PAS: Dua Pakatan boleh wujud serentak

Pakatan Harapan dan Pakatan Rakyat boleh wujud bersama-sama, kata Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan ketika ditemui media di parlimen hari ini (26hb Oktober, 2015).
Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, keadaan itu pernah wujud suatu ketika dulu apabila PAS bekerjasama dengan Parti Melayu Semangat 46 yang diketuai Tengku Razaleigh Hamzah.
Pada era 1990-an PAS berada dalam Angkatan Perpaduan Ummah dan pada masa sama Semangat 46 bekerjasama dengan DAP, Parti Bersatu Sabah dan Parti Rakyat Malaysia melalui Gagasan Rakyat.
"Perkara yang sama boleh berlaku sekarang. Satu Pakatan Harapan PKR, DAP dan PAN serta satu lagi Pakatan (Rakyat) dengan PAS dan PKR”.
"Kami masih bersama. Tanpa kami (PAS) tiada kerajaan (di Selangor) selepas Tan Sri Khalid Ibrahim memecat semua exco DAP dan PKR," katanya merujuk kepada Menteri Besar di negeri Selangor sebelum ini.
Katanya, keadaan sama juga dihadapi DAP yang memerlukan PKR sebagai sekutu politik. Jadi PKR telah membentuk kerjasama dengan DAP di Pulau Pinang.
"Tengok di Pulau Pinang. Tanpa PKR bolehkah DAP mentadbir negeri?" katanya.
Sekarang Menteri Besar Selangor, Azmin Ali telah berulang kali sebut PAS adalah sebahagian daripada kerajaan Selangor.
Kerajaan Selangor boleh mempunyai 2 pakatan pembangkang serentak, kata Setiausaha Agong PAS menegaskan pendirian PAS meneruskan kerjasama dengan PKR dalam mentadbir negeri itu.
Pada masa sama PAS masih menganggap kerjasama parti itu dengan PKR berterusan membuktikan Pakatan (Rakyat) masih wujud.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang menegaskan Pakatan Rakyat masih wujud dalam bentuk hubungan kerjasama antara PAS dan PKR, tanpa DAP.

0 comments: