PAS Johor bantah kenaikan tarif air

JOHOR BAHRU: Pengumuman kenaikan tarif air di Johor antara RM2.00 dan RM3.00 setiap meter padu bagi kegunaan domestik yang melebihi 20 meter padu dan 35 meter padu oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang bermula 1 Ogos lalu, merupakan khabar duka bagi seluruh rakyat negeri ini.

Kenaikan tarif air ini secara tidak langsung telah membuktikan kegagalan penswastaan bekalan air di negeri ini yang sekali gus turut membuktikan kegagalan berterusan pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) membela nasib rakyat.

Sehubungan itu PAS Johor membantah dengan sekeraskerasnya kenaikan tarif air ini kerana langkah tersebut tidak menyelesaikan masalah rakyat yang sepatutnya diberikan perhatian yang serius oleh SPAN.

Demikian dinyatakan Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Khairul Faizi Ahmad Kamil, dalam satu kenyataan berhubung perkara tersebut, baru-baru ini.

Menurutnya, ura-ura cadangan kenaikan tarif air ini telah pun diketahui umum sejak September tahun lalu namun perkara tersebut dinafikan Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamad Khaled Nordin yang mendakwa kerajaan negeri tidak bercadang untuk berbuat demikian kerana tidak menerima sebarang permintaan atau kertas cadangan pada masa itu.

Exco Kerajaan Negeri, Ir Hasni Mohamad, dalam kenyataannya sebelum ini berkata, kerajaan negeri akan memutuskan cadangan kenaikan tarif air selewat lewatnya pada awal 2015, bagaimanapun kenyataan tersebut dinafikan oleh Menteri Besar.

Namun apa yang berlaku jelas beliau, kenaikan tarif air di negeri ini tetap juga berlaku walaupun sebelum ini perkara tersebut telah dinafikan oleh Menteri Besar.

“Sebelum ini rakyat Johor sudah begitu terbeban dengan tarif harga air yang tertinggi di negara ini, dengan kenaikan tarif air ini sudah tentu akan menambahkan lagi beban rakyat yang sudah sedia terhimpit dengan kos sara hidup yang semakin tinggi sekarang ini.

“Bebanan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat ini adalah bukti kegagalan penswastaan air oleh kerajaan pimpinan UmnoBN kerana menswastakan bekalan air di negeri ini sebelum ini,” ujar beliau.

Seterusnya menurut beliau, SPAN bertindak menaikkan tarif air ini berikutan cadangan oleh Syarikat Air Johor Holdings Bhd (SAJH) yang sebelum ini merupakan syarikat yang ditubuhkan oleh kerajaan negeri pada 1999 tetapi menemui kegagalan yang berterusan termasuklah peningkatan hutang dengan Kerajaan Pusat disebabkan kos penyelenggaraan yang terpaksa ditanggung oleh kerajaan negeri.

Ekoran kegagalan ini maka termeterai pula perjanjian penstrukturan semula perkhidmatan bekalan air di negeri ini dengan Kerajaan Pusat yang melibatkan pengambil-alihan aset-aset berkaitan air di negeri ini yang dianggarkan bernilai RM4.025 bilion manakala liabiliti atau tanggungan ke atas aset-aset bekalan air pula dianggarkan bernilai RM3.179 bilion.

0 comments: