PAS Kelantan Akan Mengadakan Sambutan 60 Tahun

KOTA BHARU : Bersempena dengan ulang tahun penubuhan PAS Kelantan ke-60 yang telah ditubuhkan pada tahun 1955, Badan Perhubungan PAS Kelantan telah merancang untuk mengadakan satu sambutan khas iaitu Sambutan 60 Tahun PAS Kelantan.
Sambutan besar-besaran ini akan diadakan pada 20 November 2015 (Jumaat), berlangsung selama satu hari dengan pelbagai pengisian dan aktiviti yang padat bermula dari jam 8.00 pagi sehingga ke jam 12.00 malam.
 "Pelbagai pengisian menarik bermula dengan Perasmian dan Kuliah Jumaat di sebelah pagi, Himpunan Muslimat, Himpunan Pemuda, Santai Anak Muda, Himpunan Ulamak, Pertandingan Pidato, Jamuan Rakyat, Solat Hajat, Pengkisahan Suka Duka PAS Kelantan, Penganugerahan Anugerah Tokoh Istiqamah dan kemuncaknya Ceramah Umum di sebelah malam." ujar YB Dato Che Abdullah Mat Nawi, Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan semasa ditemui di pejabatnya semalam.
Selain itu, program ini akan diserikan dengan persembahan dan pelancaran lagu terbaru Kumpulan Nasyid Shoutul Amal, lagu khusus sebagai Tribute untuk Almarhum Tuan Guru Nik Abd Aziz. Juga berlangsung sepanjang hari adalah Pemeran Sejarah PAS, Pameran PAS Kawasan, Pameran Agensi Kerajaan dan Swasta, Pameran Hudud dan Galeri Tok Guru, Karnival Jualan, Zon Riang Ria Kanak-Kanak serta pelbagai lagi pengisian.
Program ini akan berlangsung di Medan Ilmu Kota Bharu serta kawasan sekitar Bangunan PAS Kelantan di Jalan Dato Pati melibatkan penutupan beberapa jalan sekitar sepanjang program berlangsung.
"Setiap PAS Kawasan akan mengadakan program pra sambutan dan penganugerahan Tokoh Istiqamah di peringkat Kawasan masing-masing terlebih dahulu dan dijangka akan selesai sebelum 15 November sebelum Sambutan Peringkat Negeri pada 20 November." tambah Dato Che Abdullah.
Program ini dijangka akan dihadiri oleh 10 000 hadirin sepanjang sehari program berlangsung. Semua kalangan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama dijemput hadir beramai-ramai memeriahkan program ini nanti.

0 comments: