PEMUDA PAS MALAYSIA IKHTIAR BANTU KAMPUNG MUTIARA


Penduduk Kampung Mutiara, Batu Feringghi, Pulau Pinang menerima kunjungan daripada Exco Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ustaz Fadhli Shaari juga merangkap Ketua Penerangan hadir pada hari Ahad lepas, 02 ogos 2015. Kehadiran beliau turut disambut oleh barisan kepimpinan Dewan Pemuda PAS Pulau Pinang dan AJK Lajnah Tanah PAS Pulau Pinang.


Pemuda PAS Malaysia melihat isu kemerosotan pemilikan hartanah di kalangan Melayu Islam di Pulau Pinang sangat membimbangkan justeru merasakan perlu kepada penyelesaian yang relevan demi memastikan penduduk Kampung Mutiara mendapat pembelaan sewajarnya. Menurut Ustaz Fadhli Shaari, beliau dan kepimpinan DPPM akan membawa isu ini ke peringkat nasional. Tegas beliau lagi, berberapa tindakan akan diusahakan oleh DPPM bakal menyusul apabila pihak berwajib termasuk Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak memainkan peranan dalam menangani isu ini. 


Tn Iszuree Ibrahim, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang (mantan Ahli MPPP yang dipecat) hadir memberi penjelasan Kerajaan Negeri sepatutnya berusaha menunaikan manifesto yang dijanjikan pada PRU13 dibawah tajuk WARISAN dengan mewujudkan perlingkungan sempadan perkampungan warisan melayu sepertimana yang dijanjikan dan tambah beliau polisi kelulusan pembangunan yang disyaratkan oleh MBPP dan Kerajaan Negeri masih menggunakan kaedah lama iaitu pemaju perlu menyelesaikan masalah penduduk “setinggan” dan dicadangkan syarat ini perlu digubal bagi memastikan penduduk yang terlibat mendapat pampasan yang setimpal seperti rumah diganti rumah.


Perjumpaan turut melibatkan mantanPengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Batu Ferringhi yang dipecat, En. Jamaludin Hashim. Beliau memaklumkan penempatan asal penduduk tinggal di persisiran pantai, namun dipindahkan sejak tahun 1973 ke kawasan perkampungan sekarang kerana pembangunan pusat perlancongan. Beliau berharap kepada campurtangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan sewajarnya peruntukan pampasan rumah dapat diberikan kepada hampir 100 keluarga yang terlibat.


Pemuda PAS Pulau Pinang akan berusaha memastikan isu tanah di Pulau Pinang mendapat perhatian sewajarnya termasuk menyediakan program seperti persidangan dan wacana bagi memastikan rakyat di Pulau Pinang khususnya cakna dengan isu penyusutan tanah warisan masyarakat Melayu Islam disini dalam menjamin kedudukan tanah-tanah warisan ini daripada pengkhianatan kapitalis dan pemaju yang tidak bertanggungjawab.


Ahmad Safuan Ujar
Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Negeri Pulau Pinang.

0 comments: