PELAJARI FEKAH POLITIK, BINA KEYAKINAN


PELAJARI FEKAH POLITIK, BINA KEYAKINAN

Oleh IZWAN ABDUL HALIM
izwan@harakah.net.my


TITIWANGSA : Ahli PAS mesti mempelajari dan memahami ilmu politik Islam sebagaimana juga solat, puasa dan ibadah lain kerana tidak memadai kecerdikan tanpa fekah politik, demikian seru Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.


Jelasnya, dalam perkara politik diajar oleh Nabi SAW terdapat dua bahagian iaitu ‘thawabit’ yakni perkara yang tetap dan tidak berubah, serta ‘mutaghayyirat’ iaitu perkara boleh berubah dan mesti dilihat cara melaksanakannya.


“Akidah perjuangan Islam ini tetap, percaya adanya dosa pahala. Dasar halal dan haram, boleh dan tidak boleh, wajib, sunat, makruh, ini dasar tempat kita berpijak. Matlamat dunia, pasti Islam berkuasa memerintah, dan matlamatnya untuk mencapai keredaan Allah. Nak capai keredaan Allah mestilah memerintah dengan Islam, ini matlamat. Dalam perkara ini PAS tidak ada tolak ansur.


“Perkara kedua ‘mutaghayyirat’ melibatkan pendekatan, seperti menentang kezaliman, membetulkan sistem pilihan raya, cara pilihan raya yang bersih, menangani masalah rasuah, gejala sosial, ini boleh bincang.


“Tetapi bila sentuh dasar PAS, (bila) DAP minta PAS senyapkan pasal Islam, jangan cakap, ini tidak dibolehkan,” terangnya ketika berucap dalam Himpunan Beristiqamah Hingga Kemenangan (Pihak 4.0) di Desa Pandan, di sini 2 Ogos lalu.


Menurut Tuan Guru, pada tahun 2001 yakni ketika Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan Dato’ Ustaz Fadzil masih ada, DAP telah meminta PAS mendiamkan mengenai Islam dan tidak disebut untuk menarik pengundi-pengundi bukan Islam.


Tetapi apabila PAS katanya, menyatakan permintaan seperti itu tidak boleh dilakukan, DAP telah bertindak keluar daripada Barisan Alternatif.


Begitu juga ujarnya, DAP meminta PAS membatalkan pelaksanaan hukum syariat melibatkan hudud, qisas dan takzir.


“Tak boleh, ini merupakan perkara akidah kita, disebut dalam Quran. Hudud ini bukan hukum PAS, ini hukum Tuhan, tak boleh. Cara melaksanakannya, ulama mengatakan, boleh laksanakan untuk orang Islam, orang bukan Islam diberi pilih.


“Kita tangguh dulu untuk orang bukan Islam. Tetapi kita nak laksanakan untuk orang Islam sahaja pun tak boleh juga, apa jenis macam ni? Kalau tidak orang bukan Islam tidak sokong PAS,” ujarnya menyanggah permintaan DAP itu.


Malangnya ujar beliau, terdapat di kalangan anggota di dalam PAS yang merasa dirinya cerdik, tetapi tidak memahami fekah politik dan merasa sangat bimbang dan takut PAS tidak akan dapat sokongan.


Maka katanya, mereka diperingatkan dengan firman Allah yang bermaksud, “Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara (hati) mereka”.


“Saya baca ayat ini, tapi tak mahu juga, lawan dalam muktamar. DAP sokong, DAP ikut sama kempen dalam muktamar PAS, tak ke pelik DAP kempen untuk muktamar PAS? Akhirnya ahli-ahli PAS menolak, setelah ditolak ini adalah keputusan mesyuarat. Mengikut kaedah Islam, kita kena terima keputusan mesyuarat, termasuk Nabi kita Muhammad SAW.


“Dalam perkara yang tidak ada nas, Nabi terima keputusan mesyuarat. Dalam kisah Perang Uhud yang terkenal, Nabi beri pandangan lain dalam perkara yang tidak ada nas, sahabat beri pandangan lain. Majoriti sahabat bersetuju, maka Nabi terima majoriti.


“Kita yakin pada Allah, bukan pada manusia. Ada kalangan kita yakin pada manusia, bukan yakin kepada Allah, semangat Islamnya tinggi, tapi yakin pada manusia, tak yakin kepada Allah, ini masalah yang kita hadapi,” luahnya.



✳ JoM "LiKe" & "SHaRe" PaGe Facebook RASMI :

👉 Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang
👉 https://facebook.com/abdulhadiawang

0 comments: