Selepas LTH, Kini Affin Bank Bhd Beli Tanah TRX 1MDB


Selepas LTH, Kini Affin Bank Bhd Beli Tanah TRX 1MDB

Oleh :  Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat

Tarikh :  26 Syawwal 1436 / 11 Ogos 2015


1.    Dengan menggunakan modus operandi yang sama, Parti Islam Se-Malaysia (PAS) melihat plot-plot tanah yang dimiliki oleh 1MDB di Tun Razak Exchange (TRX) kini dibeli pula oleh Affin Bank Bhd, sebuah subsidiari yang dimiliki penuh (100%) oleh Affin Holding Berhad.


2.    Sebanyak 34.33% saham dalam Affin Holding Berhad dimiliki oleh Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) manakala 20.69% lagi dimiliki oleh Boustead Holdings Berhad (BHB).


3.    Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) ialah sebuah badan berkanun kerajaan manakala Boustead Holdings Berhad merupakan salah sebuah syarikat berkaitan kerajaan. LTAT memiliki 56.84% saham dalam BHB.


4.    Ini bermakna kedua-duanya merupakan agensi kerajaan dan rakyat mempunyai kepentingan dalam institusi-institusi tersebut. Menariknya, Tan Sri Dato’ Seri Haji Lodin bin Wok Kamaruddin adalah salah seorang lembaga pengarah bagi kedua-dua institusi tersebut dan beliau juga adalah Pengerusi 1MDB.


5.    Ini menunjukkan pembelian plot tanah TRX ‘terpaksa’ juga dibeli (bailed out) oleh rakyat bagi menyelamatkan syarikat hutang 1MDB. Ia juga melibatkan pertembungan konflik berkepentingan dalam lembaga pengarah semua institusi yang terlibat.


6.    Pada bulan Mei lalu, Lembaga Tabung Haji (LTH) membeli secara kontroversi 1.6 ekar tanah di TRX dengan harga RM 188.5 juta. Selepas dilanda beberapa bantahan rakyat, kabinet memutuskan untuk menjual semula tanah tersebut. Sehingga ke hari ini, LTH gagal menjual semula tanah itu.

7.    PAS juga mendesak Perdana Menteri sejauhmana perkembangan projek Tun Razak Exchange dan adakah ia benar-benar berjalan sepertimana yang telah dirancang atau ia telah gagal berikutan skandal kewangan yang berlaku dalam 1MDB?


Sekian, terima kasih.

0 comments: