MENEMBAK MEMBENTUK PERIBADI


MENEMBAK MEMBENTUK PERIBADI

KUALA LUMPUR - Pemuda PAS berpendapat aktiviti seperti latihan menembak mampu memberi ruang kepada golongan muda untuk membina keyakinan diri dan keperibadian yang hebat.

Ketuanya, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, seiring peredaran zaman, memanah yang menjadi sunah Rasulullah SAW kini boleh diaplikasikan dengan aktiviti zaman moden seperti menembak.

"Antara sunah Nabi SAW ialah belajar memanah iaitu sejenis senjata ketika itu. Mempelajarinya bukan sahaja untuk berperang mendepani musuh pada zaman tersebut tetapi ia sangat membantu pembentukan peribadi yang hebat dan berkeyakinan.

"Kami menganjurkan aktiviti latihan menembak adalah untuk mengambil sunah yang serupa agar peribadi anak-anak muda masa kini hebat dan berkeyakinan tinggi terhadap anugerah ALLAH SWT juga diri sendiri," katanya kepada Sinar Online.

Menurut Nik Abduh, aktiviti seumpama itu juga memberi ilmu tentang kemahiran penggunaan senjata api dengan betul dan selamat.

"Aktiviti begini sangat bermanfaat. Ia juga satu riadah yang sangat positif dan pada masa yang sama, memberi ilmu pengetahuan mengenai kepenggunaan senjata api dengan cara yang betul dan selamat.

"Lebih menarik, ia meningkatkan upaya fokus individu dan memberi motivasi melalui disiplin yang tinggi. Sangat bagus untuk membentuk peribadi yang hebat dan bersemangat," katanya.

Semalam, Nik Abduh dan Naib Ketua Pemuda PAS, Ir Khairil Nizam Khirudin bersama-sama ahlinya menyertai latihan menembak di sebuah galeri menembak di ibu kota.


Sebelum setiap peserta mula ke lokasi menembak, sesi penerangan dijalankan instruktor bertauliah bagi tujuan keselamatan.



Selain itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Nasruddin Hasan turut meluangkan masa menyertai aktiviti tersebut.

0 comments: