KERAJAAN JANGAN AMBIL KESEMPATAN DARIPADA HASIL PENARAFAN BARU

Kenyataan Media Penerangan. 05
Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
Ahli Parlimen Temerloh.

14 Ramadhan 1436 | 1 Julai 2015

KERAJAAN JANGAN AMBIL KESEMPATAN DARIPADA HASIL PENARAFAN BARU

1. Keputusan agensi penarafan antarabangsa Fitch Rating menaikkan penarafan Malaysia daripada “negatif” kepada “stabil” adalah dialu-alukan. Ia akan memberi sedikit ruang kepada suasana ekonomi Malaysia yang teruk kerana dibelenggu oleh banyak isu seperti hutang 1MDB, kejatuhan nilai ringgit dan sebagainya.

2. Keputusan terbaru Fitch Rating ini amat mengejutkan kerana sebelum ini pasaran dan para penganalisa rata-rata menjangkakan Malaysia akan diturun taraf kerana masalah 1MDB dan imbangan dagangan yang teruk. Semua ini telah menyebabkan nilai Ringgit jatuh ke tahap yang paling rendah dalam tempoh sepuluh tahun.

3. Namun PAS amat berharap penarafan terbaru ini akan membantu memulihkan nilai Ringgit dan seterusnya naik ke nilai yang lebih kukuh. PAS juga berharap penarafan Fitch Rating ini akan menjadi penanda aras kepada agensi penarafan yang lain untuk juga memperbaiki penarafan mereka kepada Malaysia.

4. Walaupun masih banyak isu rakyat yang masih belum diselesaikan oleh kerajaan BN sepertimana yang berterusan diperjuangan oleh PAS, penarafan terbaru akan mampu membantu memperbaiki nilai Ringgit dan menguja ekonomi Malaysia. Bagi PAS ini adalah amat penting kerana akhirnya ianya akan membantu menyediakan suasana yang lebih baik kepada masyarakat perniagaan Malaysia, terutama sektor ekonomi rakyat melalui industry kecil dan sederhana (IKS).

5. Ini seterusnya akan meningkatkan lagi pendapatan isi rumah rakyat yang amat terkesan dengan beban kos hidup yang tinggi ketika ini. Ini lah yang terus diperjuangkan oleh PAS. Namun begitu, PAS memberi amaran kepada kerajaan BN agar tidak mengambil kesempatan dari perkembangan terbaru ini. Ini adalah kerana lebih banyak ancaman baru dan kesan negatif bakal diterima oleh ekonomi negara ekoran daripada masalah ekonomi Greece.

6. Analisa yang dikeluarkan oleh Namura Securities membuat jangkaan bahawa Malaysia bakal menerima kesan besar ekoran krisis Greece berdasarkan kajian mereka bahawa ekonomi Malaysia yang amat terdedah melalui pinjaman dengan bank-bank Eropah. Saiz pinjaman itu dianggarkan sebesar 17% daripada nilai KDNK Malaysia. Sudah cukup kerosakan yang telah kerajaan BN lakukan kepada ekonomi Malaysia melalui rasuah, pembaziran dan krisis 1MDB yang memalukan. Semua ini amat-amat membebankan rakyat.

7. Justeru kerajaan BN wajib berubah sikap dan mengambil peluang daripada sedikit ruang hasil daripada penarafan baru Fitch Rating ini untuk memperbaiki keadaan dan tidak lagi melakukan lebih banyak kerosakan kepada Malaysia dengan pelbagai skandal kewangan. Jika sekiranya kerajaan BN tidak mampu untuk melakukan itu, maka mereka harus bersedia untuk berundur atau dijatuhkan oleh rakyat melalui PRU 14 nanti.

Sekian.

0 comments: