"Siasatan 1MDB : SPRM Diminta Tidak Tunduk Kepada Tekanan"

Dewan Pemuda PAS Malaysia menghargai kenyataan dan komitmen yang telah disuarakan oleh Pengarah Operasi Khas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Bahri Mohamad Zin berhubung penangkapan anggota suruhanjaya tersebut yang terlibat di dalam siasatan ke atas bekas anak syarikat 1MDB, SRC International Sdn Bhd. Beliau di dalam satu kenyataan dilaporkan akan mencari sehingga ke ‘lubang cacing’ mana-mana pihak yang bertangggungjawab terhadap penangkapan tersebut.

Dewan Pemuda PAS Malaysia melihat ada sesuatu yang ‘tidak kena’ terhadap ketelusan dan integriti apabila pihak polis mula dilihat memberikan tekanan kepada SPRM di dalam melaksanakan siasatan ke atas kes yang menjadi perhatian rakyat pada hari ini. Ia bermula dengan siasatan ke atas beberapa pegawai SPRM dalam operasi yang bermula awal pagi Sabtu lalu dengan penahanan timbalan pendakwa raya suruhanjaya itu, Ahmad Sazilee Abdul Khairi.

Dewan Pemuda PAS Malaysia memperakui bahawa polis mempunyai bidang kuasa tersendiri untuk bertindak melaksanakan siasatan namun di dalam masa yang sama gangguan yang diwujudkan ke atas SPRM ini boleh menghakis kepercayaan rakyat bahawa kes ini sedang disiasat dengan telus. DPPM bersama rakyat keseluruhannya masih tertanya-tanya berhubung isu ini yang muncul serentak dengan dakwaan derma sebanyak RM2.6 billion yang disalurkan ke akaun peribadi Perdana Menteri.


Dewan Pemuda PAS Malaysia mengharapkan SPRM agar terus menjalankan siasatan yang adil dan telus serta tidak tunduk kepada sebarang tekanan yang sengaja diberikan oleh pihak-pihak tertentu. Rakyat sedang menilai dan memerhati kejujuran agensi-agensi kerajaan di dalam melaksanakan amanah masing-masing.


Dewan Pemuda PAS Malaysia juga menyuarakan hasrat untuk mengadakan pertemuan dengan pihak SPRM bagi menzahirkan sokongan terhadap proses keadilan dan ketelusan di negara ini.


Sebagaimana kata Datuk Bahri, “Kamu ada kuasa sedikit saja tapi saya ada Allah..” demikian jugalah Dewan Pemuda PAS Malaysia menegaskan bahawa kebangkitan rakyat akan bersama-sama dengan gelombang keadilan. Tentu sahaja kezaliman itu ada penghujungnya.

Ahmad Fadhli Shaari
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Malaysia

0 comments: