Parlimen Medan Dakwah PAS, Bukan Padang Bola

KUALA TERENGGANU: Persidangan parlimen adalah medan dakwah PAS dengan mengemukakan hujah secara ilmu, bertujuan membetulkan pemerintahan dan bukannya bermatlamat untuk merebut kuasa.
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, andai mempunyai niat semata-mata untuk berebut kuasa, ianya bukan menjadi matlamat perjuangan Islam.
Tuan Guru berdalilkan ayat 43 dan 44 surah Taha mengenai seruan berhikmah kepada Firaun dan seruan Rasulullah SAW kepada Raja Muskat, Oman dan Habshah, di mana apabila mereka menerima Islam, jawatan dan kedudukan mereka dikekalkan.
Tegasnya, itulah pendekatan PAS yang tidak sekali-kali bersikap mahu merampas kuasa, malah pernah menyertai perundingan-perundingan kerajaan.
Antaranya ujar beliau, PAS menyertai Majlis Perundingan Ekonomi Negara di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri dengan menghantar wakil membentang cadangan-cadangan berkaitan ekonomi.
“Termasuk Amanah Ikhtiar, itu cadangan kita, tapi Umno ambil, tak mengapalah. Ini ‘tink tank’ kita termasuk Almarhum Ustaz Azizan Abdul Razak, Dato’ Mustafa Ali dan lain-lain antara yang ada sama dalam tu. Bila Mahathir memandang ringan tentang kita, walaupun kita bagi pandangan, kita keluar daripada Majlis Perundingan Ekonomi Negara,” imbasnya pada Dialog Rakyat Bersama PAS di Hotel Vista Tanjung, di sini 31 Oktober lalu.
Malah menurut beliau, ramai pendokong PAS berkhidmat sebagai pensyarah di universiti atau sebagai pegawai kerajaan dengan memberi sumbangan di kementerian dan jabatan.
Ujarnya, walaupun bertembung dengan pihak kerajaan, tetapi beliau tetap berjumpa Perdana Menteri dan menegur kezaliman dilakukan seperti isu royalti minyak Terengganu dan Kelantan serta lain-lain.
Katanya, terpulang kepada kerajaan untuk menerima atau tidak terhadap teguran itu, tetapi PAS sama sekali tidak mengampu.
“Perbahasan kita dengan penuh beradab. Saya nasihatkan Ahli-ahli Parlimen PAS, jangan ikut budaya orang lain. Tapi ada kalangan Ahli Parlimen kita ni jenis juah, jenis sorak. Persidangan parlimen bukan main bola, tapi ada kalangan kita nak buat macam main bola juga, juah.
“Kerana parlimen adalah medan dakwah. Ada pegawai parlimen nama Cikgu Azhar kerja di parlimen sejak zaman Tunku Abdul Rahman dia beritahu saya, hasil daripada perbahasan Ahli Parlimen PAS di parlimen secara hujah, secara ilmu menyebabkan banyak pegawai kerajaan yang mendengarnya sokong kita, pegawai kerajaan dalam parlimen sokong kita.
“Saya duduk di kerusi parlimen ada nota, atas meja saya memberi maklumat, nama tak ada, tak tahulah pegawai mana beri. tapi kita kena ikut adab kita, bukan adab orang lain. Kita ada cara kita,” terangnya.
Menyentuh mengenai usaha menjatuhkan kerajaan, katanya, perkara itu mestilah dilakukan secara demokrasi iaitu boleh menerusi sama ada pilihan raya dan undi tidak percaya.
Terang beliau, kaedah undi tidak percaya mestilah dicadangkan dengan jumlah anggota yang majoriti.
“Hari ini dari 222 kerusi, pembangkang ada 89 kerusi, boleh ke dengan 89 kerusi nak ini perjatuh dengan undi tidak percaya? Kecuali kalau orang Umno undi sama baru boleh jatuh. Ada yang minta supaya PAS sokong undi tidak percaya. Saya kata, pandangan saya, Kerajaan Malaysia ini mesti orang Melayu Islam yang menguasai.
“Bukan saya fanatik Melayu, kerana mengikut agenda politik demokrasi, mestilah kaum yang besar menjadi teras pemerintah negara. Macam selepas Nabi wafat, Quraisy kaum yang besar menjadi pemerintah. Bila Quraisy tak ada, maka Kurdis (kaum) Salahuddin al-Ayubi. Kurdis tak ada, Turki menguasai negara.
“Dalam konteks Malaysia, walaupun kita masyarakat majmuk, mesti Islam Melayu. Saya nak cukup bilang Islam Melayu, kalau cukup Islam Melayu boleh mengubah kerajaan, dan kerajaan nak ubah itu mesti ikut Islam.
“Kalau ubah saja tidak ikut Islam, sekadar ubah saja, macam pakai baju terbaliklah, tukar lepas tu terbalikkan baju, sekadar itu, tidak ada makna, baju tak basuh juga. Sebab itu saya kata, saya tidak akan naik bas ekspres yang tidak sampai destinasi. Saya nak pergi Kuantan, tengok bas pergi Kuala Lipis, naik buat apa?” ujarnya menegas pendirian.
Mengulas tindakan untuk menolak Bajet 2016 dibentangkan Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, katanya tindakan itu tidak menjatuhkan kerajaan, melainkan kerajaan yang bermaruah meletak jawatan apabila bajetnya ditolak dan mengadakan pilihan raya semula.
Bagaimanapun menurut beliau, kerajaan yang tidak ada maruah tidak akan kisah dan tidak akan meletakkan jawatan.
Imbas beliau lagi, PAS pernah membawa usaha menolak bajet ini beberapa tahun lalu dengan mengambil peluang dari jumlah kehadiran Ahli Parlimen kerana bajet boleh ditolak dengan majoriti mudah kelebihan satu undi.
Bagaimanapun, pada masa yang dirancang, Ahli-ahli Parlimen Pembangkang ghairah berhujah menyebabkan Ahli Parlimen Kerajaan dapat memenuhi persidangan dengan jumlah lebih ramai.
“Tak apalah, kita ada sikap kita sendiri, kita boleh berkecuali dalam masalah bajet ini. Kerana ada benda kita setuju, ada yang kita tidak setuju. Bukan semua bajet itu kita tak setuju. Bantuan kemiskinan, bantuan menghadapi banjir, bantuan projek kepada rakyat, ini kita setuju.
“Yang kita tak setuju adalah cara pengurusannya, cara melaksanakan projeknya, ini yang kita tak setuju, banyak yang bocor, itu kita tak setuju. Projek untuk rakyat kita setuju. Dia buat masjid kita setuju dia buat masjid, yang kita tak setujunya kita nak gi ceramah masjid tak boleh,” selorohnya menyebabkan hadirin ketawa.

0 comments: