Kenyataan Media DPPM: "iCGPA Tiada Pembaharuan"


Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengalu-alukan projek perintis penilaian baharu Purata Nilai Gred Keseluruhan Berintegrasi (iCGPA) di lima buah universiti awam yang terpilih sepertimana yang diumumkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, kelmarin.

Walau bagaimanapun, DPPM melihat sistem penilaian yang meliputi sembilan aspek dengan menggunakan kaedah Spider Web tersebut bukan sesuatu yang baharu bahkan ia sebenarnya telah menjadi hasrat kualiti graduan yang diharapkan sebelum ini.

Kebiasaannya, sebelum sesuatu modul kurikulum tersebut dibentuk, maka pelbagai aspek akan dititikberatkan untuk diserapkan kepada para pelajar seperti yang terdapat dalam Bloom Taxonomy yang merangkumi kognitif, afektif dan psikomotor. Persoalannya, adakah ia benar-benar memenuhi matlamat tersebut?

Kementerian Pendidikan Tinggi seharusnya melihat kepada faktor-faktor yang menghalang potensi seseorang mahasiswa dikembangkan. Tidak semua mahasiswa mempunyai kecenderungan yang sama dan universiti bukan hanya sekadar untuk memenuhi keperluan industri semata-mata.

DPPM menyarankan agar pihak kementerian harus peka terhadap pemasalahan semasa dan melihat secara komprehensif bagaimana mempersiapkan generasi Malaysia terutamanya bagi memiliki jatidiri yang lebih ampuh untuk mendepani cabaran yang lebih besar di hadapan kelak.

Sekian, terima kasih.

Muhammad Khalil Abdul Hadi
Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia
Bertarikh:28 Syawal 1436 | 13 Ogos 2015

0 comments: