Merajah Kepimpinan Pemuda PAS (Bahagian 1)

Merajah Kepimpinan Pemuda PAS (Bahagian 1)

PENGENALAN
1. “Dan siapkanlah untuk menghadapi mereka kekuatan apa saja yang kamu sanggupi dan dari kuda-kuda yang ditambat untuk berperang (yang dengan persiapan itu) kamu menggentarkan musuh Allah, musuhmu dan orang-orang selain mereka yang kamu tidak mengetahuinya; sedang Allah mengetahuinya. Apa saja yang kamu nafkahkan pada jalan Allah niscaya akan dibalas dengan cukup kepadamu dan kamu tidak akan dianiaya (dirugikan).” (Al-Anfal: 60)
2. Pemuda Islam merupakan nadi terpenting di dalam survival perjuangan mendaulatkan agama Allah SWT di muka bumi ini. Sirah nabawiyyah telah banyak merungkaikan keterlibatan pemuda Islam di dalam membantu Rasullulah SAW melaksanakan tanggungjawab wahi dari Allah Rabbul Jalil. Ketokohan yang ditunjukkan oleh Saidina Ali Karamullahuwajhah, Zaid bin Harithah, Mus’ab bin Umair dan ramai lagi di kalangan sahabat Rasullullah SAW telah menghasilkan kemenangan yang cemerlang dan gemilang kepada d’awah Baginda Rasullullah SAW. Qudwah ini seharusnya dikaji, diteliti dan dipraktikkan oleh pemuda Islam masakini terutamanya pemuda abna’ul Harakah Parti Islam Semalaysia [PAS]. Berdasarkan pengkajian seerah nabawiyah dan melihat kepada realiti semasa, Akademi Kepimpinan Pemuda (AKP), Pemuda PAS Malaysia (DPPM) telah mewujudkan kerangka dan acuan kepimpinan pemuda PAS yang sewajibnya difahami dan digarap oleh para pemuda PAS dimana sahaja mereka berada dalam merajah kepimpinan anak muda PAS yang lebih gemilang pada masa akan datang.

KEPIMPINAN PEMUDA PENGAMAL HIDUP SIHAT
3. “Mukmin yang kuat lebih baik dan lebih dicintai oleh Allah daripada mukmin yang lemah..” (HR. Muslim)
Pemuda secara fitrahnya mempunyai keinginan yang kuat, semangat yang membara dan keberanian yang menyala untuk melaksanakan sesuatu perkara. Namun begitu, ia perlu dilengkapi dengan tubuh badan yang kuat dan sihat agar pekerjaan yang dilakukannya itu dilaksanakan dengan sempurna dan terbaik. Memelihara kesihatan merupakan perkara yang sangat disukai Allah kerana ia menjadikan seseorang pemuda mampu melakukan pekerjaannya sama ada berat atau ringan. Mana mungkin pemuda PAS yang berjiwa besar dan bercita-cita tinggi untuk mendaulatkan syariat Allah lemah jasadnya dan tidak mampu berhadapan dengan tekanan disekelilingnya dek kerana sakit yang dialaminya, lebih-lebih lagi sakit itu berlaku berpanjangan. Sedangkan khidmat kepada masyarakat mendesak kepada kesihatan fizikal pada tahap optimum dan perhatian yang berat.

4. Dewasa ini dilaporkan melalui kajian massa bahawa pembunuh nombor satu para lelaki adalah penyakit berkaitan jantung yang salah satu punca utamanya adalah kegemukan atau obesiti. Pemuda PAS memang golongan yang sangat sibuk dilapangan dan didapati tidak mempunyai jadual pemakanan yang tetap. Seringkali pula makanan yang diambil tidak seimbang dan ada yang mengambil makanan berat selepas program hampir tengah malam. Makanan yang diambil juga mempunyai kandungan karbohidrat, lemak dan gula yang tinggi. Semuanya merupakan ramuan untuk menambah berat dan kolesterol jahat iaitu LDL (Low Density Lipoprotein). Mungkin badan kita terasa masih sihat walaupun dengan budaya pemakanan sedemikian, namun apa yang kita makan pada hari ini akan menentukan tahap kesihatan kita pada umur 45 tahun keatas kelak. Lihat sahaja pada sesi selepas pilihanraya umum ke-12 yang lepas apabila seorang demi seorang wakil rakyat meninggal dunia kerana sakit jantung dan apabila diperhatikan, ramai dikalangan mereka yang terlibat dengan politik mengalami penyakit berkaitan jantung. Tidakkah ini menunjukkan kepada kita betapa pentingnya penjagaan kesihatan jantung perlu diberi perhatian diusia muda.
5. Maka para kepimpinan pemuda PAS sekalian sewajibnya menjaga kesihatan tubuh badan yang juga merupakan amanah Allah kepada kita dengan pemakanan yang sihat dan seimbang, tidak merokok, memperbanyakkan amalan tahajjud dan berdoa.

KEPIMPINAN PEMUDA PENCINTA ILMU
6. PAS merupakan badan dakwah dan siyasah Islamiyah yang berteraskan ilmu. Hanya dengan ilmu dan kefahaman yang betul dapat melahirkan pemuda yang komited dengan perjuangan PAS. Perkara yang paling utama dalam kecintaan pemuda PAS terhadap ilmu adalah memastikan madrasah tarbiyah berjalan dengan baik dan tersusun sesuai dengan agenda tarbiyah yang telah ditetapkan. Peranan tarbiyah yang aula adalah pembentukan fikrah yang jelas serta memahami aqidah perjuangan dan tuntutan-tuntutannya.
7. Maka, adalah penting untuk setiap pemuda PAS bersedia untuk ditarbiyah dan menyiapkan diri untuk mentarbiyah ahli dan masyarakat. Dengan adanya keinginan untuk menjadi pentarbiyah akan adanya keinginan yang tinggi untuk mengikuti tarbiyah untuk menambahkan ilmu dan kefahaman yang ada kerana bak kata pepatah inggeris “We can’t give, what we don’t have” atau kita tidak dapat memberi apa yang kita tidak punyai. Hadirlah ke program-program tarbiyah yang telah disusun, rungkaikan segala kekeliruan yang ada, perjelaskan lagi apa yang masih samar-samar, berhujjahlah mengikut adab-adab Islam dalam menuntut ilmu, sebarkan ilmu kepada masyarakat dan yang paling penting ilmu yang ada kita amalkan didalam kehidupan kerana pepatah arab ada mengatakan ” Ilmu tanpa amal, ibarat pohon yang tidak berbuah”
8. Disamping ilmu-ilmu agama dan ilmu harakah Islamiyah, para pemuda juga perlu mendalami ilmu yang berkaitan dengan organisasi seperti ilmu kepimpinan, ilmu pengurusan dan pentadbiran organisasi, ilmu kemahiran diri dan ilmu berkaitan dengan kehidupan masyarakat. Semua ilmu ini akan menjadi sangat berharga untuk kelancaran gerak kerja parti dan dalam mendepani masyarakat. Carilah peluang untuk sentiasa meningkatkan ilmu didada dimana sahaja kita berada dan menggunakan ilmu tersebut untuk kebaikan parti.
Stay Hungry, Stay Foolish – Stewart Brand/Steve Job

0 comments: