan negara yang kian dihimpit pelbagai skandal di dalam mahupun di luar negara. Apa yang lebih utama adalah usaha ke arah Malaysia yang lebih baik ini mendapat dokongan bersama oleh semua pihak.


3.   TSMY seharusnya bertindak lebih lantang dalam menyampaikan pandangan-pandangan mengenai pelbagai kemelut yang melanda negara akhir-akhir ini. Isu skandal terbesar 1MDB dan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) adalah antara isu yang menjadi perhatian ramai pihak ketika ini dan ia bakal menentukan masa depan negara.


4.   DUPP juga mengalu-alukan TSMY bersama-sama PAS untuk berganding bahu meneruskan agenda perubahan ini ke arah Malaysia yang lebih sejahtera. PAS menyatakan kesediaan untuk menerima sesiapa sahaja yang bersedia untuk berjuang  meneruskan agenda perubahan seterusnya memartabatkan Islam di bumi Malaysia.


Sekian.

DATO' DR. MAHFODZ MOHAMED
Ketua,
Dewan Ulamak PAS Pusat.

Khamis, 30 Julai 2015 | 14 Syawal 1436H

0 comments:

Jika YB larikan kerusi, bermaruahkah Anwar, LKS?

Jika YB larikan kerusi, bermaruahkah Anwar, LKS?
SUBKY LATIF | 29 Julai 2015.

JIKA Islam tidak dapat laksanakan peraturannya tidak dapat berbuat apa-apa kepada umatnya yang murtad, maka tidak banyak yang PAS dapat buat jika wakil rakyat meninggalkan parti dan membawa lari kerusinya bersama.

Ia hanya boleh berkata kepada yang melompat itu, lompat setinggi mana yang lalu. Tetapi tinggalkan kerusi. Tiada apa yang suami dapat buat terhadap isteri yang ada buah hati lain melainkan menerima hakikat bercerai.

Jika kita seperti setengah negara Arab, isteri seperti itu ditembaknya saja. Kita tidak boleh buat begitu.

Kita boleh berfikir, wakil rakyat parti isteri tidak boleh lompat parti, jika politik wakil rakyatnya sudah tidak dapat terima partinya, jika dia bermaruah, jangan larikan kerusi sekali!

Jika lari dengan kerusi sekali, tidak usah loyar buruklah dengan menjustifikasi begitu dan begini bagi menghalalkan cara.

Jika dikatakan dia tidak perlu meletak jawatan, maka tentangan mereka dulu atas sikap tiga Adun Pakatan Rakyat Perak – dua dari PKR dan satu DAP – mengisytihar diri sebagai Adun Bebas hingga mati tidak bererti lagi.

Semuanya dari PAS, DAP dan PKR kutuk perbuatan tiga Adun itu hingga menyebabkan kerajaan Pakatan di Perak terkubur.

Seronokkah pimpinan PAS yang melompat itu melihat ada orang-orang yang membantah natijah lompat tiga Adun itu mengadakan tunjuk perasaan terhadap Raja dan gara-garanya ada yang terpenjara?

Paling kecewa atas kejadian itu ialah Menteri Besar Nizar Jamaluddin yang dilucutkannya kerana kejadian yang tidak bermoral itu. Tidak pernah berlaku dalam sejarah moden, Adun Pakatan bersidang di bawah pokok.

Jika wakil rakyat tidak merasa salah melarikan kerusi itu, maka mereka seolah-olah meredhai tindakan terkutuk Adun tiga serangkai Pakatan Perak itu dulu. Bukankah kejadian tidak bermaruah mereka dulu bukan sekadar menyayat hati sekalian ahli dan TG Haji Hadi Awang, bahkan ia lebih menyayat hari DS Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang dan pengikut parti masing-masing.

Adun PAS tidak menjadi angkara masa itu. Yang menjadi angkara ialah Adun orang lain.

Kita telah menyaksikan hati orang PAS itu telah dikecewakan, maka apakah orang tidak terkesan lagi jika orang dari darah dagingnya sendiri lari dengan membawa kerusi sekali.

Kiranya hingga akhir kerusi atas nama PAS itu tidak dipulangkan, tidak menyebabkan PAS merana seperti orang ditinggalkan kekasih.

Tetapi tindakan mereka itu tentu boleh menyusahkan Anwar Ibrahim yang sedang disusahkan oleh politik rakus Umno/BN sekarang. Anwar sudahpun bercakap tentang harapan barunya membuat Pakatan lain dengan keanggotaan PAS digantikan dengan orang PAS yang meninggalkan PAS.

Dan Kit Sing tiada pilihan melainkan menerima pemberontak PAS itu tetapi tentulah mereka tidak dilihat bermaruah jika menerima wakil rakyat yang melarikan kerusi bersekongkol dengan pakatan barunya.

Mereka sudah kutuk Adun mereka yang khianat dulu, maka mungkinkah bersetuju pula menerima wakil rakyat yang kira-kira perbuatan itu sama dengan Adun mereka dulu. Dulu kita kata Najib tidak bermaruah kerana menerima sokongan Adun luar tidak bermaruah. Jika Anwar dan Kit Siang pula pejam mata saja terhadap Wakil Rakyat yang melarikan kerusi itu, apa hendak dikatakan kalau Najib kata, kamupun serupa aku juga?

Apapun Anwar bebas menerima ganti PAS dalam harapan politik barunya, tetapi dia boleh dilihat bermaruah menasihatkan wakil rakyat yang melarikan kerusi iu pulangkan kerusi itu kerana Anwar sudah kutuk Adunnya yang membuat tahi dulu. –HARAKAHDAILY 29/7/2015

0 comments:

LAPORAN PEMERDAGANGAN MANUSIA 2015 : PENAIKTARAFAN TIER2 HANYA SANDIWARA US?


KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
14 SYAWAL 1436H / 30 JULAI 2015


LAPORAN PEMERDAGANGAN MANUSIA 2015 : PENAIKTARAFAN TIER2 HANYA SANDIWARA US?

Oleh : Nik Mohamad Abduh Bin Nik Abdul Aziz
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ahli Parlimen Pasir Mas


Ada persoalan baharu muncul di sebalik penaiktarafan Laporan Pemerdagangan Manusia 2015 (TIP) yang menaikkan kedudukan Malaysia ke tahap kedua atau Tier2 daripada Tier3 mengikut TIP pada 2014. Adakah kedudukan tersebut jelas menggambarkan Malaysia berada pada standard yang ditetapkan oleh Akta Perlindungan Mangsa Pemerdagangan tahun 2000 (TVPA) atau ia hanya satu sandiwara bagi mengekalkan Malaysia sebagai sebahagian daripada negara yang terlibat dalam rundingan TPPA?


Ini merujuk kepada sebuah artikel bertajuk ‘Why Is The US Desperate to OK Slavery in Malaysia’ yang diterbitkan The Huffington Post pada 26 Mei 2015 yang menjelaskan bagaimana peningkatan tahap itu mungkin mempunyai kaitan rapat dengan rundingan perjanjian TPPA yang bakal dimuktamadkan penghujung bulan ini. Rujukan; http://www.huffingtonpost.com/2015/05/26/tpp-malaysia-slavery_n_7444978.html


Artikel tersebut menjelaskan bagaimana AS tetap berkeras meneruskan rundingan TPPA dengan Malaysia, walaupun kedudukan TIP Malaysia  ketika itu adalah pada Tier3 malah dikatakan menjadi hab aktiviti pemerdagangan manusia di rantau Asia Pasifik ini berbanding Korea Utara dan Arab Saudi. Pertikaian berlaku disebabkan dasar luar AS yang menetapkan untuk tidak akan melakukan sebarang bentuk kerjasama perdagangan dengan negara yang mempunyai risiko terhadap aktiviti jenayah pemerdagangan manusia seperti Malaysia. 


Keputusan AS melanggar polisinya sendiri dan mengekalkan Malaysia sebagai negara yang terlibat dalam rundingan TPPA meskipun berada pada Tier3 adalah tindakan terdesak White House demi persaingan politik AS yang melihat China menggunakan laluan perdagangan di Selat Melaka dengan 'selesa'. Maka, penguasaan terhadap perairan dan aktiviti perdagangan di Selat Melaka dapat dilakukan melalui rundingan bersama Malaysia dalam TPPA manakala peningkatan tahap kepada Tier2 ini hanyalah wayang di sebalik percaturan politik AS bagi meredakan tekanan yang berlaku terhadap pentadbiran White House.


Jika benar dakwaan tersebut, maka amatlah malang bagi Malaysia yang sentiasa menjadi mangsa percaturan kuasa besar dunia. Kita tidak dilihat bertindak atas pendirian dan keyakinan yang kita ada tetapi disebabkan pengaruh geo politik yang mencatur segala-galanya. 


Secara keseluruhannya, kerajaan perlu berusaha mencari 'jalan keluar’ dengan menilai beberapa perkara berikut secara objektif.

Pertama, kerajaan tidak boleh dilihat selesa dengan laporan tersebut kerana usaha membanteras sindiket pemerdagangan manusia masih lagi panjang. Kejadian yang berlaku di sempadan Malaysia-Thailand pada penghujung Mei yang lalu perlu dijadikan iktibar bahawa sindiket tersebut masih bergerak secara aktif dan menjadikan Malaysia sebagai transit sejak saban tahun.


Kedua, kerajaan tidak perlu tergesa-gesa menandatangai perjanjian TPPA selepas pelbagai kecaman dan cemuhan yang dilemparkan oleh pelbagai pihak. Sebaliknya, draft rundingan perjanjian tersebut seharusnya didedahkan kepada umum di samping membentangkan analisis kos faedah di Parlimen bagi menilai sejauhmana TPPA tidak men’cedera’kan perkara yang berkait dengan dasar dan polisi negara apatah lagi meragut kedaulatan dan kepentingan rakyat awam di negara ini.


Kedua-dua perkara amat penting untuk dititikberatkan oleh pihak kerajaan. Cukuplah Malaysia menjadi mangsa percaturan pihak yang berkepentingan.

0 comments:

Penyingkiran Muhyiddin sahkan Umno bergolak


KOTA BHARU: Penyingkiran Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengesahkan Umno di bawah Datuk Seri Najib Razak sedang bergolak.

Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Abdullah berkata sebelum ini hanya terdengar khabar angin sahaja masalah yang berlaku dalam Umno.

Katanya, PAS tidak berhasrat campur tangan masalah kerajaan yang didokongi Umno.

“Bagaimanapun Tan Sri Muhyiddin perlu diberi keadilan terhadap isu yang dihadapinya. Perlu dibela bukannya dipecat begitu sahaja.

“Kita pun tidak pasti apa sebab beliau dilucutkan dari kabinet, tetapi jika dipecat kerana beliau bersuara mengenai 1MDB amat tidak wajar,” katanya ditemui media selepas mesyuarat Exco di sini hari ini (Rabu).

Beliau yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata PAS menganggap pemecatan itu sebagai tindakan Perdana Menteri memadamkan isu terbabit.

“Isu-isu panas seperti 1MDB, pemecatan Peguam Negara dan lain-lain antara penyebab kabinet baru dibentuk semalam,” ujarnya.

Kata beliau sepatutnya kerajaan lebih bertanggungjawab kerana isu negara menyentuh kredibiliti pemimpinnya.

Menurutnya juga rombakan kabinet turut menjejaskan Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC) kerana sebahagian ahlinya dilantik sebagai anggota baru kabinet.

Menurutnya, ekoran rombakan kabinet tersebut tugas PAC sendiri terjejas kerana terpaksa menunggu pelantikkan baru pada persidangan parlimen.

“Lebih terjejas lagi pemecatan Peguam Negara akan menjejaskan banyak pihak yang terbabit dalam siasatan isu 1MDB.

“Bank Negara, SPRM dan sebagainya semua akan terjejas,” ujarnya.

0 comments:

ROMBAKAN KABINET : LANGKAH MENYELAMAT INDIVIDU


DEWAN MUSLIMAT PAS MALAYSIA (DMPM)

ROMBAKAN KABINET : LANGKAH MENYELAMAT INDIVIDU

29 Julai 2015 / 13 Syawal 1436H


DMPM melihat rombakan kabinet yang diumumkan oleh PM, Datuk Seri Mohd Najib semalam dengan menggugurkan Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yasin adalah tindakan yang tidak popular untuk menyelamatkan diri beliau  daripada berbagai-bagai tuduhan terutamanya salahlaku pengurusan kewangan 1MDB.


Penamatan kontrak secara tergesa-gesa  Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai peguam negara di saat  proses siasatan terhadap tahap ketelusan pelaburan terbesar dan kritikal 1MDB menunjukkan indikasi yang  jelas untuk melindungi suspek yang rakus meratah wang negara dan rakyat yang menanggung beban hutang RM42 Billion.


Perlantikan Datuk Nur Jazlan Mohamed sebagai Timbalan Menteri yang baru menyebabkan kekosongan jawatan Pengerusi PAC  menguatkan lagi andaian bahawa DS Mohd Najib dengan sengaja melengah-lengahkan laporan pengauditan 1MDB dan berusaha untuk menutup kemelut salahlaku pengurusan kewangan 1MDB.


DS Najib masih lagi gagal menjawab tuduhan maupun menyaman The Wall Street Journal yang melaporkan transaksi amat besar berjumlah RM2.6 billion  wang 1MDB telah dimasukkan ke dalam akaun yang dipercayai milik beliau.  Tuduhan yang amat berat ini ditambah dengan hutang 1MDB RM42billion sudah tentu memberi impak buruk kepada ekonomi negara dan merosakkan imej baik Malaysia di mata dunia.


YB Tan Sri Muhyiddin Yasin adalah tokoh yang vokal dan berani mengkritik kepimpinan DS Najib menyangkut kemelut 1MDB sejak Mac 2015 lagi.  Beliau mendesak agar  menyegerakan pembentangan laporan interim 1MDB  yang dibuat oleh Jawatankuasa Akaun Awam Negara (PAC) dan menggesa agar tidak menganggu  anggota penyiasat yang dilantik namun ia dipandang sepi oleh DS Najib.


Rakyat melihat usaha DS Najib menyusun semula kabinet dapat melenyapkan suara-suara yang mengkritik kepimpinan beliau namun ia tetap menjadi persoalan besar yang cuba dilindungi yang akhirnya akan mencetuskan kebangkitan rakyat.


DS Najib telah bersikap autokratik dengan mengambil tindakan terhadap The Edge dan Sarawak Report serta mencantas semua pihak yang mengkritik skandal 1MDB. Bagi mereka yang mengampu beliau, akan diberikan kedudukan dalam penyusunan semula kabinet semalam. Amat jelas DS Najib selaku Presiden Umno tidak berhasrat untuk menyelamat negara tetapi ingin menyelamatkan dirinya dan golongan yang berkait kepentingan dengannya.  


Rakyat sudah tidak terpedaya dengan wayang rombakan kabinet untuk mengalihkan perhatian dari isu 1MDB. Ianya sekadar untuk melupuskan pengkritik 1MDB sahaja  dan tidak lebih dari itu. Perlantikan DS Zahid tidak akan memberi kemantapan dan menambah nilai kabinet DS Najib, tetapi ia lebih kepada menjadikan DS Zahid sebagai panglima untuk mengukuhkan kedudukan DS Najib. DS Zahid diharap menjaga DS Najib bukan kerajaan. Itupun yang dilakukan Zahid selama berada dalam kabinet selama ini.


DS Najib dilihat  menjaga survival politik melebihi dari keutamaan dan kepentingan negara. Beliau menuruti  jejak langkah dan teknik-teknik yang ditinggalkan oleh bekas mentornya Tun Dr Mahathir Mohamad dengan membersihkan saingan-saingan politik dalaman parti.


Namun DS Najib perlu ingat, perbezaan ketara zaman Dr Mahathir dan zaman sekarang ialah wujudnya internet.  Maklumat hari ini bergerak dengan dahsyat, manakala di zaman Dr Mahathir maklumat dapat dikawal kerana rakyat terpaksa bergantung pada TV dan suratkhabar cetak sahaja. Apapun, PAS akan meneruskan perjuangan melawan Umno dan kezalimannya terhadap rakyat.


Persoalan lain disebalik rombakan kabinet itu yang membelenggu pemikiran rakyat, apakah tindakan Muhyiddin seterusnya. Apakah bekas TPM itu hanya mendiamkan diri dan berihat dari politik. Apakah dia akan bersekongkol dengan mereka yang senasib dengannya.


Sesungguhnya tiada harapan lagi untuk ahli-ahli Umno untuk mengharapkan kepimpinan yang jujur, bersih dan telus dari Presiden mereka yang ada pada hari ini. Sudah tiba masanya ahli-ahli dan penyokong Umno beralih arah kepada bahtera penyelamat sebenar yang berpaksikan kuasa politik Islam PAS. Melalui wadah PAS kita membina Malaysia baru yang bebas dari korupsi, mempunyai integriti yang sebenar, berkebajikan dan bersama dengan keadilan sistem Islam.



Sekian, terimakasih.

BERISTIQAMAH HINGGA KEMENANGAN.


WAN HASRINA WAN HASSAN
Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPM)
29 Julai 2015 / 13 Syawal 1436H

0 comments:

TAN SRI MAHYUDDIN; PERJUANGAN TUAN BARU SAJA BERMULA....


Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)

TAN SRI MAHYUDDIN; PERJUANGAN TUAN BARU SAJA BERMULA....


1. Penamatan perkhidmatan TS Ghani Patail sebagai Peguam Negara dengan alasan masalah kesihatan sekalipun dikatakan sah pada sudut undang-undang, ia tetap ‘politically unethical’ dalam keadaan beliau masih menganggotai jawatankuasa khas dan sedang menyiasat skandal 1MDB yang dikaitkan dengan YAB Perdana Menteri.


2. Tindakan menggugurkan TS Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri pula menandakan DS Najib Razak sudah tidak selesa sangat dengan tekanan yang diinisiatifkan secara terbuka oleh bekas timbalannya dan juga sudah dimulakan sebelumnya oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed.


3. Bukan tidak tahan dengan ‘keterbukaan’ itu, tetapi kerana kerisauan yang amat sangat terhadap sesuatu yang akan menjejaskan kedudukan dan reputasinya sebagai Perdana Menteri bakal terdedah dan terbukti jika dibiarkan TS Muhyiddin Yassin terus bercakap dengan ‘locus standi’ sebagai Timbalan Perdana Menteri.


4. Rombakan kabinet dengan melantik tiga ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) termasuk pengerusinya iaitu Datuk Nur Jazlan sebagai Timbalan Menteri turut membekukan peranan PAC buat masa ini yang juga sedang melakukan siasatan terhadap skandal 1MDB yang dikaitkan dengan DS Najib Razak. 


5. Tentang skandal 1MDB ini, bukan sahaja TS Muhyiddin Yassin atau Tun Dr. Mahathir Mohamed sahaja yang ingin tahu. Seluruh rakyat juga mahu tahu mengenainya.


6. Soalnya, apa akan jadi kepada siasatan skandal 1MDB ini. Ia terhenti buat masa ini. Jika diteruskan selepas ini pun, adakah wujud ketelusan dalam penyiasatan tersebut dan adakah hasilnya itu berintegriti untuk diterima.


7. Apapun, kabinet baru telah dibentuk. Mereka berkewajipan menunaikan tanggungjawab menguruskan negara dengan penuh amanah dan ketelusan. Adapun PAS menegaskan bahawa selagi Akhirat tidak dijadikan landasan dalam pentadbiran negara ketelusan dan kebocoran akan terus berlaku. 


8. Saya sempat hadir bertemu Tan Sri Muhyiddin Yassin di kediaman beliau pagi tadi dan menyampaikan sendiri ucapan takziah atas pemecatan beliau. Jika teguran beliau dalam isu 1MDB menjadi sebab untuk beliau diberhentikan maka perjuangan itu sepatutnya tidak berakhir dengan pemecatan tetapi ia bererti perjuangan baru bermula.


9. Tan Sri dijemput untuk bersama rakyat Malaysia menunaikan kewajipan menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah yang mungkar khususnya dalam arena politik negara. PRU ke 14 mengajak rakyat berganding bahu untuk Malaysia Baru.


Sekian.

DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI

Rabu, 29 Jul 2015 | 13 Syawal 1436 H 
_____

Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali juga adalah AJK PAS Pusat dan Ahli Parlimen Kuala Nerus. Penulisan beliau berkenaan pelbagai isu boleh dibaca di blog (http://drtakiri.blogspot.com/) atau facebook (https://www.facebook.com/drtakiri) 

0 comments:

SELEPAS TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN PEGUAM NEGARA DIPECAT, GABENOR BANK NEGARA, PEGAWAINYA DAN PASUKAN PETUGAS KHAS PULA JADI SASARAN


KENYATAAN MEDIA

SELEPAS TIMBALAN PERDANA MENTERI DAN PEGUAM NEGARA DIPECAT, GABENOR BANK NEGARA, PEGAWAINYA DAN PASUKAN PETUGAS KHAS PULA 
JADI SASARAN 

1. Sehari selepas pemecatan Timbalan Perdana Menteri dan Peguam Negara, telah sampai ke pengetahuan saya bahawa sasaran seterusnya untuk dimangsakan dan dianiaya ialah mereka yang dikatakan terlibat di dalam Pasukan Petugas Khas menyiasat Skandal 1MDB dan kes penyaluran wang RM2.67 bilion ke dalam akaun peribadi yang dikatakan milik Perdana Menteri. Teratas di dalam senarai sasaran tersebut ialah Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, Timbalan Gabenor Bank Negara, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, Timbalan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dato’ Sri Shukri Abdul dan beberapa orang lagi Pegawai-Pegawai Kanan Bank Negara dan SPRM.


2. Saya juga mendapat maklumat, pelantikan Ketua Cawangan Khas (SB) PDRM yang baru yang diumumkan kelmarin adalah juga berkaitan dengan perkembangan terbaru ini. Kesemua Pegawai Bank Negara dan SPRM yang dijadikan sasaran ini dipercayai terlibat secara langsung di dalam proses penyiasatan Pasukan Petugas Khas tersebut. 

Dipercayai dapatan hasil penyiasatan yang dijalankan mereka tersebut amat menakutkan pihak-pihak tertentu hingga menyebabkan berlaku pemecatan ke atas Peguam Negara dan sekarang ini giliran Pegawai-Pegawai Bank Negara dan SPRM pula untuk diganggu, dipaksa, diugut dan ditakut-takutkan terutamanya dengan pendakwaan jenayah seperti di bawah Seksyen 124 Kanun Keseksaan. 


3. Tidak semena-mena, dalam tempoh 24 jam ini muncul beberapa blog misteri yang menamakan Pegawai-Pegawai ini sebagai konspirator menjatuhkan Perdana Meteri dan Kerajaan yang dipilih secara demokratik di mana saya percaya ini adalah sebahagian daripada taktik licik untuk mengolah persepsi umum bahawa Pasukan Petugas Khas ini mempunyai niat yang buruk untuk memfitnah dan menjatuhkan Perdana Menteri dan Kerajaan menggunakan isu 1MDB dan juga penyaluran wang RM2.6 bilion tersebut. Ianya juga jelas bertujuan untuk menakut-nakutkan Pegawai-Pegawai tersebut daripada menjalankan siasatan secara telus, adil dan objektif. 


4. Dalam hal ini, saya memberi amaran kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri, PDRM dan Peguam Negara yang baru supaya mengambil tanggungjawab segera untuk menghentikan serta merta segala bentuk serangan, gangguan dan ugutan yang dilakukan pihak-pihak tertentu ke atas mana-mana pihak terutamanya Pegawai-Pegawai Kerajaan dan agensi penguatkuasaan  yang terlibat di dalam penyiasatan kes-kes berkaitan skandal 1MDB.



"Selamatkan Rakyat Dan Malaysia Tercinta!"


DATO’ MAHFUZ HAJI OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena

29 July 2015/ 13 Syawal 1436H

0 comments:

Catatan Dhuha 29 Julai 2015



Jamaah kita mesti kuat dan tersusun. Ahli dan pimpinannya pula mesti berusaha untuk melengkapkan diri sebagai seorang yang berperibadi mulia dan cakna kepada permasalahan rakyat. Jika parti kita kuat, kawan dan lawan akan menghormati kita. Jika berlaku sebaliknya, kita akan hilang izzah pada pandangan masyarakat. 


Ust Idris Hj Ahmad 
13 Syawal 1436. 
29 Julai 2015 (Rabu)

0 comments:

Pengambilan Baru Akademi Pengajian Saidatina Aisyah (APSA)


Pengambilan Baru! 
Kemasukan Ogos 2015.
Tarikh tutup 20 Ogos 2015.


Hebahkan pada rakan anda dan kongsikan di 'wall' facebook anda.

šŸ“ŒDiploma Asas Naqibat dikendalikan oleh Akademi Pengajian Saidatina Aisyah. 
šŸ“Œ Tenaga pengajar yang bertauliah- pensyarah IPT dan penceramah bebas.


Ayuh! Jangan lepaskan peluang menimba ilmu!

0 comments:

Kabinet PAS Wilayah Sesi 2015-2017 Selesai Dibentuk

Adalah dimaklumkan bahawa Mesyuarat Jawatankuasa PAS Wilayah Persekutuan yang pertama selepas perlantikan semula Pesuruhjaya telah diadakan dan dipengerusikan oleh saya selaku Pesuruhjaya, dan dihadiri oleh Ketua-ketua Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat serta Yang Dipertua kawasan-kawasan. Mesyuarat telah berbincang dan membuat keputusan Ahli jawatankuasa dilantik serta jawatan lantikan dan disahkan dalam Mesyuarat Khas BPPWP pada 27hb Julai, 2015.

Makluman Pelantikan Jawatan Dalam Kepimpinan PAS Wilayah Persekutuan Untuk Sesi 2015-2017 seperti berikut :
Timbalan Pesuruhjaya 1:Kamaruzaman Mohamad
Timbalan Pesuruhjaya 2:Ustaz Azhar Yahya
Timbalan Pesuruhjaya 3:Hajah Salbiah Abdul Wahab
Setiausaha:Haji Khairul Anuar Abdul Manap
Bendahari:Haji Mohd Najib Ahmad
Penolong Setiausaha 1:Haji Kamisan Suia'
Penolong Setiausaha 2:Shuhaimi Embong
Penolong Setiausaha 3:Dr. Ishak Ibrahim
Ketua Penerangan:Ustaz Kamal Nazmi Hj. Nik Din
Pengarah JPN:Abu Bakar Abd Rahman

Dalam kabinet kali ini, PAS Wilayah Persekutuan mengekalkan Timbalan Pesuruhjaya 3 kepada pimpinan dari Muslimat dan timbalan Pesuruhjaya 2 kepada pimpinan dari kalangan ulamak dan Timbalan Pesuruhjaya 1 kekal kepada Kamaruzaman Mohamad, Yang Dipertua PAS Putrajaya.

Hajah Salbiah Abdul Wahab, yang pernah menjadi Timbalan Pesuruhjaya pada sesi 2011-2013 kembali menjadi Timbalan Pesuruhjaya 3 menggantikan Dr Rosni Adam. Sementara Ustaz Azhar Yahya, Yang Dipertua PAS Batu yang juga mantan Ketua Dewan Ulamak PAS Wilayah Persekutuan menjadi Timbalan Pesuruhjaya 2 menggantikan Ustaz Azhari Yaakob.

Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan sesi lepas, iaitu Haji Khairul Anuar Manap, Hj Mohd Najib Ahmad dan Ustaz Kamal Nazmi dilantik semula pada sesi ini bagi meneruskan tugas masing.

Sementara Suhaimi Embong dilantik semula sebagai Penolong Setiausaha tetapi bertanggungjawab pada bidang baru, penyelidikan dan perancangan strategik. Dua orang muka baru dilantik Penolong Setiausaha, Haji Kamisan Suja’ sebagai Penolong Setiausaha 1 bertanggungjawab kepada pentadbiran parti dan Dr Ishak Ibrahim sebagai Penolong Setiausaha 3 bertanggungjawab kepada Teknologi Maklumat dan Komunikasi.     

Kedua-dua mantan Timbalan Pesuruhjaya sesi lepas dilantik semula sebagai Ahli jawatankuasa disamping seorang muka baru, Ahmad Lutfi Awang, seorang peguam. Berikut adalah 6 orang Ahli jawatankuasa (dilantik) PAS Wilayah Persdekutuan, iaitu;
1. Ustaz Azhari b Yaakob
2. Dr Rosni Adam
3. Dato Mohd Hasan Mukhtar Ali
4. Hj Yaakob Omar
5. Mohd Sharifuddin Abd Rashid
6. Ahmad Lutfi Awang

Sekian, pengumuman kabinet “Beristiqamah Hingga Kemenangan” PAS Wilayah Persekutuan Sesi 2015-2017.


Hj Mohamad Noor Mohamad
Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan
28 Julai 2018

0 comments:

Penstrukturan Kabinet dan Pertukaran Peguam Negara Bermotif 1MDB ?

Kenyataan Media Penerangan. 15
Penstrukturan Kabinet dan Pertukaran Peguam Negara Bermotif 1MDB ?


Oleh: Nasrudin bin Hassan 
Ketua Penerangan PAS Pusat

Tarikh: 12 Syawwal 1436 / 28 Julai 2015

1. Penstrukturan kabinet yang mengejutkan sehingga menggugurkan YB Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin dilihat sebagai bermotifkan skandal 1MDB sahaja. Nasib yang sama berlaku kepada Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail yang telah ditamatkan perkhidmatannya semalam walaupun beliau akan bersara wajib pada 6 Oktober 2015.

2. 1MDB yang diasaskan oleh YAB Perdana Menteri telah bergelut dengan hutang yang berjumlah RM 41.5 bilion. Ia terpaksa mencairkan beberapa aset (assets stripping) sehingga memaksa Lembaga Tabung Haji dan Tenaga Nasional Berhad membelinya. Sehingga sekarang, kontroversi ‘bailed out’ tersebut belum selesai. Ini tidak termasuk pelaburan kontroversi KWSP dalam bon dan anak-anak syarikat 1MDB.

3. Isu 1MDB mendapat perhatian masyarakat dunia apabila The Wall Street Journal pula mendedahkan hasil daripada siasatan yang dilakukan berkaitan urus niaga 1MDB, sejumlah hampir RM 2.6 bilion tunai telah didepositkan ke dalam akaun yang dipercayai milik Datuk Seri Najib Tun Razak melalui pergerakan transaksi antara bank, syarikat dan agensi kerajaan. Sehingga hari ini juga, Perdana Menteri masih belum mengemukakan saman terhadap WSJ.

4. YB Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin adalah antara tokoh penting yang mengkritik dan menyuarakan isu ini selain Tun Dr Mahathir Mohamad. Sejak bulan Mac 2015, beliau telah meminta satu audit forensik dilakukan dan meminta Jawatankuasa Akaun Awam Negara (PAC) menyiasat segera akaun 1MDB tanpa menunggu laporan Jabatan Ketua Audit Negara. Dua hari yang lalu, beliau turut meminta laporan interim 1MDB didedahkan kepada awam untuk dinilai dan pasukan penyiasat khas yang juga dianggotai oleh Tan Sri Gani Patail tidak diganggu.

5. Akhirnya, Tan Sri Dato’ Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Gani Patail menerima nasib politik yang sama sepertimana tindakan yang diambil terhadap The Edge dan Sarawak Report. Datuk Seri Najib Razak telah bersikap autokratik dengan mencantas semua pihak yang mengkritik skandal 1MDB. Sebaliknya, mereka yang dilihat bersamanya telah mendapat kedudukan yang baik dalam kabinet hari ini. Apakah ini masih belum membuktikan bahawa Najib telah mengganggu gugat proses penyiasatan yang masih berjalan serta berlaku konflik kepentingan.

6. Tidak ada maknanya pada negara dan rakyat malah tiada juga nilai tambah pada UMNO itu sendiri jika reshuffle ini sekadar untuk melupuskan pengkritik 1MDB, andai Datuk Seri Najib masih meneruskan trend kepimpinan yang tidak telus dan adil. Sebaiknya jadilah pemimpin negara yang baik, adil, telus, bertanggungjawab terhadap amanah kepimpinan atau akhirnya UMNO mesti berdepan dengan kebangkitan rakyat yang akan menghukum sebuah pemerintahan yang korup dalam pilihanraya umum kelak.

Sekian, terima kasih.

0 comments:

Dedahkan Para Penyiasat Pasukan Petugas Khas Kepada Umum


Selepas pemecatan mengejutkan terhadap Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail, PAS bimbang wujudnya gangguan dan campur tangan yang bakal menghalang Pasukan Petugas Khas ini daripada terus menyiasat isu 1MDB secara telus dan beramanah.

Oleh itu, PAS memohon Gabenor Bank Negara Tan Sri Zeti Akhtar Aziz selaku salah satu ketua Pasukan Petugas Khas isu 1MDB dapat bertindak mendedahkan semua penyiasat di dalam pasukan tersebut dengan kadar segera. Ini bagi membolehkan mereka dikenali umum sambil menerima sokongan rakyat untuk meneruskan siasatan terhadap 1MDB.

Tindakan ini diharap dapat memberikan tekanan terhadap mereka yang berkepentingan daripada mencampuri apa-apa urusan siasatan yang dijalankan.

Kemunculan satu blog misteri semalam sejurus selepas pemecatan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menamakan Tan Sri Zeti Akhtar sebagai satu konspirator untuk menjatuhkan kerajaan tidak boleh dipandang ringan.

Rekod, prestasi dan integriti Tan Sri Zeti bertugas sebagai Gabenor Bank Negara diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Oleh itu, sebarang usaha untuk menjatuhkan atau menganggu Tan Sri Zeti tatkala siasatan 1MDB rancak dijalankan hanya akan menambahkan persepsi umum bahawa memang terdapat penyelewengan di dalam 1MDB dan kebenaran dakwaan bahawa duit 1MDB telah dimasukkan ke akaun persendirian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.


Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
29 Julai 2015

0 comments:

LIA2 Bermasalah, Kerajaan Usah Gadai Nyawa Rakyat


KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
12 Syawal 1436 │28 Julai 2015


“KLIA2 Bermasalah, Kerajaan Usah Gadai Nyawa Rakyat”

1. Dewan Pemuda PAS Malaysia mendesak Kerajaan Malaysia bertindak segera menyelesaikan masalah mendapan akibat takungan di terminal KLIA 2. Masalah ini sudah berlarutan sekian lama sejak ia mula dibuka pada tahun lepas sehingga kini masih belum mempunyai penyelesaian yang konkrit. Laporan media antarabangsa, Bloomberg di dalam portal beritanya yang bertajuk “Kuala Lumpur’s $ 1 Billion Terminal Is Sinking, Airline Says” tidak boleh dikesampingkan begitu sahaja.

2. Pada penghujung tahun 2014 , Kementerian Pengangkutan telah mengumumkan nama lima anggota panel Jawatankuasa Audit Bebas KLIA 2 yang diketuai oleh Datuk Dr Chuah Hean Teik . Mereka diberikan tugasan untuk memastikan KLIA 2 mematuhi syarat dan piawaian yang ditetapkan dan mengkaji semua aspek termasuk isu mendapan di apron KLIA 2. Kini, tempoh masa 6 bulan yang diberikan sudah pun tamat. Bilakah pihak kerajaan akan menunaikan janji untuk mengumumkan laporan Jawatankuasa Audit Bebas KLIA 2 tersebut kepada rakyat dan tindakan susulan yang perlu diambil?

3. Dewan Pemuda PAS Malaysia mengingatkan Kerajaan Malaysia agar memandang serius berkenaan aspek keselamatan di lapangan terbang ini lebih-lebih lagi pada saat imej dan reputasi industri penerbangan negara telah merosot teruk akibat insiden misteri kehilangan MH 370 dan MH17 yang ditembak jatuh. Usah menanti kejadian buruk berlaku,barulah sibuk untuk bertindak bak kata pepatah “sudah terhantuk, baru tengadah”.

4. Justeru, Dewan Pemuda PAS Malaysia menggesa Kementerian Pengangkutan mengumumkan segera laporan Jawatankuasa Audit Bebas KLIA 2 agar rakyat dapat menilainya dengan adil dan telus. Sebarang unsur salahguna kuasa, penyelewengan dan kecuaian oleh pihak yang terbabit perlulah dikenakan tindakan yang sewajarnya dan pada masa sama penyelesaian kongkrit terhadap masalah mendapan akibat takungan air perlu diselesaikan dengan kadar segera. Kerajaan usahlah menggadai nyawa rakyat akibat kelemahan dan kegagalan dalam bertindak.


IR. HJ. KHAIRIL NIZAM KHIRUDIN
Naib Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Malaysia

0 comments:

Penamatan Khidmat Pengerusi Mara : Rakyat Wajib Tahu Hasil Siasatan

Penamatan  Khidmat Pengerusi Mara : Rakyat Wajib Tahu Hasil Siasatan
Rakyat masih lagi tertanya-tanya berhubung skandal pembeliah hartanah milik Majlis Amanah Rakyat (MARA) di Melbourne, Australia yang dikatakan telah membayar RM13.7 juta lebih tinggi dari harga pasaran yang sebenar. Pembelian tersebut didakwa oleh akhbar Australia, The Age melibatkan kos keseluruhan RM65 juta untuk sebuah blok apartmen di Melbourne.

Sekalipun bekas Pengerusi MARA, Tan Sri Annuar Musa mendakwa bahawa pembelian tersebut berlaku sebelum beliau dilantik sebagai pengerusi, namun ia bukannya satu jawapan terhadap tanda tanya yang sedang menjadi persoalan di kalangan rakyat. Nyata sekali, kerajaan UMNO / Barisan Nasional tidak pernah serius di dalam mengendalikan perbelanjaan wang milik rakyat sehingga menyebabkan berlakunya ketirisan yang melibatkan jutaan ringgit.

Terbaru apabila Tan Sri Annuar Musa tidak disambung perkhidmatan sebagai Pengerusi MARA walaupun baru dua tahun memegang jawatan tersebut, rakyat semakin melihat bahawa ada sesuatu yang disembunyikan oleh kerajaan. Sekalipun Annuar bukanlah individu pertama yang memegang jawatan tersebut untuk tempoh dua tahun namun ia agak janggal jika dibandingkan dengan dua penyandang jawatan tersebut sebelum ini.

Untuk rekod, bekas Pengerusi MARA sebelum Annuar, Dato Seri Idris Jusoh memegang jawatan tersebut selama 5 tahun bermula 2008 – 2013 manakala sebelumnya Dato Seri Abdul Hamid Zainal Abidin pula selama 4 tahun bermula 2004 – 2008. Justeru, menamatkan khidmat Annuar Musa yang hanya diberikan kepercayaan selama dua tahun sahaja seolah-olah mengesahkan tanggapan rakyat bahawa terdapat kelemahan yang ketara di dalam pengurusan kewangan MARA dan proses jual beli hartanah sebelum ini.

Rakyat sedang menanti-nanti jawapan terhadap isu ini. Penjenayah sebenar wajib dihadapkan ke muka pengadilan tanpa sebarang pengecualian. Tiada maaf kepada mana-mana pihak yang memperalatkan amanah rakyat demi kepentingan poket peribadi.

Ahmad Fadhli Bin Shaari
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Malaysia.
27 Julai 2015

0 comments:

Desahkan Statistik Bulanan Kemasukan Pekerja Asing

Kerajaan Persekutuan mesti mendedahkan kepada umum statistik bulanan kemasukan pekerja asing ke negara kita.

Kemasukan pekerja asing adalah pada tahap yang amat membimbangkan rakyat. Contohnya pengumuman Kerajaan Persekutuan bahawa 1.5 juta pekerja warga Bangladesh akan dibawa masuk ke negara ini dikecam oleh orang ramai.

Keadaan sekarang seolah-olah tidak terkawal kerana terdapat sektor-sektor pekerjaan yang dikuasai oleh pekerja asing.

Telah terbukti juga bahawa tanpa mereka terdapat sektor-sektor seperti pembinaan dan perladangan akan lumpuh.

Jika statistik kemasukan pekerja asing ini didedahkan secara telus kepada umum, Kerajaan Persekutuan tidak boleh dengan sewenang-wenangnya membawa masuk pekerja asing.

Rakyat berhak mengetahui jumlah kemasukan pekerja-pekerja asing ini kerana ia memberi impak yang besar kepada masyarakat. Rakyat juga berhak membuat bantahan.

Tambahan pula terdapat laporan media bahawa wujudnya sindiket "warganegara ekspres" di mana warga-warga asing boleh membeli MyKad dengan mudah. PAS telah juga menghantar memorandum kepada Kementerian Dalam Negeri pada 10 Julai lepas menggesa satu siasatan yang terperinci dilakukan.

Oleh yang demikian, perlu ada kawalan yang ketat terhadap kemasukan pekerja asing malah satu perancangan jangkapanjang agar pergantungan negara terhadap pekerja asing dapat dikurangkan perlu dilaksanakan.

Iskandar Abdul Samad
Naib Presiden PAS
27 Julai 2015

0 comments:

Kecam Tindakan Yahudi & Israel Timbulkan Ketegangan Agama


Kenyataan Media Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)

1.    DPPM mengecam tindakan pihak keselamatan Israel yang menggunakan kekerasan dan keganasan sehingga mengakibatkan kerosakan  teruk pada bangunan Masjid al-Aqsa dan mencederakan 17 orang Islam ketika meleraikan ketegangan yang berlaku antara orang-orang Islam dan penganut Yahudi.

2.    Sedangkan, insiden ketegangan itu berlaku berpunca daripada tindakan 120 orang penganut Yahudi diketuai oleh Menteri Pertanian Israel, Uri Ariel yang cuba menceroboh Masjid al-Aqsa sempena Tisha B'Av iaitu hari berkabung tahunan dalam agama Yahudi bagi memperingati kemusnahan rumah ibadat purba mereka yang disambut pada 26 Julai setiap tahun.

3.    DPPM melihat tindakan tersebut adalah suatu bentuk provokasi yang sengaja dicetuskan oleh Israel bagi menimbulkan ketegangan agama di kota suci itu. Akhbar dan portal berita Israel sejak semalam dan hari ini membuat liputan berkenaan insiden itu telah mula mencanangkan bahawa ia berpunca daripada rusuhan yang dibuat oleh umat Islam. DPPM percaya ia dilakukan bagi membuka laluan kepada tindakan ketenteraan selepas daripada ini.

4.    DPPM menyatakan sokongan padu di atas keteguhan pejuang HAMAS dan rakyat Palestin dalam mempertahankan kemuliaan dan kesucian Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin. DPPM juga menyeru negara-negara Islam di seluruh dunia untuk membantu perjuangan HAMAS dan rakyat Palestin.

5.    DPPM menuntut Kerajaan Malaysia menyatakan pendirian tegas dan mendesak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk campur tangan bagi menyelesaikan isu ini.



Sekian.


Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM).
Bertarikh: Isnin, 27 Jul 2015 | 11 Syawal 1436 H

0 comments:

Tarikh Munaqasyah dan Perhimpunan Istiqamah Hingga Kemenangan (PIHAK)



šŸ”¹Munaqasyah & PIHAK 3.0 : 
PAHANG - 1 Ogos 2015 - Sabtu


šŸ”¹Munaqasyah & PIHAK 4.0 : 
WILAYAH - 2 Ogos 2015 - Ahad


šŸ”¹Munaqasyah & PIHAK 5.0 : 
 PERAK - 9 Ogos 2015 - Ahad


šŸ”¹Munaqasyah & PIHAK 6.0
TERENGGANU - 22 Ogos 2015 - Sabtu


šŸ”¹Munaqasyah & PIHAK 7.0 : 
MELAKA - 23 Ogos 2015 - Ahad


šŸ”¹Munaqasyah & PIHAK 8.0 : 
KEDAH - 22 Ogos 2015 - Sabtu


šŸ”¹Munaqasyah & PIHAK 9.0 : 
PERLIS - 29 Ogos 2015 - Sabtu


šŸ”¹Munaqasyah & PIHAK 10 : 
PENANG - 30 Ogos 2015 - Ahad


šŸ”¹Munaqasyah & PIHAK 11 : 
JOHOR - 5 Sept 2015 - Sabtu


šŸ”¹Munaqasyah & PIHAK 12 : 
NEGERI SEMBILAN - 6 Sept 2015 - Ahad


šŸ”¹Munaqasyah & PIHAK 13 : 
SELANGOR : 13 Sept 2015 - Ahad


šŸ”¹Munaqasyah & PIHAK 14 : 
SABAH - 19 - 20 Sept 2015 - Sabtu & Ahad


šŸ”¹Munaqasyah & PIHAK 15 : 
SARAWAK - 26 - 27 Sept 2015 - Sabtu & Ahad


šŸ”¹Munaqasyah & PIHAK 16 : 
KELANTAN - 3 Okt 2015 - Sabtu


Penganjuran : Penerangan PAS Pusat
( Dengan kerjasama Penerangan Dewan Ulamak, Pemuda dan Muslimat PAS Pusat )


✳ JoM "LiKe" & "SHaRe" PaGe Facebook RASMI :

šŸ‘‰ Parti Islam Se-Malaysia (PAS) 
šŸ‘‰ https://facebook.com/paspusat

0 comments: