Isu perletakan jawatan Dr Boo Cheng Hau sebagai Ketua Pembangkang DUN Johor


1. PAS Johor menerima berita perletakan jawatan Dr Boo Cheng Hau sebagai Ketua Pembangkang Dewan Negeri Johor dengan penuh kekesalan. Walaupun berbeza dalam pendekatan politik, tetapi Johor memerlukan pemimpin seperti Dr Boo yang boleh berbincang dan memberi pendapat bagi kebaikan rakyat di negeri ini.

2. PAS Johor juga menghormati hak DAP untuk mengisi jawatan Ketua Pembangkang DUN Johor kerana parti itulah yang paling besar dalam blok pembangkang. Namun PAS merasakan peranan yang diambil oleh Dr Boo perlu dihargai. Keghairahan untuk menang di Johor, menyebabkan DAP dilihat kurang menghargai peranan pemimpin tempatan di kalangan mereka.

3. PAS Johor juga menyokong sepenuhnya konsep 'Bangsa Johor' yang disarankan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bahawa Johor adalah hak orang Johor. Perjuangan bagi meletakkan keadilan kepada semua tidak kira apa bangsa dan agama mereka. Hanya orang Johor yang mengetahui dan memahami masalah di Johor. Pada masa yang sama ia bukanlah bermakna kita meninggalkan semangat patriotisma kepada negara Malaysia.

4. Atas konsep Bangsa Johor inilah, PAS Johor merasakan apa-apa jawatan utama politik samada kerajaan atau pembangkang di negeri ini perlulah di isi oleh anak Johor sendiri. Justeru PAS Johor merasakan DAP perlu mengambil kira sentimen ini untuk kelangsungan konsep Bangsa Johor yang disarankan oleh Yang Mulia TMJ tersebut.

5. Akhir sekali, sekali lagi PAS Johor mengucapkan ribuan terima kasih kepada Dr. Boo atas peranan dan tanggungjawab yang beliau mainkan sebagai Ketua Pembangkang di Negeri Johor.

YB Ustaz Abdullah Bin Husin
Ketua Dewan Ulama Johor 
Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Johor
14hb Oktober 2015

0 comments: