TPPA : NWO dan Dunia Islam

1. Kenyataan Datuk Seri Mustapa Mohammed Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) semalam menyatakan bahawa Putrajaya sebenarnya tidak memerlukan kelulusan Parlimen sebelum menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) yang melibatkan 12 negara akan datang adalah dijangka.

2. Ini mengesahkan wujud satu lagi idea globalisasi pembaratan dan penaklukan kuasa besar dunia yang diproksikan Amerika oleh telunjuk Yahudi Israel berjalan dengan halus dan penuh berstrategi.

3. Setelah berakhirnya perang Dingin antara Amerika dan Rusia setelah jatuhnya Soviet Union, Amerika memulakan langkah memfokuskan negara Islam dengan diperkenalkan idea globalisasi pembaratan kepada seluruh dunia dalam setiap aspek ekonomi, sosial dan politik, budaya, media dan teknologi.

4. Maka tercetusnya langkah Orde Baru Dunia ( The New World Order ) adalah satu bentuk pemerintah secara senyap dan proksi yang bertunjang sistem kapitalisme untuk menguasai dunia khas dunia umat Islam. Ia adalah satu bentuk penjajahan baru oleh pihak emperialis moden yang dipelopori Amerika untuk menjajah sesebuah negara yang dianggap berpotensi menggugatnya dan menguntungkan ekonomi semata-mata.

5. Langkah Orde Baru Dunia ini bertujuan mencengkam sesebuah negara serta memperhambakan manusia untuk kepentingan golongan dan pemodal dalam rangka ekonomi yang bebas tanpa sempadan.

6. Sebelum ini badan-badan antarabangsa seperti Bank Dunia, IMF, WTO, WHO, NATO, Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merupakan organisasi proksi dan agen New World Order (Orde Baru Dunia) yang telah berjaya membentuk satu orde yang menundukkan negara-negara mangsa dan berjaya dikuasainya sehingga mampu mencorakkan dalam setiap aspek urusan negara tersebut seperti budaya, ilmu, media, sosial bahkan sistem ekonomi bahkan hatta ke tahap urusan politik dan kepimpinan.

7. Terbaru Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) antara 12 negara yang terdiri sebahagiannya daripada Malaysia sendiri dikhuatiri dengan kenyataan Dato' Seri Mustapa Mohammed menyebut bahawa Parlimen Malaysia tidak berkeupayaan untuk menentukan kelulusan yang akan menterai antara 12 negara anggota yang diketuai Amerika Syarikat itu.

8. Bukankah perkembangan terbaru ini menandakan satu keadaan dan gambaran bahawa kepentingan negara dan suara rakyat negara ini yang diwakili oleh ahli-ahli parlimen dari serata negara tiada hak untuk menyatakan pandangan dan idea terhadap perjanjian terbesar dalam sejarah negara ini. Seolah-olah kuasa dunia ini iaitu Amerika yang mempelopori cadangan TPPA ini memiliki kuasa secara halus sehingga menyebabkan negara yang bakal memeterai perjanjian terikat untuk menerima keputusan kehendak mereka.

Inilah yang dinamakan sebagai kuasa lunak (soft power) yang digunakan untuk mencapai hasrat penguasaan dan penjajahan moden yang penuh licik dan strategi.


9. TPPA yang bakal dimeterai oleh Malaysia pada Januari akan datang dianggap oleh sebahagian pihak bahawa ia bakal mengundang satu kerugian besar kepada ekonomi negara khasnya pengusaha, korporat dan peniaga tempatan yang terpaksa bersaing dengan kuasa besar ekonomi yang sudah tentu dalam iklim ekonomi yang sering dimenangi oleh pihak kapitalis dan golongan pemodal. Walaupun pihak kerajaan menjangkakan kerancakan kemasukan modal dan pelabur asing dalam negara ini dengan TPPA, namun kebarangkalian penguasaan ekonomi dan cengkaman kapitalis dengan termeterainya TPPA ini terhadap sistem ekonomi negara itu amat dikhuatiri akan terjadi.

Termasuklah harga sebahagian barangan turut akan terkesan dengan keterbukaan pasaran antara 12 buah negara ini seperti ubat-ubatan dan lain-lain.


10. Hal ini pernah disuarakan oleh Dr. Yusuf al-Qaradawi yang berpendapat:

"Adapun globalisasi, kami melihat - berdasarkan seruannya sehingga ke hari ini - ia adalah pemaksaan penguasaan politik, ekonomi, budaya dan sosial daripada Amerika Syarikat terhadap dunia, khususnya dunia timur dan dunia ketiga, bahkan secara lebih khusus, dunia Islam."


11. Oleh itu, maka peringatan seharusnya diberikan kepada pemimpin negara, bahawa mereka dilantik oleh rakyat untuk menjadikan rakyat dan negara ini sebagai keutamaan dan kepentingan mereka hendaklah dititikberatkan dan jangan dipertaruhkan kepentingan dasar ini semata-mata untuk mengecapi kemewahan dan cita-cita duniawi. Pihak kapitalis sudah tentu mempunyai agenda halus dan licik bagi memastikan kepentingan mereka tetap beroleh keuntungan berganda atas keruntuhan pihak yang lain dan itulah budaya kerja mereka.
12. Dewan Ulamak PAS Selangor mendesak kepada Kerajaan Malaysia, sebelum memuktamadkan dan memeterai perjanjian TPPA ini, penglibatan semua pihak adalah satu kemestian. Rakyat Malaysia seharusnya dilibatkan dalam memberikan pandangan dan idea serta sumbangsaran dari kalangan para ulamak, pakar ekonomi, ahli akademik, ahli politik, Badan-badan Bukan Kerajaan, wakil petani dan peladang, nelayan, ahli perniagaan serta semua pihak dari pelbagai lapangan agar TPPA dapat difahami dan diberikan penjelasan sewajarnya.

13. Pihak Kerajaan Malaysia diminta agar jangan dijadikan rakyat negara ini menanggung beban atas kesilapan pemerintah sekaligus rakyat sekali lagi bakal diheret untuk  menanggung sebarang bentuk kerugian seperti mana yang berlaku pada 1MDB dan lain-lainnya.

14. Renungilah firman Allah s.w.t. dalam surah al Baqarah ayat 217,

"... Dan mereka (orang-orang kafir itu) sentiasa memerangi kamu hingga mereka (mahu) memalingkan kamu dari ugama kamu kalau mereka sanggup (melakukan yang demikian);.
Dan firmanNya lagi dalam surah yang sama ayat 120,

"...Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak sekali-kali akan bersetuju atau suka kepadamu (wahai Muhammad) sehingga engkau menurut ugama mereka (yang telah terpesong itu). Katakanlah (kepada mereka): "Sesungguhnya petunjuk Allah (ugama Islam itulah petunjuk yang benar". Dan demi sesungguhnya jika engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka sesudah datangnya (wahyu yang memberi) pengetahuan kepadamu (tentang kebenaran), maka tiadalah engkau akan peroleh dari Allah (sesuatupun) yang dapat mengawal dan memberi pertolongan kepada mu..."

Catatan

Al Faqir ila Robbihi
Ustaz Muhammad Najhan Halim
Setiausaha
Dewan Ulamak PAS Selangor
12 Oktober 2015 / 28 Zulhijjah 1436h.

0 comments: