Zulqaedah: Masa Untuk Terus Istiqamah

Zulqaedah: Masa Untuk Terus Istiqamah

Bulan Zulqaedah merupakan salah satu dari bulan-bulan haram dalam Islam. Didalam bulan Zulqaedah ini juga terdapat pelbagai sirah yang perlu dijadikan ibrah dan muhasabah buat kita pendokong Parti Islam Se-Malaysia.

Antara salah satu peristiwa besar yang berlaku dalam bulan Zulqaedah ini adalah Perjanjian Hudaibiyah. Perjanjian yang asalnya dilihat berat sebelah dan memberi kelebihan kepada kaum musyrikin Makkah. Terdapat para sahabat Rasulullah S.A.W yang tidak bersetuju malahan tidak berpuas hati. Namun dikalangan mereka tidak ada yang meninggalkan perjuangan dan menubuhkan jamaah lain malahan mereka terus kekal istiqamah dalam perjuangan bersama Baginda S.A.W. Begitulah sifat wala' dan thiqah yang perlu diterapkan dalam diri pendokong jamaah.

Selain itu, peristiwa Bai'atur Ridwan juga menjadi satu sirah penting buat kita. Kecekalan dan kesediaan menghadapi sebarang kemungkinan samada syahid atau kemenangan menjadi teras pegangan kita selaku pendokong jamaah. Sifat menuntut bela atas nama Islam harus ada dalam diri setiap pejuang. Jangan dibiarkan pemimpin kita dihina dan diinjakkan. Jangan ada dalam diri kita sifat merelakan Islam dipermainkan. Pejuang seharusnya ada sifat qawieyul ameen wa hafizun alim dalam memperjuangkan dan mempertahankan Islam dan kepimpinannya.

Diingatkan juga akan satu lagi peristiwa di dalam bulan Zulqaedah ini ialah permulaan langkah Rasulullah S.A.W pada tahun 10Hijrah ke Haji Wada'. Dalam khutbah terakhir Baginda S.A.W ada berpesan dalam sabdanya :

"Wahai manusia sekalian..dengarkanlah dan ta'atlah kamu kepada pemimpin kamu , walaupun kamu dipimpin oleh seorang hamba sahaya dari negeri Habsyah yang berhidung pesek, selama dia tetap menjalankan ajaran kitabullah (Al- Quran ) kepada kalian semua."

Justeru itu diingatkan kepada kita agar terus menyokong dan bersama kepimpinan dalam memperjuangkan Islam di Malaysia ini selagi mereka berpegang kepada Quran dan Sunnah.

Penutup

لَوْ كَانَ عَرَضًا قَرِيبًا وَسَفَرًا قَاصِدًا لَاتَّبَعُوكَ وَلَٰكِنْ بَعُدَتْ عَلَيْهِمُ الشُّقَّةُ

" Kalau apa yang engkau serukan kepada mereka (wahai Muhammad) sesuatu yang berfaedah yang mudah didapati, dan satu perjalanan yang sederhana (tidak begitu jauh), nescaya mereka (yang munafik itu) akan mengikutmu; tetapi tempat yang hendak dituju itu jauh bagi mereka. "

Terakhir diingatkan bahawa kita adalah penyambung mata rantai perjuangan dan jalan dakwah ini pastinya akan diuji. Diharapkan agar semua pendokong PAS yang juga pejuang Islam agar terus istiqamah dan mengikhlaskan diri dalam perjuangan ini.

Istiqamah Sehingga Kemenangan

Akmal Hj Kamarudin
19 Zulqaedah 1436H bersamaan 3 September 2015M

 Like FB RASMI : Badan Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang
https://facebook.com/paspenang

#Like
#Share
#Comments
#PAS
#Beristiqamah_Hingga_Kemenangan

=========================

~Hijau

0 comments: