Merajah Kepimpinan Pemuda PAS (Bahagian 2)

Merajah Kepimpinan Pemuda PAS (Bahagian 2)


KEPIMPINAN PEMUDA PENEGAK KEBENARAN
9. Ilmu yang benar menyuluh kepimpinan pemuda kepada kebenaran yang hakiki dan menjadikan mereka sensitif dengan kemungkaran yang berlaku. Mereka umpama pemuda Ashabul-Kahfi yang berdiri penuh berani dihadapan penguasa dan menyatakan kalimah yang benar. Allah nukilkan kisah ini didalam surah yang dinamakan Al-Kahfi mengambil sempena peristiwa keberanian sekumpulan anak muda ini. Apabila para pemuda PAS berada dalam saff pejuang kebenaran, maka Allah menjaminkan kepada kalian akan hidayah yang akan sentiasa bertambah dari semasa ke semasa.
10. “Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang mencipta dan mentadbirkan langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan yang lain dari padanya; jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.” [Al-Kahfi: 13-14]
11. Zaman maklumat tanpa sempadan yang serba rencam ini menjadikan masyarakat bercelaru dan tidak mengetahui kesahihan sesuatu perkara yang diwar-warkan. Para pemuda PAS seharusnya tidak gelojoh mempercayai terus maklumat yang diterimanya. Pemuda sekalian mesti mencari kebenaran terhadap sesuatu perkara dari sumber yang sebenar dan menjadi agen penyebar kebenaran.
12. “Hai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu”. [Al Hujurat : 6].

KEPIMPINAN PEMUDA PENGGERAK ORGANISASI KESELURUHAN
13. Menjadi kewajipan kepada ahli sesebuah organisasi untuk memahami organisasi yang dianggotainya. Begitu juga pemuda PAS seharusnya memahami dengan jelas struktur organisasi yang kita wujudkan untuk menyokong gerak kerja yang kita ingin laksanakan. Adalah penting untuk sesebuah organisasi mempunyai pentadbiran dan pengurusan yang tersusun serta mengamalkan tatakerja organisasi yang terkini yang boleh kita pelajari dari dunia korporat.
14. Skill kepimpinan Rasullullah SAW dalam menyusun organisasi dan mengurus sumber tenaga manusia sewajarnya dicontohi oleh pemuda Islam di setiap peringkat. Asimilasi dan integrasi di antara golongan ulama dan teknokrat yang telah terpadu sekian lamasemenjak dari gandingan Dr. Burhaduddin al-Helmi dan Professor Zulkifli Muhammadperlu diperkukuhkan bagi menghasilkan gandingan yang ampuh dan mantap serta dihormati oleh kawan dan juga lawan.
15. Pemuda perlu memperkasa pengurusan organisasi supaya menjadi contoh serta check and balance kepada dewan-dewan yang lain. Kemahiran-kemahiran pengurusan seperti Merangka Pelan Strategik, kemahiran menyelesaikan masalah seperti Root Cause Analysis (RCA), Analisa SWOT, Analisa Impak, kemahiran menentukan keutamaan – fiqh Awlawiyyat (fiqh keutamaan); perlu digarap dan dipertajam bagi meningkatkan keupayaan organisasi. Ia amat penting dalam memastikan setiap program (berkala atau tidak berkala) berjaya mencapai objektif yang telah dipersetujui.
16. Pemuda mesti menjadi perencana dan pelaksana dalam agenda parti diperingkat pemuda pada masa yang sama tidak terkongkong dengan gerak kerja pemuda semata dengan menjadi pencetus kepada hubungan antara dewan yang digagaskan oleh Tuan Guru Presiden dalam beberapa ucapan dasar Presiden yang lalu. Perlu diingat bahawa, tujuan menggerakkan gagasan kerjasama interdewan bukanlah untuk menunujuk-nunjuk kelebihan yang ada kepada pemuda, tetapi lebih kepada berkongsi idea, menjalinkan kerjasama dan mengoptimumkan tenaga ahli disemua peringkat untuk digunakan sebaiknya didalm program dan aktiviti yang dirancang.
17. Perkara yang penting juga yang harus diambil perhatian oleh para pemuda PAS adalah menjaga ukhuwwah dikalangan penggerak khususnya pemuda. Perkara ini didapati semakin longgar dan kurang harmoni dek kerana keterbukaan yang melampau dan tiadanya unsur “agree to disagree” didalam berhujjah. Perlu kita ingat bahawa perjuangan Islam sangat menitik beratkan penjagaan ukhuwwah sesama ahli, maka jagalah ia sebaiknya supaya keharmonian berjamaah dapat dinikmati bersama.

0 comments: