AYUH BANTU! ANAK INI PERLUKAN KASIH SAYANG KITA

AYUH BANTU! ANAK INI PERLUKAN KASIH SAYANG KITA
Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my


Berulang kali anak itu mengulang sebut "abi...abi...abi...", lantas dijelaskan neneknya, "Ini kawan abi...," memperkenalkan susuk-susuk yang hadir ke teratak itu.

Namun, ia tetap ceria diribaan neneknya, Azizah Hussin yang dilihat sekali sekala mendakap dan mengusap anak itu.

"Macam tulah dia, tiap-tiap hari tanyakan abinya dan selalu tengok gambar," terang si nenek memperihalkan keletah Muhammad Umar al-Fateh yang berusia 4 tahun itu.

Tiba-tiba, anak itu menyebut "tab" berkali-kali, lalu segera neneknya bergegas ke satu ruang dan kembali membawa sebuah tablet.

Serta merta di wajah Umar terpapar ukiran senyuman keriangan, sambil jarinya pantas menyentuh skrin tablet tersebut. Betah sekali dia menunjukkan gambar ayah dan ibunya kepada Pengerusi Lajnah Kebajikan & Prihatin Rakyat Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Hishamuddin Abdul Karim.

Jelas Azizah, anak itu tidak sahaja meminta menatap gambar ayahnya setiap hari, tetapi juga mengajukan pertanyaan kelibat ayahnya.

Akui si nenek, sukar beliau menerangkan kepada cucu kesayangannya itu. Sekadar dijawab bahawa menantunya itu telah ke syurga, walaupun dia sendiri tahu Muhammad tidak mengerti.

Daya ingatan sedemikian segera ditanggapi Ketua Penerangan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Ahmad Fadhli Shaari bahawa Umar akan menanggung beban memori yang berat untuk mengenang ayahnya sepanjang hidup.

Si cilik ini ialah anak kepada Allahyarham Ustaz Safrizal Tarmizan, Ketua Penerangan Pemuda PAS Negeri Sembilan yang terkorban dalam kemalangan di Kuala Krai tahun lalu seusai bertugas di PRK Dun Chempaka.

Turut terkorban dalam tragedi tersebut ialah ibu Ustaz Safrizal, manakala Umar mendapat kecederaan kritikal di kepala. Kesan dari kejadian itu, anak kecil ini terganggu kesihatannya di mana sering mengalami kekejangan dan menyayatkan setiap mata yang memandang.

Oleh itu, satu pembedahan di tempurung kepalanya perlu dilakukan segera demi kelangsungan kesihatan yang baik untuk anak tersebut.

Dewan Pemuda PAS Malaysia telah menghulurkan sumbangan awal ketika berkunjung ziarah di kediaman keluarga itu di Kampung Che Deris, Chempaka, Pengkalan Chepa, 1 Julai.

Orang ramai yang prihatin diseru untuk turut serta membantu Muhammad Umar. Hulurkan sumbangan menerusi ibunya, Nurul Izzatil Aqmar Mat Lazim menerusi akaun Maybank 1550 1522 7160 dan boleh juga melalui Ustaz Hishamuddin dengan menghubungi talian 016-2115591

0 comments: