Penjelasan SPRM Berkaitan Isu Akaun Peribadi Najib Dan RM2.67 Bilion Menimbulkan Lebih Banyak Kekeliruan Dan Persoalan Baru.


Kenyataan Media. 

Penjelasan SPRM Berkaitan Isu Akaun Peribadi Najib Dan RM2.67 Bilion Menimbulkan Lebih Banyak Kekeliruan Dan Persoalan Baru.


1. Kenyataan yang dikeluar oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa wang sebanyak RM2.67 bilion di dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib bukannya datang daripada syarikat milik Kerajaan 1MDB tetapi ianya adalah wang sumbangan penderma.


2. Terima kasih SPRM yang telah mengakui bahawa memang wujud akaun peribadi Najib yang telah menerima kemasukan wang rm2.67 bilion walau pun sebelum ini Datuk Ahmad Maslan, Timbalan Menteri pada 30 Julai 2015 telah menafikan kenyataan Tan Seri Muhyidin Yasin yang mengesahkan Najib telah mengakui menerima wang RM2.67 bilion ke dalam akaun peribadinya, atau dalam ertikata lain Najib tidak pernah menerima wang sebanyak itu ke dalam akaun peribadinya.


3. Satu lagi persoalan yang timbul ialah pada 2 Ogos 2015, Datuk Abd Rahman Dahlan, Menteri Kesejahteraan Bandar dan Kerajaan Tempatan atas sifat sebagai Pengarah Komunikasi Strategik BN menyatakan wang RM2.67 bilion dalam akaun peribadi Najib bukan daripada sumber 1MDB atau wang rakyat tetapi adalah derma daripada penyokong parti Umno. Kemuskilan yang timbul ialah macam mana ada persamaan Kenyataan SPRM yang dikeluarkan pada 3 ogos 2015 dengan Kenyataan Datuk Abd Rahman Dahlan yang lebih awal sehari daripada Kenyataan SPRM tersebut.


4. Jika SPRM dalam siasatan mereka mendapati wang RM2.67 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri Malaysia bukan daripada Dana 1MDB, adalah mustahil SPRM tidak tahu siapa penderma yang begitu bermurah hati menderma wang sebanyak itu kepada Datuk Seri Najib, Perdana Menteri  Malaysia yang bergaji  RM465,919.80 setahun. Adakah penderma tersebut Ismet Ulam Raja?


5. Adakah dalam hasil siasatan SPRM telah mendapati apa-apa tujuan penderma menderma terus ke akaun peribadi Najib Perdana Menteri Malaysia? Adakah siasatan SPRM mendapati penderma telah mendapat apa-apa balasan daripada derma yang diberikan? Sebab, mengikut Akta Pencegahan Rasuah Malaysia derma adalah termasuk dalam erti suapan. Sedangkan dalam kempen memerangi rasuah yang dilakukan oleh SPRM seperti disiar stesen TV juga telah memperlihat dialog "sebungkus nasi lemak" pun dianggap rasuah.


6. Seperkara lagi yang menimbulkan persoalan, apakah sudah ada siasatan dan tindakan di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Akta Pencegahan Pembiayaan Keganasan? Adakah Najib telah mendapat kebenaran Bank Negara untuk kemasukan wang berjumlah RM2.67 bilion ke dalam akaun peribadi beliau? Mengikut peraturan perundangan, sebarang kemasukan wang melebihi RM50 ribu perlu mendapat kebenaran Bank Negara. Apatah lagi kemasukan wang tersebut mengunakan matawang USD sebanyak USD700 juta dan Bank Negara pula perlu mendapat perlepasan daripada Federal Reserve Bank Amerika.


7. Sehingga sekarang tiada apa-apa kenyataan daripada Tan Seri Zeti Akhtar Aziz, Gabenor Bank Negara. Pada hal Bank Negara boleh akses setiap kemasukan wang yang melebihi had yang dibenarkan dan sepatutnya membekukan akaun tersebut jika pemindahan wang tersebut tidak mematuhi peraturan perundangan yang telah ditetapkan oleh pihak Bank Negara. Demikian juga tiada apa-apa kenyataan daripada Kerajaan Amerika samada mereka juga telah membuka kertas siasatan terhadap pemindahan matawang USD700 juta ke dalam akaun Najib Perdana Menteri Malaysia, kerana Amerika sangat sensetif terhadap pergerakan dan pemindahan matawang USD dalam jumlah yang besar ke dalam akaun peribadi.


8. Penjelasan yang diberikan oleh SPRM telah menimbulkan banyak kekeliruan dan persoalan persoalan baru. Sedangkan persoalan pokok isu 1MDB masih belum terungkai malah makin kusut. Apa yang menjadi tanda tanya rakyat Malaysia sekarang adakah pengendalian siasatan benar benar telus setelah melihat Peguam Negara yang sedang meneliti kertas siasatan terhadap Najib dan 1MDB dipecat, Timbalan Perdana Menteri yang mempersoalkan isu 1MDB dan akaun peribadi Najib digugurkan, manakala Penyiasat dan Timbalan Pendakwaraya ditangkap Polis Cawangan Khas dan pejabat serta dokumen pejabat Penyiasat SPRM diserbu dan dirampas.


Jelas, Kerajaan Umno Bn makin karut dan menggila!


"SELAMATKAN RAKYAT DAN MALAYSIA TERCINTA"

DATO' HAJI MAHFUZ OMAR
Ahli Parlimen Pokok Sena

4 Ogos 2015, 19 Syawal 1436H

0 comments: