Kematian Muhammad Firdaus Satu Tragedi Buat Negara

Dalam mengharungi kemelut sosioekonomi yang saban hari menghantui rakyat, kematian Muhammad Firdaus adalah satu tragedi yang menzahirkan betapa Malaysia terus gagal untuk membela nasib orang kurang upaya di saat mereka memerlukan. Walaupun sebab utama kematian Muhammad Firdaus sudah dikenalpasti namun kita wajar bangkit mengakui betapa masih banyak prasarana dan sokongan sosial yang diperlukan bagi mengelakkan tradegi ini berulang sekaligus bertekad untuk mengoptimumkan potensi dan keberadaan orang kurang upaya di Malaysia. 


Menyoroti kisah Muhammad Firdaus yang kali pertama mendapat perhatian media apabila dijumpai dalam keadaan yang terabai di sebuah flat pada tanggal 21 Jun 2014, seluruh rakyat hampir tidak percaya bagaimana seorang kanak-kanak kurang upaya berusia 15 tahun boleh berada dalam keadaan yang sedemikian rupa di sebuah negara membangun seperti Malaysia. Realitinya adalah kesempitan hidup yang mencengkam rakyat bawahan di samping kurangnya kemudahan serta sokongan daripada pihak berwajib tidak memberi banyak pilihan kepada orang kurang upaya dan keluarga untuk hidup senorma yang mungkin.

Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS menyambut baik usul Kongres Rakyat yang mencadangkan penubuhan Pasukan Perubatan dan Sosioekonomi (PPSE) di peringkat Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Tujuan utama PPSE adalah bagi memastikan kelangsungan proses pencegahan penyakit dan perawatan kesihatan yang bersepadu dan berterusan dari hospital ke komuniti dengan harapan untuk meningkatkan kualiti hidup pesakit. Dengan melibatkan ahli perubatan, kakitangan kesihatan dan kebajikan, pemimpin masyarakat setempat serta kerjasama oleh kumpulan sokongan pesakit, NGO dan sektor korporat, PPSE berperanan sebagai pasukan pelbagai bidang (multidisciplinary team) yang menguruskan sumber sosioekonomi dan kebajikan pesakit di komuniti.


PPSE juga bertujuan untuk mengurangkan karenah birokrasi di antara agensi kerajaan yang sering kali menjadi batu penghalang kepada penyampaian perkhidmatan yang cekap dan berkesan. Dengan melibatkan pimpinan masyarakat dan juga kumpulan sokongan pesakit, adalah diharapkan dapat membantu memperkasa masyarakat awam agar perihatin terhadap permasalahan sosioekonomi bagi pesakit kronik dan orang kurang upaya. Perlu disedari betapa pentingnya faktor sosioekonomi terhadap status kesihatan. Kajian oleh Pusat Kawalan Penyakit (CDC) di Amerika Syarikat mendapati individu yang tidak mempunyai ijazah mempunyai jangka hayat 9 tahun lebih pendek. 


Manakala, individu daripada lingkungan pendapatan tinggi mempunyai jangka hayat 6-8 tahun lebih panjang. Di Malaysia, kajian menunjukkan individu daripada kumpulan sosioekonomi rendah berisiko tinggi untuk mendapat penyakit kronik terutamanya serangan jantung yang merupakan penyebab utama kematian. PAS juga komited untuk menyumbang melalui Skuad Kesihatan Komuniti PAS (SIKAP) yang akan diperkenalkan tidak lama lagi.


Selain itu, Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan PAS mencadangkan kerajaan supaya menaiktaraf Pusat Pemulihan Komuniti (PDK) sedia ada dengan mewujudkan pusat penjagaan sementara (respite care center) yang bertujuan untuk menyediakan kemudahan penjagaan pesakit kurang upaya bagi membolehkan ahli keluarga atau penjaga menghadiri komitmen harian seperti biasa. Dengan adanya kemudahan sebegini, adalah diharapkan dapat memberi peluang kepada penjaga dan keluarga untuk menyara kehidupan seharian tanpa perlu mengabaikan keperluan orang yang tersayang. Malah jika ada komitmen sosial atau ingin bercuti, pusat penjagaan sementara adalah tempatnya untuk memastikan kedua-kedua pesakit kurang upaya dan penjaga dapat menikmati kualiti hidup yang sewajarnya dinikmati oleh rakyat di sebuah negara membangun seperti Malaysia.


Oleh itu, atas iltizam untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang aman dan tenteram dinaungi redha serta keampunan Allah, Lajnah Kebajikan & Kemasyarakatan PAS menyeru kepada kerajaan agar bersegera memastikan segala usaha kebajikan digerakkan bagi menjamin hak dan membela nasib orang kurang upaya di sekeliling kita. Apa yang berlaku kepada mereka adalah ujian buat kita yang masih punya kesihatan akal dan fizikal. Maka pilihan di tangan kita, jangan biarkan pemergian Muhammad Firdaus dipersiakan sebegitu sahaja.


Abdullah Fahmi,
Penyelaras Skuad Kesihatan Komuniti PAS (SIKAP)

0 comments: