Masalah Jerebu: Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor Mengesyorkan Untuk Diadakan Solat Hajat.


Kenyataan Media Rasmi
Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor

Merujuk kepada keadaan jerebu yang semakin teruk hari ini 4 Oktober 2015 Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor mengesyorkan :

1.Semua surau dan masjid diseluruh Selangor khususnya dan negara umumnya mengadakan solat hajat secara berterusan dan berkala agar musibah yang diberikan oleh Allah tidak berpanjangan dan diturunkan hujan semoga Indek Penceraman Udara (IPU) ini dapat dikurangkan.Sifat orang-orang yang beriman apabila diuji oleh Allah SWT akan sentiasa merujuk dan mendekatkan diri mereka kepada Allah SWT dengan bersabar,bersolat,berzikir dan raja' kepadaNya.


(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali."
( Al-Baqarah - 156 )

2.Dalam menyelesaikan setiap kemelut dan musibah yang menimpa di samping penumpuan kepada faktor-faktor teknikal manusia jangan kita lupa kepada faktor penentu iaitu Allah SWT yang menyuruh hamba-hambaNya bersabar dan mendirikan solat.

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk;
(Al-Baqarah - 45 )

3.Marilah kita semua dengan ikhlas dan sedar bermuhasabah dalam menghadapi ujian dan musibah yang menimpa agar kita dapat menutup segala pintu-pintu kemurkaan Allah SWT.Mencegah itu lebih mudah daripada mengubat kerana sesungguhnya musibah Allah SWT yang apabila datang ,pasti akan menimpa seluruh rakyat bukan hanya kepada pelaku kejahatan dan maksiat sahaja.Gerunlah terhadap ancaman Allah SWT sekiranya umat manusia melakukan kezaliman dan kemungkaran di atas muka bumi ini.



Semoga dengan merapatkan diri kepada Allah,solat dan munajat ini Allah mempercepatkan bantuan dan pertolongannya.Kita berdoa agar negara Malaysia semakin makmur dan rakyatnya semakin sejahtera dengan kepimpinan yang lebih bertaqwa di masa akan datang serta mendapat keampunan Allah SWT.
Sekian terima kasih.

Ustaz Rizwan Rahmat
Ketua Dewan Ulamak PAS Negeri Selangor
20 Zulhijjah 1436/4 Oktober 2015.

0 comments: