ISLAM PILIHAN TEPAT TERAJUI PEMERINTAHAN


ISLAM PILIHAN TEPAT TERAJUI PEMERINTAHAN

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my


TITIWANGSA : PAS berpegang teguh kepada Islam yang mengajar bahawa pemerintahan negara adalah amanah dan sekiranya rakyat merasakan pemerintah kini tidak amanah, maka pilihlah PAS, demikian seru Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.


Katanya, PAS sentiasa mengajar dan menyeru agar kembali kepada Islam serta menyelesaikan masalah dengan Islam.


“PAS tidak berebut jawatan Perdana Menteri, PAS tidak berebut jawatan jadi ketua kerajaan, PAS tidak berebut jawatan Menteri kabinet. Acapkali dah orang tawar, PAS tidak berebut jawatan ini.


“PAS mahu tunaikan amanah ini dengan betul, mengikut perintah Islam, terpulang kepada rakyat nak pilih siapa, kalau rakyat rasa amanah sudah hilang dengan pemerintahan yang ada, pilih PAS.


“Terpulang kepada mereka, kita tidak berebut jawatan, kita anggap pemerintahan negara adalah amanah,” ujarnya ketika berucap dalam Himpunan Beristiqamah Hingga Kemenangan (Pihak 4.0) di Desa Pandan, di sini 2 Ogos lalu.


Terangnya, negara ini dan seluruh dunia dilanda masalah bertubi-tubi adalah disebabkan tidak kembali kepada penyelesaian Islam.


Beliau menyenaraikan satu persatu masalah dihadapi negara antaranya 1MDB, Mikka Holdings, KPFZ, Skyhawk, kapal selam Scorpene, KWSP, Tabung Haji dan banyak lagi.


“Bila mari masalah, (gesa) tukar Perdana Menteri, mari masalah, pecat Timbalan Perdana Menteri. Lepas satu-satu, masalahnya tak selesai. Lantik yang baru, masalah itu juga. Sebabnya kita tidak balik kepada Islam,” ujar Ahli Parlimen Marang itu.


Menurutnya, amanah terbesar adalah memimpin dan memerintah negara di mana Nabi SAW mengajar umat Islam berpolitik adalah untuk menunaikan amanah dan melaksanakan syariat Allah, bukannya berebut untuk menjadi ketua, Perdana Menteri atau Raja.


Tuan Guru memetik peringatan Allah mengenai taklifan amanah dari ayat 72 surah al-Ahzab dan ucapan sulung Abu Bakar as-Siddiq RA ketika diangkat sebagai Khalifah pertama yang menegaskan mengenai amanah.


“Orang Islam wajib beramal dengan perkara ini. Orang Islam boleh menyelesaikan masalah ini, menyebabkan orang bukan Islam ramai yang masuk Islam berduyun-duyun. Negeri Islam dalam keadaan aman, tiada rasuah, perompak, penyamun takut, pemimpin bertakwa pada Allah. Ada perhitungan dosa dan pahala.


“Dosa dan pahala bukan sahaja dalam perkara sembahyang sahaja. Termasuk dalam perkara politik, perkara ekonomi, perkara pemerintahan negara. Memerintah negara boleh rasuah? Boleh menipu? Dapat duit banyak, pergi buat umrah, selesai masalah. Itu ke? Tidak begitu,” terangnya.


Tuan Guru juga menyeru masyarakat bukan Islam untuk tidak bimbang kepada Islam kerana Islam bukan semata-mata agama, tetapi terkandung di dalam Islam semua perkara, termasuk pemerintahan negara.


Namun katanya, Islam tidak memaksa masyarakat bukan Islam untuk masuk Islam di mana dalam sejarah Islam membuktikan ramai orang bukan Islam tidak masuk Islam, tetapi mereka rela berada di bawah pemerintahan Islam kerana keadilannya.


Terang beliau, masyarakat bukan Islam boleh menerima idealogi-ideologi Barat seperti sosialisma, komunis, liberalisma, kapitalisma dan lain-lain yang dibawa oleh tokoh seperti Karl Marx, Adam Smith serta tokoh lain berbangsa bukan Cina, India mahupun Melayu.


“Kalau mereka boleh terima ideologi, teori, falsafah yang bukan dari sini, mengapa mereka tidak boleh menerima pemerintahan Islam yang adil untuk semua? Islam adalah agama masyarakat majmuk, ini Tuhan sebut dalam Quran,” ujarnya memetik ayat 13 surah al-Hujurat.


Maka jelasnya, PAS menuruti aturan dan ajaran Allah untuk melaksanakan pemerintahan yang adil dan baik dengan mengakui hakikat masyarakat majmuk di negara ini.


Hal itu katanya, berbeza dari tindakan penjajah yang membawa masyarakat Cina, India dan Jawa ke negara ini memperhamba dan melaga-lagakan kaum, sedangkan mereka terus memerintah untuk kepentingan sendiri.



✳ JoM "LiKe" & "SHaRe" PaGe Facebook RASMI :

👉 Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
👉 https://facebook.com/abdulhadiawang

0 comments: