GAMIS KECAM TINDAKAN UIA


Hari ini tercatat dalam sejarah mahasiswa sekali lagi apabila dua orang penuntut Universiti Islam Antarabangsa(UIA) telah disabitkan hukuman gantung selama dua semester beserta amaran keras. Dua orang tersebut adalah saudara Hanif Mahpa selaku Yang di Pertua Majlis Perwakilan Pelajar dan Saudari Afiqah Zulkifli selaku Pengerusi Sekretariat Akademik dan Intelektual Majlis Perwakilan Pelajar.


Dalam keadaan negara yang membimbangkan pada hari ini, pentadbiran UIA telah menambahnya lagi dengan menghuru-harakan keadaan apabila mengambil keputusan menggantung mereka atas alasan menganjurkan program GST tanpa kebenaran pihak universiti. Walaupun ianya pada asalnya sudah pun mendapat kebenaran, tetapi ianya tidak dibenarkan pada saat-saat akhir atas arahan daripada 'orang atas'.


GAMIS dengan ini mengecam sekeras-kerasnya tindakan UIA dan menggesa agar pihak universiti MEMBATALKAN hukuman tersebut. GAMIS juga menyeru kepada seluruh mahasiswa agar bersolidariti bersama-sama dua orang rakan kita atas hukuman gantung yang dikenakan terhadap mereka ini.


Justeru satu memorendum akan dihantar kepada pihak universiti menuntut supaya hukuman ini dibatalkan. Satu 'Himpunan Mahasiswa' akan diadakan dalam masa terdekat sekiranya pihak universiti masih meneruskan hukuman tersebut kepada mereka.


Dengan ini diharapkan seluruh mahasiswa dapat bersedia turun berhimpun di dalam UIA dalam masa terdekat ini. Ayuh, teruskan perjuangan menentang kezaliman!


Mohd Imran bin Md Ishak
Presiden 
Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS)

0 comments: