Bersama SPRM Mendepani Konspirasi Politik


Kenyataan Media Penerangan. 18

Bersama SPRM Mendepani Konspirasi Politik

Oleh :  Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat

Tarikh :  21 Syawwal 1436 / 6 Ogos 2015


1.    Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memberikan sokongan padu kepada pihak SPRM untuk terus menyiasat skandal kewangan yang berlaku hari ini walaupun terpaksa berdepan dengan penahanan pegawai penyiasat yang luar biasa dan tekanan politik yang keterlaluan.


2.    Merujuk kepada kenyataan media SPRM pada 3hb dan 5hb Ogos 2015, SPRM telah menegaskan bahawa agensi tersebut hanya memfokuskan siasatan terhadap SRC International Sdn Bhd yang melibatkan dana sebanyak RM 4 bilion dan sumbangan “derma” berjumlah RM 2.6 bilion ke dalam akaun peribadi YAB Perdana Menteri.


3.    PAS memandang serius kenyataan Pengarah Operasi Khas, Dato’ Hj Bahri Mohamad Zain beberapa hari lalu yang mendakwa terdapat dalang yang mengarahkan pihak polis menahan pegawai-pegawai SPRM. Penahanan ini dikatakan berpunca daripada kebocoran dokumen siasatan.


4.    Pihak SPRM adalah anggota Pasukan Petugas Khas dan kini seolah-olah akan menerima nasib korban politik sepertimana yang berlaku ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Gani Patail beberapa hari lalu. PAS berharap agar semua pegawai SPRM yang terlibat agar teguh berdepan dengan konspirasi politik ini.


5.    Berdasarkan maklumat yang diperolehi daripada kenyataan yang dibuat oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) kelmarin, penahanan pegawai SPRM telah menjejaskan siasatan kes yang sedang dijalankan terhadap SRC International Sdn Bhd. Beliau turut menjelaskan bahawa syarikat berkenaan telah mendepositkan sejumlah RM 42 juta (daripada “derma” RM 2.6 bilion) ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri.


6.    SRC International Sdn Bhd pada asalnya adalah anak syarikat 1MDB kemudian diserahmilik kepada Kementerian Kewangan. Menteri Kewangan ialah Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sendiri. Ini bermakna beliau mempunyai konflik kepentingan dalam kes ini.


7.    Sepertimana yang kita maklum, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) pula adalah agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri. Menterinya juga sekarang menyandang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri setelah Tan Sri Muhyiddin Yassin digugurkan kerana lantang mengkritik 1MDB.


8.    Manakala Timbalan Menteri Dalam Negeri I yang baru dilantik pula adalah bekas Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Prosiding siasatan PAC ditangguhkan serta merta walaupun sepatutnya dijadual bermesyuarat pada 4hb Ogos dan dijangka akan memanggil Presiden syarikat 1MDB termasuk taikun bisnes Jho Low.


9.    Ini semua secara langsung melibatkan integriti dan kredibiliti Perdana Menteri. Skandal ini memberi kesan terhadap struktur pentadbiran kerajaan dan ia juga boleh dianggap sebagai faktor utama yang melemahkan kedudukan nilai Ringgit Malaysia pada hari ini. Ia menghakis sentimen keyakinan para pelabur terhadap ekonomi di negara ini.


Sekian, terima kasih.

0 comments: