Selamat Hari Cerebral Palsi (CP) Sedunia


KENYATAAN MEDIA 
LAJNAH KEBAJIKAN DAN KEMASYARAKATAN PARTI ISLAM SEMALAYSIA
23 Zulhijjah 1436H, 7 Oktober 2015.

Selamat Hari Cerebral Palsi(CP) Sedunia


Pihak Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat terpanggil untuk menyatakan kebersamaan kami kepada seluruh warga OKU yang mengalami Cerebral Palsi “CP” dan ibu bapa yang mempunyai anak CP.

Sempena hari Cerebral Palsi sedunia hari ini, seluruh masyarakat termasuklah pimpinan Negara pelbagai peringkat sewajarnya menyedari cabaran semasa hari ini untuk menyantuni keperluan hampir 17 juta warga CP di seluruh dunia.

Warga CP atau juga disebut OKU yang terlantar masih berhadapan dengan cabaran hidup termasuklah dari aspek penjagaan, pendidikan dan kelangsungan hidup.
Kami menggesa agar pihak kerajaan secara tuntas merencana dan melaksanakan usaha yang lebih komprehensif bagi manfaat OKU terlantar.

Antara usaha yang boleh dilaksanakan dalam masa terdekat termasuklah menyediakan suatu pusat mengupayakan OKU pelbagai kategori, bertindak sebagai pusat rujukan khas untuk OKU termasuklah kepada ibu bapa anak-anak CP.
Selain itu, usaha-usaha intervensi awal harus diperkasa agar system sokongan yang sesuai dapat diwujudkan kepada ibu/bapa dan keluarga anak-anak CP.

Pihak kami amat berharap agar seluruh ibu bapa yang dikurniakan Allah S.W.T dengan anak istimewa ini terus sabar dan tabah mendepani pelbagai cabaran dan ujian.

Kami juga menggesa agar pihak kerajaan memberi pertimbangan secukupnya agar elaun kepada penjaga anak-anak OKU dinaikkan sesuai dengan keperluan kos hidup hari ini.

Di pihak kami, usaha berterusan kearah mengupayakan OKU pelbagai kategori akan terus dilaksanakan melalui Sekretariat Prihatin OKU yang dipengerusikan oleh seorang OKU, Mohammad Faizal Che Yusof.

Islam yang meletakkan kemuliaan pada setiap insan itu harus dijelmakan. Setiap individu ciptaan Allah punyai kelebihan dan keistimewaan tersendiri meskipun ditakdirkan cacat atau kurang upaya.
Sekian untuk siaran.

Yang benar,
Dr Rosni Adam
Pengerusi, Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan,
Parti Islam Se-Malaysia.

0 comments: