LPT2 : MB, exco “kluk-klek” walau libatkan nyawa rakyat

Dalam satu lagi laporan Sinar pada 20 Oktober 2015, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof dilaporkan berkata satu badan penilai bebas telah dilantik bagi meneliti keadaan jalan di LPT2 terutamanya mengenai kelicinan permukaannya, belokannya yang mungkin tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan sekaligus mungkin menjadi punca kemalangan di LPT2. Namun, laporan awalnya hanya akan diketahui pada minggu depan.

Bernama pada satu laporannya yang telah disiarkan oleh Sinar Harian bertarikh 19 Oktober secara jelas telah melaporkan bahawa Menteri Besar Terengganu YAB Dato’ Ahmad Razif Abdul Rahman telah menuding jari kepada kecuaian pemandu sebagai faktor utama atas kemalangan-kemalangan yang telah berlaku di Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) sepanjang empat tahun ianya dibuka. Dengan mengambil laporan-laporan polis dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) sebagai asas kepada dakwaan beliau itu, beliau menjelaskan sebanyak 70% daripada jumlah keseluruhan kemalangan yang sehingga 16 Oktober baru-baru ini berjumlah 1989 kemalangan dengan 82 kematian adalah berpunca daripada kecuaian pemandu, 14 peratus aspek persekitaran, sembilan peratus permasalahan kenderaan dan lain-lain kes. Kenyataan beliau dibuat selepas selesai majlis solat hajat di Plaza Tol Ajil baru-baru ini.

Tiba-tiba semalam, Ahmad Razif, juga dalam laporan Sinar Harian dilaporkan sebagai berkata, siasatan dan keputusan hasil siasatan berhubung punca nahas di LPT2 perlu disegerakan bagi memastikan tahap keselamatan LPT2 dipertingkatkan. Lihatlah wahai rakyat, MB kelihatan takut dan seperti mahu lepas tangan dan bersikap ‘klul-klek’ dengan pelbagai alasan dan paling malang, seperti memproses bahan separuh masak, tetapi terus dihidangkan kepada orang ramai walaupun isu ini melibatkan nyawa manusia. Perkara masih lagi dalam siasatan, dan beliau sendiri meminta laporan disegerakan, tetapi beliau juga telah membuat rumusan. Begitu juga dengan sikap exconya Tengku Putera yang dengan mudah menjawab persoalan LPT2 oleh YB Cukai, Haji Hanafiah Mat yang bertanya berkenaan keselamatan LPT2 pada Sidang Dun bulan Mei lalu, Tengku Putera hanya “menganjing” meminta agar YB Cukai jangan melalui atau menggunakan LPT2. Begitulah “standard” jawapan oleh barisan kerajaan Umno Terengganu kepada persoalan nyawa rakyat.

Pada 14 Julai lalu, saya telahpun menyentuh berkenaan isu keselamatan LPT2 ini melalui kenyataan media saya. JKR sebelum ini, telah mengesahkan bahawa terdapat 27 tempat yang perlu diperbaiki dan memerlukan sejumlah RM6 juta bagi kos baik pulih tersebut dalam satu laporan Sinar Harian pada 2 Julai lalu. Kenyataan ini disahkan oleh exco Infrastruktur dan Kemudahan Awam Terengganu Ir. Rosli Othman. Dan sebelum itu juga, laporan yang dikeluarkan turut menjadikan pemandu sebagai faktor utama kemalangan di LPT2. Lihatlah betapa alasan yang sangat pelik dengan 27 tempat yang perlu dibaik pulih, pemandu pula yang dijadikan alasan punca kemalangan? YB Ir Rosli juga berkata bahawa satu ujian yang dikenali sebagai International Roughness Index (IRI) akan dijalankan selepas baik pulih dilakukan bagi menguji samada ianya memenuhi piawaian atau tidak. Jadi, mana dia keputusan IRI itu sehingga JKR memerlukan satu lagi badan bebas bagi menilai permukaan LPT2? Sedangkan Rosli berjanji akan menyelesaikan baik pulih ini sebelum hari raya puasa baru-baru ini. Berapa banyak lagi duit rakyat akan hangus atas kajian sahaja? Dan akhirnya rakyat juga yang disalahkan walaupun kajian menggunakan duit rakyat itu, tiada keputusannya.
Begitu senang kerajaan Umno Terengganu menuding jari kepada pemandu sedangkan keputusan yang tuntas belum didapati lagi. Setelah berbillion duit rakyat Terengganu hangus lantaran kedangkalan dan kegagalan Umno menyiapkan LPT2 ini pada masanya. Dan betapa MB mahu menjaga egonya jelas dapat kita baca dengan kenyataannya iaitu "Kita menolak dakwaan lebuh raya ini tidak selamat digunakan...jika ia ditutup akan menimbulkan kesulitan serta menimbulkan persepsi negatif” MB hanya memikirkan persepsi negatif yang mungkin keatas dirinya berbanding nyawa rakyat. Begitu juga kenyataan Ir Rosli iaitu beliau mendakwa lebuhraya lain juga mempunyai masalah yang sama tetapi LPT2 ini menjadi tumpuan kerana ianya baharu, tanpa dia menjelaskan serta menamakan lebuhraya yang mana yang mempunyai masalah yang sama sehingga mengorbankan sehingga 82 nyawa. Senang bukan menjadi exco Umno?

Jadi, ingat, tolak Umno dalam PRU, insyaAllah rakyat sejahtera.

Link berkaitan :
http://www.sinarharian.com.my/edisi/terengganu/t-ganu-ambil-langkah-atasi-kemalangan-maut-di-lpt2-1.442122
http://www.sinarharian.com.my/nasional/rm6-juta-untuk-baik-pulih-lpt2-1.406875
http://www.sinarharian.com.my/nasional/menteri-badan-bebas-dilantik-nilai-keadaan-lpt2-1.442365

YB Ustaz Mohd Nor Hamzah
Ketua Penerangan Badan Perhubungan PAS Terengganu
10 Muharram 1437 bersamaan 23 Oktober 2015

0 comments: