Negara dan Kekuasaan adalah milik Allah


MIRI: Konsep negara dan rakyat yang diajar oleh Quran meletakkan kekuasaan adalah hak kepunyaan Allah dan berbeza dari konsep demokrasi Barat, demikian jelas Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
 
Terang beliau, demokrasi Barat bertuhankan rakyat, sedangkan Islam tetap memberi hak kepada rakyat serta menentang kediktatoran dan teokrasi, manakala pemimpin dan ahli agama termasuk para ulama tidak berkuasa sepenuhnya.
 
Ceritanya, ketika Nabi Muhammad SAW menyerukan Islam kepada penduduk Makkah, para pemimpinnya telah menentang habis-habisan, kerana merasakan perjuangan Islam dibawa Baginda telah mencabar kejahatan, kezaliman, rasuah dan maksiat yang mereka lakukan.
 
Lalu mereka mereka menawarkan Baginda kedudukan dan jawatan, tetapi ditolak, kerana perjuangan Islam bukan merebut jawatan sebagaimana perjuangan lain.
 
“Maka Nabi Muhammad, menemui pemimpin-pemimpin Arab yang datang mengerjakan haji di Musim Haji, perhimpunan ibadat, yang dilakukan oleh masyarakat di Semenanjung Arab, sejak zaman dahulu, sejak Nabi Ibrahim membuka. Sama ada penganut Yahudi, Kristian, ataupun penyembah berhala, asal dia begitu.
 
“Lalu Nabi Muhammad SAW telah mencari pemimpin-pemimpin, menawarkan, terima konsep dasar kami perjuangkan ini, akan mencapai kemenangan yang dijanjikan oleh Allah,” ujarnya ketika berucap pada Himpunan Istiqamah Hingga Kemenangan (Pihak 15.0) di Hotel Mega, di sini 3 Oktober baru-baru ini.
 
Namun katanya, Baginda disoal siapakah yang akan memegang kekuasaan, lalu dijawabnya, “Allah adalah tuhan yang mempunyai kekuasaan, Dia berikan kepada siapa yang Dia kehendaki”, maka para pemimpin itu menolak seruan Baginda.
 
Hinggalah menurutnya, seruan Baginda itu diterima para penduduk Yathrib dari kalangan Aus dan Khazraj serta terhimpun juga di situ kalangan ahli kitab Yahudi dan Nasrani.
 
“Diberitahu kepada mereka, menerima ajaran baru ini mesti berjuang, tak boleh mudah nak menang, kerana banyak musuh-musuhnya, semua kuasa besar dunia. Bukan sahaja Yahudi, Kristian, Musyrikin, Majusi, semua agama, termasuklah, kuasa besar Parsi Rom China, India dan lain-lain akan mengepung.
 
“Bagaimana nak berdepan dengan seluruh kuasa besar dunia ini? Hanya mereka yang sanggup, beriman dengan kekuasaan Allah, mengatasi segala kekuasaan kuasa besar dunia, yang boleh terima. Allah menjanjikan balasan, tetapi mesti jual pada Allah Taala, Allah nak beli. Maka berlakulah bai'ah,” terangnya.
 
Jelas Tuan Guru, bai'ah ialah menjual diri, harta dan segala nikmat untuk menegakkan konsep dan akidah negara yang baru ini.
 
Antaranya ujar beliau, Nabi SAW meminta pengakuan mereka untuk bersedia mentaati segala perintah di masa rajin dan malas, berjanji untuk menyumbangkan harta di masa senang dan susah, berjanji untuk menyuruh kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran, berjanji untuk menyatakan kebenaran walaupun dicela dan dihina oleh orang, berjanji untuk mempertahankan perjuangan ini dan menolong Nabi-Nya bila tiba ke negeri mereka sebagaimana mereka mempertahankan anak, isteri, keluarga dan harta mereka, sedang Allah menjanjikan syurga kepada mereka.
 
Malah terang beliau, keterikatan kepada kekuasaan Allah itu juga sebagaimana pertegasan Abu Bakar as-Siddiq ketika diangkat menjadi Ketua Negara.
 
“Wahai manusia, saya telah dipilih menjadi pemimpin kamu, padahal saya bukannya orang yang terbaik. Sekiranya saya baik, tolonglah saya. Sekiranya saya tidak baik, perbetulkan saya. Benar adalah amanah, bohong adalah khianat. Orang yang kuat adalah lemah kepada saya, orang yang lemah adalah kuat kepada saya. Patuhilah saya, kalau saya mentaati Allah dan Rasul. Kalau saya tak patuh Allah dan Rasul, jangan taat pada saya,” ujarnya memetik ucapan itu.
 
Menurutnya, sejarah membuktikan kesan keadilan Islam menyebabkan rakyat Parsi menyokong pemerintahan Islam dan menolak raja mereka, bahkan Islam telah diterima di negara China sejak awal tahun Hijrah hingga berkembangnya Tamadun Islam.
 
“Malangnya, negara macam orang juga, kalau orang ada masa kanak-kanak, masa muda, remaja, tua, nyanyuk, lepas itu dia mati. Kerajaan begitu juga. Kerajaan Islam menghadapi keadaan yang sama. Orang Islam juga menghadapi kejatuhan kerajaan dia.
 
“Kejatuhan Kerajaan Islam, bila orang Islam tidak beramal dengan ajaran Islam. Kejatuhan kerajaan lain, kerana beramal dengan ajaran mereka. Ini beza. Kejatuhan Komunisma, kerana kelemahan ideologi Komunis, teori menghapuskan kebebasan individu, merampas harta orang kaya, tidak menggalakkan perkembangan ekonomi.
 
“Kejatuhan Liberal Kapitalisma di Amerika pada hari ini kerana riba. Menindas orang miskin, tak bertanggung jawab dalam menilai ekonomi, tak ada dosa dan pahala. Tetapi kejatuhan Islam kerana meninggalkan ajaran Islam,” ujarnya mengingatkan.

0 comments: