Bersih 4 dan PAS

Bersih 4 dan PAS

PAS menyokong tuntutan Bersih untuk pilihanraya yang bersih, dan kehadiran wakil PAS Naib Presiden Ustaz Idris Ahmad adalah bukti sokongan PAS. PAS tidak melarang ahlinya untuk menyertai perhimpunan kali ini. Yang berbeza - cuma PAS tidak kerah ahli kerana sudah ada banyak program parti yang telah diaturkan terlebih dahulu. Ahli boleh memilih samada pergi atau tidak, tanpa sebarang kongkongan.

Impak terbesar Bersih 4 ialah bermulanya era penerimaan demonstrasi aman sebagai sebahagian daripada amalan demokrasi negara kita. Rakyat Malaysia membuktikan demonstrasi boleh dibuat secara aman, pihak kerajaan BN pula menunjukkan mereka boleh mengawal demonstrasi dengan baik. Cuma yang pelik ialah tindakan berlembut Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi selepas beliau memberi amaran keras untuk mengambil tindakan terhadap baju Bersih 4. Apakah beliau sedang menyiapkan dirinya untuk menggantikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak?

PAS hadir dengan sepenuh tenaga setiap demonstrasi Bersih mahupun anti-GST yang lepas. Hanya kali ini, PAS tidak mengerahkan ahlinya di Bersih 4, oleh itu, kesannya adalah minima. Malah, melalui laporan pelbagai media, difahamkan ketiadaan PAS dirasai kali ini berbanding perhimpunan Bersih sebelumnya. Ini sekaligus membuktikan PAS sebagai parti pembangkang terbesar terus menjadi faktor besar di arus perdana politik negara.

Namun begitu, saya kesal dengan persepsi negatif dan fitnah yang sengaja dibina terhadap PAS, terutamanya pada Presiden PAS, sehingga wujudnya insiden-insiden tidak beradab dan melampaui batas seperti memijak gambar Presiden PAS yang sengaja dibuat untuk menimbulkan kebencian terhadap parti dan Presiden PAS. PAS ingin melahirkan dukacita dan kekesalan yang amat sangat dengan insiden tidak beradab ini. Insiden-insiden penghinaan sebegitu, walaupun terpencil, oleh para provokasi sudah pasti akan menimbulkan ketidakselesaan yang tidak perlu. Ini membuktikan keputusan PAS adalah tepat kali ini untuk tidak mengerahkan ahlinya.

Perjuangan PAS menuntut perubahan total bersama rakyat Malaysia yang inginkan perubahan akan diteruskan melalui pendekatan lain seperti Kongres Rakyat yang bakal diadakan 12 September ini. Semua yang berminat melihat kejatuhan Umno-BN dialu-alukan menyertai Kongres Rakyat.

Tuan Ibrahim Tuan Man
Timbalan Presiden PAS
2 September 2015

~Hijau

0 comments: