Kenaikkan Harga Minyak Beban Berganda Sebelum Raya

Bismillah

Sebelum saya mencoretkan kenyataan saya ini, terlebih dahulu, suka saya mengucapkan jutaan terima kasih saya atas lantikan semula saya menjadi Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Negeri Terengganu bagi kali kedua sesi 2015-2017 ini oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, YB Ustaz Satiful Bahari Mamat. InsyaAllah saya akan berusaha sedaya mungkin bagi memberikan yang terbaik dalam memikul beban amanah ini. Terima kasih sekali lagi atas kepercayaan ini.

Semalam seperti biasa, kebanyakan stesen minyak dipenuhi dengan deretan kereta yang beratur bagi mengisi minyak “murah” yang terakhir bagi bulan Jun. Dan seperti biasa juga, rakyat sekali lagi terpaksa menelan tindakan oleh kerajaan pilihan mereka untuk menjaga harta rakyat Malaysia ini bagi kesekelian kalinya tanpa jemu menaikkan harga minyak. Inilah kepedihan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat Malaysia yang dengan jelas salah memilih kerajaan yang tidak memperdulikan nasib rakyat. Dalam ketika rakyat terpaksa bertungkus lumus menyesuaikan diri dengan GST yang dijanjikan penurunan harga, tetapi sebaliknya harga semakin naik, juga dikenakan kepada orang miskin, mereka juga terpaksa menerima kenaikan harga global akibat dari kejatuhan nilai ringgit yang mencecah RM3.746 bagi satu Dolar Amerika (ketika kenyataan ini ditulis). Dan sekarang kehadiran masalah baru pula hadir ketika sangat hampir rakyat ingin menyambut Hari Raya Eidulfitri iaitu kenaikan harga minyak sebagai pelengkap bebanan berganda rakyat. Sangatlah diyakini akan harga barang-barang lain juga akan naik, hasil daripada alasan yang sangat biasa iaitu minyak naik, barang naik.

Untuk makluman semua, seperti yang diketahui, bagi sepanjang bulan Jun 2015 harga minyak dunia menunjukkan penurunan dari harga sekitar USD66 setong pada awal Jun kepada harga sekitar USD62 setong di akhir Jun. Dilaporkan juga harga RON95 yang dipadankan kepada harga minyak mentah turut menunjukkan bahawa harga RON95 ditetapkan pada RM1.70 seliter bagi Februari 2015 pada kala harga minyak mentah dunia sekitar USD60 setong. Ini bermakna harga RON95 sepatutnya diturunkan ke arah paras RM1.70 seliter apabila harga minyak mentah dunia menurun ke arah paras USD60 setong seperti yang berlaku di akhir Jun lalu. Tetapi apa yang berlaku, RON95 sekarang selepas kenaikan harga ialah RM2.15, manakala RON97 RM2.55 dan diesel RM2.05.

Inilah hasil daripada kesilapan rakyat yang menyerahkan urusan pengurusan harta rakyat kepada pihak yang tidak peka dengan masalah rakyat. Saya berani membuat bandingan dengan kerajaan pimpinan PR yang telah diperakui oleh badan dari kerajaan sendiri akan ketelusan pengurusan mereka keatas harta rakyat. Boleh kita lihat Laporan Audit Negara sebagai contoh. Tidak dinafikan ada sedikit kesilapan mengurus, tetapi jauh lebih teruk dengan kesilapan mengurus kerajaan Umno-BN yang saban tahun dan seperti tidak pernah mahu berhenti dari membuat kesilapan, ketirisan dan penyelewengan. Yang pastinya, rakyat yang akan menanggung kesan kesalahan ini. Dengan hutang negara yang semakin bertambah, saya tidak yakin kita boleh bertahan jika beginilah cara pengurusan harta rakyat dibuat.

Tidak puas dengan itu, sang menteri pula berkata, kerajaan tidak akan mengumumkan lagi kenaikan harga minyak pada setiap akhir bulan seperti yang dilakukan sekarang. Bermakna, rakyat hanya akan tahu harga minyak naik atau tidak pada setiap bulan apabila jam menunjukkan tepat 12 malam pada hari pertama bulan baharu. Alasan yang diberikan oleh pengusaha stesen minyak pula, kebanjiran kereta pada setiap kali pengumuman kenaikan harga minyak, mengganggu operasi stesen mereka. Lihatlah, sehinggakan tindakan rakyat untuk menjimatkan sedikit wang mereka juga dihalang oleh kerajaan yang tidak bertimbang rasa ini. Lihatlah dengan mata hati anda akan perlakuan sebuah kerajaan yang sepatutnya mengagihkan kekayaan negara ini kepada rakyat, sebaliknya rakyat pula yang dibebankan dan kekayaan itu berlegar di sekitar pimpinan sahaja. Bertindaklah wahai rakyat, sebelum terlambat dan yang menanggung akibat yang buruk tidak lain adalah anak cucu kita. Wallahua’lam.


YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan PAS Terengganu
15 Ramadhan 1436 bersamaan 2 Julai 2015

0 comments: