Kes Penukaran Agama : Hormati Kuasa Mahkamah Syariah

Kenyataan Media Penerangan. 53
Rabu, 30 Disember 2015 | 18 Rabi'ul Awwal 1437H
KES PENUKARAN AGAMA : HORMATI KUASA MAHKAMAH SYARIAH
Oleh : Nasrudin bin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat

PAS dengan rasa kesyukuran menyambut gembira keputusan Mahkamah Rayuan yang telah mengesahkan penukaran agama tiga kanak-kanak oleh bapa mereka, Muhd Riduan Abdullah, yang sebelum ini sijil penukaran agama mereka telah dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Sivil Ipoh.
Apa juga keputusan mana-mana mahkamah, pujian amat patut diberikan kepada Sdr. Muhd Riduan Abdullah di atas kesungguhan memelihara aqidah anak-anaknya. Semoga beliau dan anak-anak beliau terus istiqamah bersama Islam.
PAS juga ingin menyampaikan penghargaan di atas penghormatan dan penegasan yang diberikan oleh panel tiga hakim terhadap bidang kuasa Mahkamah Syariah. Diharapkan, keputusan bagi kes ini menjadi rujukan penting bagi mengelakkan timbul lagi pertikaian terhadap status agama seseorang samada melibatkan orang dewasa atau kanak-kanak.
Sebaiknya, peluang daripada kes ini juga dimanfaatkan sepenuhnya oleh Kerajaan untuk memperkasakan institusi Mahkamah Syariah di negara ini sekaligus menjadi ruang bagi meminda Akta 355 seperti yang dituntut oleh PAS.
Semoga Islam dan seluruh syariatnya dapat dilaksanakan dan semakin teguh di bumi Malaysia yang tercinta ini.
Sekian.

0 comments:

[TAZKIRAH & TAUJIHAT] : MANFA’AT BEKALAN DI JALAN DA'WAH

[TAZKIRAH & TAUJIHAT]


Alhamdulillah. Sama-sama kita hadami bab penutup buku "Bekalan di Jalan Da’wah” karangan Sheikh Mustafa Masyhur seperti di bawah. Semoga bermanfaat buat kita semua.


MANFA’AT BEKALAN DI JALAN DA'WAH

"Jalan da’wah adalah jalan kebaikan, jalan jihad, jalan kejayaan, jalan yang kita cintai, jalan menuju Allah, menuju keredaan-Nya dan menuju SyurgaNya. Setiap kali kita berjalan di atas-nya, maka akan bertambahlah kecintaan kita kita keteguhan pegangan kita padanya. Setiap kali kita menemui kepayahan dan gangguan, maka akan semakinbertambah kepercayaan dan keyakinan kita bahawa jalan ini adalah yang benar, jalan yang pernah ditempuh oleh para pendokong da’wah dan jalan kaum Mu’minin.

Kita faham bahawa jalan da’wah penuh dengan godaan, tentangan, dan duri; ia bukan jalan yang ditaburi bunga-bungaan. Meskipun demikian jalan itu berpenghujung pada kebaikan, iaitu kemenangan dan kemantapan di duma serta keni’matan, kebahagiaan, dan selamat dari seksa Allah di Akhirat.

Kita menyedari betapa pentingnya bekalan untuk perjalanan; bekal taqwa dan keimanan yang membantu musafir (aktivis da’wah) untuk membentengi diri dari berbagai godaan dan mengatasi semua tentangan, tanpa ada penyimpangan, duduk tanpa berusaha, kemalasan, atau berpatah balik ke belakang.

Kita juga telah mengetahui bahawa sumber bekalan itu amat banyak; ada sumber yang dapat kita raih di tengah-tengah perjalanan seperti hentian-hentian yang kita temui di sisi-sisi jalan. Kami telah membahaskan sumber-sumber tersebut secara terperinci, sehingga ia dapat dijadikan panduan dalam mengambil bekalan. Namun kami tidak mendakwa bahawa kami telah membahaskan tema tersebut secara menyeluruh. Ini hanya usaha daripada orang yang cetek pengetahuan yang sering mengharapkan taufiq, pertolongan dan rahmat Allah.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
Apa jua jenis rahmat yang dibukakan oleh Allah kepada manusia, maka tidak ada sesuatupun yang dapat menahannya; dan apa jua yang ditahan oleh Allah maka tidak ada sesuatupun yang dapat melepaskannya sesudah itu. Dan (ingatlah) Dia lah sahaja yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.
(Surah Fathir: Ayat 2)

Di akhir buku “Bekalan di Jalan Da’wah” ini kami sebut-kan beberapa faedah bekalan bagi pemiliknya, bagaimana seharusnya keadaan orang yang membawa bekalan dan apa yang diharapkan darinya?

Tanpa bekalan akan berlaku penyimpangan, kesalahan, perselisihan, perpecahan dan kegagalan di tengah perjalanan. Orang yang hanya membawa sedikit bekal akan mudah tunduk dengan pujukan dan tipu daya syaitan serta musuh-musuh Allah yang bersusah-payah memesongkannya dari jalan da’wah atau mengeksploitasinya untuk memporak-perandakan persatuan (jamaah) dan keutuhan barisan.

Sedangkan orang yang membawa bekalan keimanan dan ketaqwaan yang cukup, maka tidak akan mudah terbawa oleh pujukan dan tipudaya syaitan serta musuh-musuh Allah. Keimanan dan ketaqwaannya akan mendorong untuk menjadi penjaga barisan yang dapat dipercayai. Dia memelihara barisan dari keretakan serta dari hal-hal yang dapat mengganggu kesatuan dan kekuatannya. la akan selalu waspada pada pujukan syaitan atau fitnah musuh, hingga dapat membentengi diri darinya.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
Apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar). Sedang saudara (pengikut) Syaitan-syaitan, dibantu oleh Syaitan-syaitan itu dalam melakukan kesesatan, kemudian mereka tidak berhenti-henti (melakukan perbuatan yang sesat lagi menyesatkan itu).
(Surah Al-A’raf: Ayat 201-202)

Jalan da’wah tidak pernah sepi dari orang-orang munafiq. Akan tetapi orang-orang yang memiliki bekal cukup akan dapat membentengi diri dari tipu daya dan fitnah mereka. Sedangkan orang yang hanya memiliki bekal sedikit, akan menjadi santapan mereka. Allah Subhanahu wa Ta’ala telah menjelaskan hal itu dalam firmanNya:

Kalaulah mereka keluar bersama kamu, tidaklah mereka menambahkan kamu melainkan kerosakan, dan tentulah mereka segera menjalankan hasutan di antara kamu, (dengan tujuan) hendak menimbulkan fitnah (kekacauan) dalam kalangan kamu; sedang di antara kamu ada orang yang suka mendengar hasutan mereka.
(Surah At-Taubah: Ayat 47)

Kelompok da’i akan menghadapi berbagai serangan berupa kesangsian dan diperlekehkan, yang dilancarkan oleh musuh-musuh Allah dan para petugasnya. Serangan-serangan tersebut berpusat pada pemahaman, method, sasaran, sarana, pimpinan atau anggota. Namun orang yang membawa bekalan yang cukup tidak akan terpengaruh oleh serangan tersebut, ia akan selalu melakukan penelitian dan membuang prasangka buruk, sebagai menyahut perintah Allah Subhanahu wa Ta’ala:

Wahai orang-orangyang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasiq membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan.
(Surah Al- Hujurat: Ayat 6)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa.
(Surah Al-Hujurat: Ayat 12)

Bekalan di jalan da’wah dapat memelihara pemiliknya dari pemesongan di persimpangan pemikiran atau pergerakan, bekal keimanan dapat mendorong pemiliknya untuk iltizam dengan kitab Allah dan Sunnah RasulNya Sallallahu ‘alaihi wasallam, serta pada pemahaman Al-Salafus Al-Salih yang benar; secara bersih dan menyeluruh (syamil); jauh dari berbagai penyimpangan yang memporak-porandakan umat dan menjadi kelompok-kelompok kecil yang saling bermusuhan. Semoga Allah membalas Imam Al-Syahid Hasan Al-Banna dengan balasan yang baik atas jasanya dalam menyusun dua puluh prinsip sebagai skop pemahaman Islam yang benar dan bersih, jauh dari penyimpangan, bid’ah dan khurafat.

Setelah sepakat pada pemahaman yang benar, para aktivis Islam berbeza pendapat dalam masalah persepsi yang benar dan sempurna tentang perjuangan Islam. Orang yang memiliki bekalan akan terbimbing pada persepsi yang benar dan me­nyeluruh tentang ‘amal Islami, tanpa menjuzu’-juzu’kannya atau mengabuinya. la tidak membatasikan kegiatan kelslaman pada ‘ibadah-’ibadah ritual, melakukan kebajikan, zikir, menuntut ‘ilmu dan sebagainya, akan tetapi mencakupi segala usaha menegakkan negara Islam dan mengembalikan khilafah Islam. Inilah yang selalu ditekankan oleh Imam Hasan Al-Banna.

Kadangkala para pendokong Islam sepakat pada pe­mahaman yang benar dan menyeluruh tentang Islam serta ‘amal Islami (perjuangan), akan tetapi berbeza pendapat tentang strategi dan usaha dalam mencapai sasaran. Orang yang membawa bekal keimanan dan ketaqwaan terdorong untuk meneladani (Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam) dalam menegakkan negara Islam yang pertama, bukan membuat-buat bid’ah; iaitu dengan menanamkan ‘aqidah Islam dalam jiwa dan menyatukan jiwa-jiwa tersebut dengan ikatan ‘aqidah dan ukhuwwah fillah, lalu mempersiapkan kekuatan senjata dan fizikal untuk digunakan di saat sarana yang lain tidak bermakna lagi.

Terpelihara dari perselisihan dalam pemahaman, persepsi, dan method ‘amal tersebut merupakan faedah bekal di jalan da’wah. Dengan itu, Pasukan Al-Rahman (Aktivis Islam) akan menapaki jalan da’wah menuju kemenangan dengan langkah-langkah yang istiqamah dan kesatuan barisan yang kuat. Maha Benar Allah Yang berfirman:

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (ugama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.
(Surah Al-An’am: Ayat 153)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
Dan berpegang teguhlah kamu sekalian kepada tali Allah (agama Islam), dan janganlah kamu bercerai-berai.
(Surah Ali-’Imran: Ayat 103)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
Dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu.
(Surah Al-Anfal: Ayat 46)

Keikhlasan dan bersihnya niat dari sebarang tujuan duniawi merupakan suatu yang perlu di jalan da’wah, agar Allah memberkati segala amal yang dilakukan serta tenaga dan pengorbanan yang dipersembahkan. Allah hanya menerima ‘amal yang diniatkan untuk mencari keredaanNya, tanpa dicampuri oleh riya’ yang boleh meleburkan ‘amal tersebut. Kerana pentingnya keikhlasan, maka Al-Imam Al-Syahid menjadikannya sebagai salah satu rukun dari sepuluh rukun bai’ah. Bekalan keimanan serta ketaqwaan dapat membantu pemilik-nya untuk mencapai keikhlasan dan membersihkan hatinya dari berbagai tujuan duniawi.

Ketika seruan jihad dikumandangkan, orang yang hanya membawa bekalan yang sedikit akan merasa berat untuk menyambutnya; ia lebih cenderung ke bumi dan tewas oleh tarikan-tarikan dunia serta tuntutan-tuntutan fizikal. Dengan itu ia berhak mendapat seksa Allah.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu, apabila dikatakan kepada kamu: “Pergilah beramai-ramai untuk berperang pada jalan Allah”, kamu merasa keberatan (dan suka tinggal meni’mati kesenangan) di tempat (masing-masing)?Adakah kamu lebih suka dengan kehidupan dunia daripada akhirat? (Kesukaan kamu itu salah) kerana kesenangan hidup di dunia ini hanya sedikitjua berbanding dengan (kesenanqan hidup) di akhirat kelak. Jika kamu tidak pergi beramai-ramai (untuk berperang pada jalan Allah -membela agamaNya), Allah akan menyeksa kamu dengan azab seksayang tidak terperi sakitnya dan la akan menggantikan kamu dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat mendatangkan bahaya sedikitpun kepadaNya. Dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu.
(Surah At-Taubah: Ayat 38-39)

Sedangkan orang yang memiliki bekalan cukup akan segera menyambut seruan jihad fi sabilillah dengan jiwa dan hartanya, saat pertama kali dikumandangkan. Slogan yang selalu diingat adalah: “Jihad di jalan Allah adalah jalan kami.”

Orang yang hanya membawa bekalan sedikit akan hidup untuk dirinya sendiri dan bakhil mengeluarkan apa yang dimiliki untuk perjuangan. Sedangkan orang yang membawa bekalan cukup akan mengorbankan apa saja yang dimiliki; waktu, tenaga, pemikiran, kesihatan, harta, jiwa dan lainnya. Seluruhnya dikorbankan dengan mudah kerana yakin bahawa yang di sisi Allah lebih baik dan lebih kekal.

Para penda’wah yang menapaki jalan da’wah akan menghadapi tribulasi, tekanan yang kuat, dan berbagai fitnah. Orang yang tidak membawa bekalan akan mudah meninggalkan da’wah, lemah, menyerah dan tidak tegar, bahkan mungkin barisan akan terancam gara-gara itu semua. Ini sangat berbahaya. Akan tetapi orang yang membawa bekalan akan teguh menghadapinya, bahkan tekanan dan fitnah itu akan menambah keimanannya lagi; ia akan bersandar pada Allah untuk memohon keteguhan padaNya. Allah akan meneguhkannya dan memberikan kemenangan kepadanya, sebagaimana yang telah difirmankan olehNya:

Dan bila masa orang-orang yang beriman melihat tentera Al-Ahzaab, berkatalah mereka:” Inilah yang telah dijanjikan Allah dan. RasulNya kepada kami dan benarlah (apa yang telah dijanjikan) Allah dan RasulNya “Dan (angkatan tentera musuh yang mereka lihat) itu tidak memberi sebarang kesan kepada mereka selain daripada menambahkan iman danpenyerahan diri mereka bulat-bulat kepada Allah.
(Surah Al-Ahzab: Ayat 22)

Allah Subhanahu waTa’ala berfirman:
Mereka juga ialah yang diberitahu oleh orang-orang (pembawa berita) kepada mereka: “Bahawa kaum (kafir musyrik) telah mengumpulkan tentera untuk memerangi kamu, oleh itu hendaklah kamu gerun kepadanya”. Maka berita itu makin menambahkan iman mereka lalu berkata: “Cukuplah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami).”
(Surah Ali-’Imran: Ayat 173)

Orang yang menapaki jalan da’wah akan menghadapi pelbagai usaha licik dari pihak-pihak tertentu, agar ia memberi keta’atan pada prinsip lain atau pada peribadi lain. Orang yang tidak membawa bekalan mungkin akan terpengaruh oleh segala usaha usaha tersebut, bahkan mungkin menyambutnya. Akan tetapi orang yang membawa bekalan akan taat setia hanya kepada da’wah dan jama’ahnya. Sebab ia merupakan setinggi-tinggi, sesempurna-sempurna dan semulia-mulia da’wah. Pendokong da’wah tidak memberikan sebarang taat setia kepada orang kafir atau kepada mana-mana musuh Allah, sebab taat setianya hanya pada Allah, RasulNya dan orang-orang yang beriman.

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
Sesungguhnya Penolong kamu hanyalah Allah, dan RasulNya, serta orang-orang yang beriman.
(Surah Al-Ma’idah: Ayat 55)

Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:
Dan orang-orang yang beriman, lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengahnya yang lain.
(Surah At-Taubah: Ayat 71)

Orang yang memiliki bekalan, memiliki neraca tersendiri, teguh pendirian, dan menghargai secara sepatutnya segala urusan. la tidak seperti lalang, yang terbawa oleh tiupan angin ke mana sahaja, terombang-ambing oleh sebarang aliran pemikiran. la menimbang segala urusan dengan neraca syari’at, serta melakukan segala tindakan dengan hati-hati dan iltizam pada ajaran Islam.

Orang yang membawa bekalan yang sedikit akan cenderung untuk malas, tidak produktif, dan tidak mampu memikul tugas-tugas besar serta penting. Sedangkan orang yang membawa bekalan yang cukup akan lebih bertenaga, giat beramal, produktif, percaya kepada diri sendiri, berkemahuan kuat, mampu menghadapi pelbagai keadaan dan mampu memikul tugas-tugas penting serta berbagai kewajiban.

Pendokong da’wah, tentera ‘aqidah, dan orang yang memiliki bekal dapat menyedari peri pentingnya dia dalam barisan serta menyedari tanggungjawab yang ada dipundaknya. Oleh itu, ia bersusah payah menunaikan kewajibannya dengan baik dan menempati kedudukannya dengan tetap, iltizam dengan ajaran Islam dan ta’at pada pimpinan, baik di waktu susah mahupun senang, selama tidak mengandungi unsur maksiat. Tanpa bekalan akan berlaku kelengahan, kelalaian dan kegagalan dalam menjalankan tugas-tugas.

Pendokong da’wah mestilah menjadi teladan yang baik bagi orang lain; ia tidak menyalahi nilai-nilai, kefahaman, dan hal-hal penting yang diserukannya kepada manusia. Sebaik-baik bekalan yang dapat membantunya untuk mewujudkan hal di atas adalah bekal taqwa dan keimanan yang membolehkan ia merasa diawasi oleh Allah di waktu sunyi mahupun ketika keramaian, dan mendorongnya untuk meneladani sebaik-baik teladan; Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam.

Orang yang memiliki bekalan, akan memiliki prihatin terhadap persoalan-persoalan kaum Muslimin dan dunia Islam, la turut merasakan harapan-harapan serta prihatin pada penderitaan-penderitaan mereka. la menyambut panggilan kewajiban yang harus ditunaikan buat saudara-saudaranya di bahagian bumi mana pun. Sebab seluruh kaum Muslimin itu seperti satu tubuh. Sesiapa yang tidak peduli dengan urusan kaum Muslimin, maka ia bukan dari golongan mereka.

Bekalan di jalan da’wah dapat membantu pemiliknya untuk jujur dengan janjinya serta setia pada bai’ahnya, tidak mengganti atau mengubahnya sehingga bertemu dengan Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Allah Ta’ala berfirman:
Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun. (Berlakunya yang demikian) supaya Allah membalas orang-orang yang benar disebabkan kebenaran mereka.
(Surah Al-Ahzab: Ayat 23-24)

Kesimpulannya, bekalan di perjalanan dapat menjadikan pemiliknya sebagai pendokong penda’wah contoh yang memahami agamanya dengan sebenarnya dan menyeluruh; jauh dari kekeliruan atau penyimpangan; menyedari kewajiban-kewajiban yang telah ditetapkan oleh Islam untuknya; mengikhlaskan seluruh ‘amal yang dilakukan hanya kepada Allah dan mencari redaNya; memahami tahap-tahap ‘amal, sasaran, dan sarananya serta tidak menyalahinya; dan meyakini bahawa jihad adalah jalan yang di tempuh oleh para pendokong da’wah. Untuk itu, persiapkanlah dirimu untuknya. Korbankanlah segala yang dimiliki untuk perjuangan fisabilillah, prihatinlah terhadap saudara-saudaranya yang sama-sama dalam satu barisan, darjatnya yang terendah ialah “Kosongkan dada dari segala perasaan tidak senang terhadap mereka” dan puncaknya adalah “Ithar”.

Tetap pada kebenaran dan dalam berjihad untuk mencapai tujuan, meskipun jalannya panjang dan memerlukan waktu yang lama, hingga bertemu Allah dalam keadaan seperti itu. Tulus pada da’wah serta jama’ahnya. Terbebas dari prinsip selainnya dan dari berbagai peribadi atau tokoh. Thiqah (percaya) pada Tuhannya, da’wahnya, jama’ahnya dan pemimpinnya. Kepercayaan yang tidak bercampur dengan kebimbangan dan keraguan. Iltizam dengan segala perintah selama tidak melakukan maksiat, dan melaksanakan kewajiban-kewajiban sebagai pendokong da’wan dengan tulus dan jujur.

Demikianlah, dan kita berharap agar manfa’at “bekal” dapat kembali pada pemiliknya dan mudah-mudahan ia menjadi seperti yang diharapkan. Allah-lah yang memberi taufiq dan membimbing ke jalan yang lurus."

Siiru 'ala barakatillah, teruskan perjuangan!

0 comments:

Sekolah Yik mula jam 8.00 pagi tahun depan

KOTA BHARU: Bermula sesi persekolahan tahun baru pada 3 Januari 2016, semua pelajar Yik akan memulakan sesi pengajian mereka bermula jam 8.00 pagi.

Ia akan berlarutan sehigga bulan Jun berikutan perubahan waktu siang lebih singkat berbanding malam.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, langkah itu diambil berikutan waktu Subuh semakin lewat.
Katanya, pada awal Januari waktu Subuh bermula jam 6.04 bagi zon satu dan paling lewat sehingga pukul 6.14 pagi.

“Kami tidak mahu ibu bapa serta pelajar menunaikan solat Subuh dalam keadaan tergesa-gesa di rumah kerana ingin ke sekolah.

“Untuk itu saya selaku exco yang berkaitan pendidikan Islam, berharap ibu bapa memastikan anak-anak menunaikan solat Subuh di rumah terlebih dahulu sebelum ke sekolah,” ujarnya.
 
Beliau bagaimanapun berkata, sesi persekolahan akan kembali sebagaimana biasa bermula 1 Julai iaitu 7.30 pagi setelah situasi itu kembali pada biasa. – HARAKAHDAILY 29/12/2015

0 comments:

Kampung Mutiara ; Sampai Bila ?

Bukit Bendera : Isu Kampung Mutiara kembali panas apabila penduduk kampung tersebut sekali lagi digemparkan dengan berita perobohan rumah yang dirancang berlaku pada hari Selasa baru-baru ini. Para penduduk rata-ratanya mengharapkan satu keputusan konkrit dari kerajaan negeri yang diwakili oleh DAP yang dilihat dapat membantu menyelesaikan masalah ini.
Isu Kampung Mutiara ini sudah berlarutan sejak dari tahun 2007 di mana ketika itu kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah tampok kepimpinan Barisan Nasional dan secara khususnya Gerakan. Setelah beralih tangan ke Pakatan Rakyat, isu ini masih lagi gagal diselesaikan. Bailif yang diterima oleh penduduk adalah hampir setiap tahun.
Pada hari Selasa tersebut, keadaan kawasan disekitar Kampung Mutiara sudah mulai sesak dengan orang ramai sejak dari jam 7.00 pagi. Ketika kejadian, penduduk telah memenuhkan ruang jalan masuk ke kampung dengan kenderaan bagi menghalang jentolak dari masuk dan melakukan perobohan. Kejadian kemarin dilihat terkawal walaupun pihak FRU turut dihantar untuk mengawal dan meleraikan insiden seperti tunjuk perasaan seandainya berlaku.
Lajnah Tanah PAS Pulau Pinang khususnya telah memainkan peranan dalam usaha mencari titik penyelesaian. Gerak kerja ini juga turut melibatkan Lajnah Tanah PAS Pusat dan saf kepimpinan PAS Kawasan Bukit Bendera. Usaha ini telah dijalankan sejak dari PRU 12 tanpa mengira latar belakang penduduk kerana ia adalah isu kemanusiaan. Kepimpinan Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang kini dilihat lebih bersungguh di dalam isu yang membabitkan rakyat marhaen ini.
Turut hadir kelmarin adalah Pesuruhjaya PAS Perak, Tuan Haji Razman merangkap Pengerusi Lajnah Tanah PAS Pusat, Tuan Haji Yaakob, Pengerusi Lajnah Tanah PAS Pulau Pinang, YB Dato Che Lah, Exco Kerajaan Negeri Kelantan merangkap Setiausaha Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan, para pemimpin Badan Perhubungan PAS Pulau Pinang, saf kepimpinan Lajnah Tanah PAS Pulau Pinang dan saff kepimpinan PAS Kawasan Bukit Bendera. Terima kasih juga diucapkan kepada seluruh jemaah PAS yang turut serta kelmarin.
Menurut sumber, proses perobohan ini ditangguh selama sebulan lagi. Diharapkan agar isu ini hdapat diselesaikan dengan cara yang lebih bersifat perikemanusiaan.
#Save_Kampung_Mutiara
Asyrul F.
Ketua Penerangan
PAS Kawasan Bukit Bendera
30 Disember 2015M bersamaan 18 Rabiul Awwal 1437H

0 comments:

Jadikan Tahun 2016 Untuk Membela Rakyat Tertindas

Perutusan Tahun Baharu 2016 Pesuruhjaya PAS Kedah?
‘JADIKAN TAHUN 2016 UNTUK MEMBELA RAKYAT TERTINDAS’

1. Alhamdulillah kerana Allah masih menyambung nafas kita, memberi peluang untuk melangkah kaki memasuki tahun 2016. Meskipun batasan antara tahun dalam kalendar Masihi hanyalah perbezaan angka dan tidak membawa apa-apa makna seperti tahun Hijrah; namun realiti kehidupan moden hari ini mengambilkira kehadiran tarikh baru sebagai permulaan pelbagai agenda.

2. Di Kedah, 1 Januari 2016 adalah tarikh berkuatkuasanya kenaikan kadar cukai tanah yang menekan rakyat pembayar cukai. Tahun baharu juga akan menekan rakyat dengan kenaikan tarif elektrik, pertambahan yuran persekolahan pelajar sekolah, peningkatan tambang pengangkutan awam, kenaikan harga beras ST15 serta bermacam lagi kenaikan. Ekoran kenaikan tersebut, maka para peniaga juga akan mengurang atau mengelak kerugian dengan menaikkan harga jualan. Maka bebanan kenaikan kos sara hidup yang kini sudah cukup untuk dideritai rakyat, makin bertambah.
3. Apa yang ditanggung rakyat kini adalah harga yang terpaksa dibayar oleh mereka akibat salah membuat perhitungan dalam beberapa kali pilihanraya umum. Negara telah diurustadbir oleh kelompok yang meletakkan kepentingan diri dan kroni, melebihi kepentingan rakyat terbanyak. Kebejatan yang diwarisi menyebabkan harta kekayaan hanya berlegar di sekitar golongan tertentu sahaja, sedangkan rakyat bawahan menderita. Ia menepati amaran Allah SWT yang bermaksud: “Harta kekayaan tidak harus berlegar hanya dalam kalangan orang kaya dalam kalangan kamu” (Surah Al-Hasyr : 7)

4. Segala cerita lara perihal kesengsaraan rakyat tidak harus terus diratapi tanpa kesudahan dan tindakan. Rakyat mesti mempunyai agenda besar untuk merubah situasi yang ada seterusnya meletakkan negara di atas landasan yang betul. Kita berada dalam dalam demokrasi, maka rakyat mempunyai pilihan terbaik untuk menyahkan sebuah kerajaan yang gagal – melalui landasan demokrasi. Jadikanlah kemunculan 2016 sebagai medan membakar kesedaran rakyat untuk bangkit memperjuangkan kehidupan yang lebih baik. Semoga semangat ini tidak padam sehingga PRU14 nanti.

5. Sangat bermakna juga kita jadikan kemunculan tahun baharu 2016 sebagai garisan baru untuk berhijrah menambah keimanan dan ketaqwaan kepada Allah SWT. Firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kalian kerjakan.” (Surah Al-Hasyr: 18). Tiada yang lebih mahal harganya bagi orang beriman, melainkan keredhaan Allah.

6. Saya mengambil kesempatan menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama dengan Parti Islam SeMalaysia (PAS) untuk menyokong dan mendokong kebenaran, bertegas mencegah kemungkaran yang muncul dalam apa jua bentuk dan ketika, memantapkan perpaduan di kalangan rakyat, menyebarkan kebaikan untuk semua serta membela golongan rakyat yang dhaif dan tertindas.

Selamat Tahun Baharu 2016.

Dr Ahmad Fakhruddin bin Fakhrurazi?
Pesuruhjaya PAS Kedah.

0 comments:

TPPA: Kerajaan Tidak Boleh Gadai Kepentingan Rakyat

Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) dilihat bertentang arah dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Peluang yang diberi kepada bumiputera dengan sekatan kepada kaum lain atas alasan untuk imbangan ekonomi antara kaum.

Setelah hampir 60thn pelaksanaan DEB masih tidak mencapai sasaran. Sasaran 30% ekuiti bumiputera masih pada kadar di bawah 20% dan pemilikan bangunan komersial Bumiputra masih di bawah 10%.

TPPA difahamkan memberi hak kepada pelabur asing. Syarikat asing negara anggota TPPA hendaklah dilayan seperti pelabur tempatan dan harus diberi hak bersaing untuk perolehan kerajaan.
Pelabur asing juga tidak boleh dikenakan sebarang syarat seperti pemindahan teknologi, syarat input, aliran kewangan dan modal, sekatan terhadap keuntungan atau syarat perjawatan. Lebih membimbangkan sekiranya kerajaan tidak mematuhi perjanjian (mencabuli perjanjian) kerajaan boleh dihadapkan ke Mahkamah Tribunal Antarabangsa.

Dilihat perkara ini mempunyai implikasi yang besar kepada ekonomi dan masa depan rakyat. Permainan ekonomi di padang yang tidak sama rata dan tahap kemahiran yang berbeza boleh membawa negara kepada risiko besar.

Sebelum memuktamadkan persetujuan menyertai perjanjian TPPA ini adalah disarankan supaya kerajaan mendapat pandangan pakar daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Persoalan pertama yang perlu dijelaskan kenapa negara-negara membangun seperti Indonesia dan Thailand yang dianggap setaraf Malaysia tidak menyertai perjanjian ini. 

Penulis ialah AJK PAS Pusat yang juga Pesuruhjaya PAS Perak.

0 comments:

PANDANGAN AWAL TENTANG KES ZULKIFLI: TERTUDUH KES MEMBUNUH ORANG YANG DIDAKWA MEROMPAK RUMAHNYA


PANDANGAN AWAL TENTANG KES ZULKIFLI: TERTUDUH KES MEMBUNUH ORANG YANG DIDAKWA MEROMPAK RUMAHNYA

Oleh: Zaharudin Muhammad. [ https://m.facebook.com/story.php… ]

Saya terbaca facebook selamatkan zulkifli yang menceritakan bahawa beliau telah membunuh pencuri atau perompak rumah beliau. Zulkifli ditahan semula setelah pertuduhan dibuat dibawah seksyen 302 Kanun Keseksaan dan tidak cukup dengan itu tambah lagi bawah seksyen 326.

Menurut berita yang diviralkan, mahkamah dijadualkan bersidang pada 24 Januari depan. Sekitar 25 hari dari sekarang. sebagaimana dikhabarkan, jika sebelum ini ketika direman 14 hari, keluarga tak dapat berniaga makanan malah diceroboh lagi rumah dengan beberapa kecurian dari penagih dadah yang makin bertambah di kawasan sekitar, apakan pula yang berlaku selama 26 hari sebelum perbicaraan ini?

Dari sudut pandangan Islam, pencuri yang telah sabit dengan bukti atau pengakuan, maka kerajaan Islam wajib melaksanakan hukuman memotong tangan sebagaimana firman Allah swt di dalam surah Al-Maidah ayat 38. Ia tidak boleh dilaksanakan oleh mana-mana individu atau kelompok kecil masyarakat tanpa kerajaan Islam yang berdaulat. Dalam kes rompak pulak, jika ia merompak dan mengambil harta tetapi tidak membunuh, maka hukumannya dipotong sebelah tangan dan sebelah kakinya. Jika ia merompak, mengambil harta dan membunuh mangsa, maka dijatuhkan hukuman dibunuh dan disalib (gantung mayatnya). Hukuman mengerikan ini bagi memberikan kebebasan kepada seluruh rakyat. Bukan kebebasan serta keberanian kepada perompak.

Jika ditakdirkan, seseorang mampu menyekat perompak dengan melawan dan didapati tiada jalan lain melainkan dengan membunuhnya, maka membunuh perompak pada waktu itu adalah harus dari segi syariat.

Sememangnya kes seperti ini diperlukan maklumat lengkap dan tepat diperlukan kerana hukuman akan berbeza disebabkan berbezanya keadaan seperti situasi (1) perompak yang telah ditangkap, diikat kemudian dibunuh oleh tuan rumah atau (1) perompak yang dibunuh ketika berlawan dengan tuan rumah (2) atau perompak yang dibunuh ketika lari dari rumah atau (3) perompak yang tersalah bunuh oleh tuan rumah seperti menembak senapang patah untuk memberi amaran, tetapi terkena tepat pada perompak (4) dan lain-lain.

Dari segi Islam, tuan rumah agak sukar hendak disabitkan kesalahan membunuh sengaja sehingga layak dibunuh balas dalam kes ini zulkifli dijatuhkan hukuman gantung. Ini berdasarkan perbahasan ulama berkenaan status darah perompak adakah mahdar (halal) darahnya atau tidak? Jika mahdar, maka tuan rumah hanya dikenakan takzir, bukan qisas seperti dalam situati (1) di atas.

Ini berdasaran kepada hadis di bawah:
من قتل دون ماله فهو شهيد، ومن قتل دون أهله فهو شهيد، ومن قتل دون دينه فهو شهيد، ومن قتل دون دمه فهو شهيد.
Maksudnya: Barangsiapa yang mati kerana mempertahankan hartanya, maka ia syahid. Barangsiapa yang mati kerana mempertahankan keluarganya, maka ia syahid. Barangsiapa yang mati mempertahankan agamanya, maka ia syahid. Barangsiapa yang mati mempertahankan darahnya (dirinya) maka ia syahid. - (Hadis riwayat Imam Ahmad dan lafaz yang sama terdapat di dalam Sahih Bukhari dan Muslim).

Menurut Imam Nawawi di dalam Syarah Sahih Muslim: hadis ini adalah bab yang menunjukkan bahawa barangsiapa yang berniat mengambil harta orang lain tanpa jalan yang benar, maka yang berniat demikian adalah mahdar darahnya. Saya tidak cenderung mahdar diterjemah dengan makna halal kerana ia membawa faham bahawa halal dibunuh. Tetapi Mahdar di sini bermaksud, barangsiapa yang membunuhnya tetap bersalah, tetapi terlepas daripada hukum Qisas atas sebab status si pesalah adalah Mahdar darahnya.

Dari sudut yang lain, Islam memuliakan mereka yang berani melawan perompak sebagaimana maksud hadis di atas. Di dalam Tuhfah Al-Ahwazi, Syarah Sunan Tarmizi menyebut bahawa mempertahankan harta dengan maksud mempertahankan hartanya daripada diambil oleh orang lain secara zalim.

Mempertahankan keluarga pula ditafsirkan sebagai mempertahan kemaluan (al-budh'i) isteri atau kaum keluarga yang perempuan. (Sesiapa yang mendalami hadis ini, dia akan faham betapa pentingnya mempertahankan aurat isteri ketika dharurat sekalipun seperti aurat ketika bersalin di hospital dan lain-lain sebagaimana yang telah saya nyatakan di dalam buku saya sebelum ini).

Di dalam satu riwayat lain (sebagai lanjutan hadis di atas), seorang lelaki datang bertanya nabi SAW jika ada penceroboh datang merompak hartanya. Nabi menjawab, jangan kamu beri. Apa pandangan kamu jika ia ingin membunuhku? Jawab rasulullah, bunuhlah dia (lawan balik). Beliau bertanya lagi, apa pandangan kamu jika ia membunuhku? maka jawab baginda saw, "maka mati anda adalah syahid."

Dalam kes zulkifli ini (jika si mati adalah perompak yang sedang merompak), apa yang saya dapat pastikan ialah:

1. Tiada hukuman bunuh balas melainkan hanya dalam kemungkinan yang sangat kecil sebagaimana dinyatakan di atas.

2. Hukuman reman adalah zalim kerana perlaksanaan reman hari ini memberikan kesan kepada ekonomi keluarga serta memudaratkan keluarga itu sendiri. Dalam Islam, penjara dibenarkan dalam beberapa keadaan seperti seseorang yang mengambil harta awam (seperti kes rasuah atau audit finding hari ini), maka hukumannya ialah si pesalah dipenjarakan sehingga keluarga si pesalah membayar semua duit yang telah diambil.

Maka penjara menurut Islam di dalam kes ini bersifat paksaan supaya si pesalah dan keluarganya mengembalikan hak orang ramai bagi memastikan pihak lain tidak terbeban. Jika keluarga si pesalah yang dipenjarakan berhadapan dengan masalah kewangan akibat suami (sebagai contoh) dipenjarakan, maka menjadi tanggungjawab baitulmal (bahagian sumber al-fai' / hasil bumi dll) untuk membantu mereka.

Tetapi hari ini, reman adalah satu prosedure rutin bagi memudahkan pihak berkuasa menyoal siasat atau dengan alasan takut si pesalah lari. Di zaman Saidina Umar, si pesalah (yang sudah dibicarakan) kes bunuh daripada Syam bukan sahaja tidak direman, bahkan dibenarkan pulang menyelesaikan kes wasiatnya tanpa seorang pengiringpun (polis). Kemungkinan melarikan diri d zaman itu jauh lebih tinggi berbanding Malaysia hari ini kerana sempadan negara islam yang sangat luas dan Syam pula sangat hampir dengan sempadan Rom yang memusuhi Islam.

Apapun saya menyatakan solidariti saya terhadap Zulkifli yang dizalimi dengan hukuman reman. Saya berdoa supaya keluarga beliau tabah menghadapi ujian ini.

Sekian.


Saya rujuk FB di bawah dan beberapa sumber lain. 

0 comments:

Surat Terbuka Kepada TPM: Solusi (Seng)sara Hidup

“Yusuf menjawab: Hendaklah kamu bertanam tujuh tahun seperti biasa, kemudian apa yang kamu tuai biarkanlah dia pada tangkai-tangkai; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makanan.” (Yusuf: 47)

Datuk Seri,

Malaysia berhadapan dengan situasi ekonomi yang mencabar.

Pertumbuhan KDNK diunjur malar, ringgit hilang kadar, defisit kian melebar, inflasi terus menjalar, hutang kerajaan makin mengakar.
Rakyat juga berhadapan dengan situasi ekonomi yang sangat mencabar, kesan kenaikan cukai yang perlu dibayar dan harga semua barangan di pasar, menyebabkan tabungan semakin sukar,

Datuk Seri,

Kerajaan dilihat mengambil formula mudah untuk mengatasi cabaran ini, iaitu - cukai dinaikkan, subsidi dikurangkan.

GST menjadi senjata utama kerajaan, atau dalam erti kata lain, poket rakyat yang menjadi sasaran. Bagi setiap perbelanjaan rakyat, tanpa mengira kaya atau miskin, sejumlah 6% daripada nilai setiap pembelian akan diserahkan kepada Putrajaya untuk dibelanjakan, dengan jumlah terkumpul mencecah RM30 bilion tahun ini, dan RM40 bilion pada tahun hadapan.

Rakyat perlu membayar lebih untuk makanan dan minuman. Subsidi gula telah dihapuskan sejak 2013, manakala subsidi beras, tepung, minyak masak dan tarif elektrik juga akan dikurangkan pada 2016, yang pastinya memberi kesan langsung kepada perbelanjaan harian golongan bawahan dan pertengahan.

Rakyat juga perlu membayar lebih untuk belanja pengangkutan. Subsidi bahan api dikurangkan sejak 2014 menyebabkan harga RON95 diapungkan setiap awal bulan, walaupun harga minyak dunia jatuh 60% sejak 2014. Kadar tol dinaikkan pada Oktober 2015 bagi mengelak kerajaan membayar dua bilion pampasan. Kenaikan tambang bas, LRT, ERL, keretapi dan bas sekolah sudah tidak dapat dielakkan. Semuanya menjadi punca inflasi tolakan-kos yang terus membebankan.

Datuk Seri,

Tindakan kerajaan yang memungut cukai berganda tetapi dikurangkan subsidi, umpama seorang bapa yang mendapat kenaikan gaji, namun dikurangkan pula duit saku kepada anak dan isteri.

Sewajarnya, dalam keadaan rakyat terpaksa berjimat, kerajaan perlu lebih berhemat.

Pertama, pastikan kerajaan tidak lagi memohon bajet tambahan, sebagaimana biasa dilakukan oleh kerajaan.

Kedua, kerajaan perlu mengemukakan plan rasionalisasi gaji dan emolumen 1.5 juta penjawat awam, melalui inisiatif transformasi penjawat awam yang menekankan aspek kompetensi, prestasi, produktiviti dan inovasi. Dengan bajet RM70 bilion pada 2016 - tiga kali ganda lebih besar berbanding bajet subsidi RM26 bilion, banyak yang boleh dijimatkan. Selain dikaji saiz kabinet yang terlalu besar, setiap Menteri boleh menunjukkan teladan dengan pemotongan 20% gaji bulanan, serta dihapuskan ‘subsidi’ elaun tol, minyak, percutian, dan keraian, supaya kalian dapat merasai bebanan golongan bawahan.

Ketiga, rakyat tiada akses pada semua perjanjian penswastaan kerajaan, yang kami fikir wajar dikajisemula.

Rakyat tiada akses pada perjanjian konsesi tol yang telah mendapat keuntungan berganda, yang kami kira, wajar dirunding-semula. Rakyat tiada akses pada pembelian tenaga oleh TNB terhadap IPP yang mengaut untung berjuta, yang kami hitung wajar ditulis-semula. Rakyat tiada akses pada keuntungan dan royalti Petronas, yang kami congak, wajar diagih rata. Rakyat tiada akses pada tender dan kontrak kerajaan, yang kami anggar, wajar diberi secara telus dan terbuka.

Datuk Seri,

Inilah realiti yang menghimpit rakyat setiap hari, jauh dari kemewahan hidup para menteri dan isteri.

Besarlah harapan agar Malaysia dilimpahi ekonomi yang diberkati, dan politik yang mewujudkan harmoni, dalam keadaan tunduk dan patuh kepada hukum Ilahi.

Penulis ialah Pengarah Strategi DPPM

0 comments:

SEKS BAWAH UMUR : PENDIDIKAN PERGAULAN DAN BERSOSIAL MENURUT PERSPEKTIF ISLAM PATUT DITEKANKAN

Kenyataan Media
Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat (DUPP)
SEKS BAWAH UMUR : PENDIDIKAN PERGAULAN DAN BERSOSIAL MENURUT PERSPEKTIF ISLAM PATUT DITEKANKAN
1. Statistik oleh Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, merekodkan daripada sejumlah 6,910 kes rogol yang dilaporkan bagi tahun 2013 hingga 2015, 52% kes rogol tersebut adalah membabitkan gadis bawah umur iaitu 1,424 kes pada 2013, 1,243 kes pada 2014 dan 920 kes sehingga Oktober 2015. Lebih merisaukan, daripada 52% itu, kira-kira 90% adalah kategori suka sama suka manakala hanya 10% sahaja ketegori paksaan.
 2. Berhubung isu ini, terdapat dua (2) isu utama yang perlu diberikan perhatian dan tindakan segera oleh semua pihak khususnya Kerajaan. PERTAMA, langkah-langkah membendung gejala ini dan KEDUA, hukuman ke atas pesalah dan pembelaan ke atas mangsa.
3. Sekiranya Pendidikan Seks atau Pendidikan Kesihatan Reproduktif yang mahu diperkenalkan nanti oleh Kerajaan hanya tertumpu pada aspek undang-undang dan kesihatan serta keselamatan, ia adalah sesuatu yang sia-sia dan berpotensi besar menggalakkan lagi gejala ini kerana ia tanpa sedar menjadi seumpama kempen ‘safe & healthy sex life’ seperti di negara-negara Barat.
4. Sepatutnya, pendidikan pergaulan dan bersosial menurut perspektif Islam dijadikan panduan utama dan diberikan penekanan kepada masyarakat sebagai kaedah pencegahan yang berkesan untuk melindungi masyarakat tidak kira usia dan jantina daripada jenayah rogol dan zina.
5. Adab berziarah seperti memberi salam dan meminta izin yang dianjurkan Islam adalah bertujuan menjaga privasi seseorang yang ada di dalam sesebuah rumah atau bilik justeru dapat memelihara maruahnya daripada terdedah kepada orang lain dan dapat melindungi tetamu tersebut daripada melihat perkara-perkara yang boleh merosakkan iman serta menaikkan nafsunya.
6. Adab pergaulan antara lelaki dan perempuan seperti menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan serta etika berpakaian adalah tersangat penting untuk kembali diberikan penekanan serius terutamanya di sekolah-sekolah lebih-lebih lagi dalam keadaan statistik menunjukkan data yang demikian.
7. Anjuran bernikah pula adalah ubat yang paling mujarab disediakan oleh Islam dalam aspek membendung gejala sosial ini. Masyarakat khususnya ibu bapa mesti menggalakkan dan memudahkan urusan perkahwinan anak-anak. Manakala Kerajaan pula mesti membantu menyediakan insentif tertentu bagi meringankan beban pasangan yang bakal berkahwin.
8. Adapun pada aspek hukuman ke atas pesalah dan pembelaan ke atas mangsa, takrif rogol, kaedah pendakwaan dan perbicaraan serta hukuman ke atas pesalah dan hak-hak mangsa yang digunapakai sekarang hendaklah disemak semula dan diselarikan dengan undang-undang jenayah syariah yang telah ditetapkan oleh Islam.
Sekian.
“Beristiqamah Hingga Kemenangan”
DATO' DR. MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI AT-TAKIRI
Rabu, 30 Disember 2015 | 18 Rabiulawal 1437 H

0 comments:

Kelantan Realisasi Penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri


Kelantan Realisasi Penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri

1) YAB Ustaz Dato’ Menteri Besar Kelantan pada hari ini 16 Rabiul Awwal 1437H bersamaan 28 Disember 2015M telah merasmikan Penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri Kelantan. Sebelum ini, Pendakwaan Syariah adalah terletak di bawah seliaan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEIK).

2) Pengasingan ini adalah bertujuan untuk menjamin kewibawaan, integriti dan ketelusan pentadbiran sama ada dari aspek penguatkuasaan, pendakwaan dan juga kehakiman. Pewujudan Jabatan Pendakwaan Syariah juga akan memberi ruang kepada perkembangan fungsi keadilan dan peningkatan keupayaan pendakwaan yang lebih baik, profesional, efisen dan lebih bersistematik.
3) Selain itu, ia juga dapat membantu proses pengukuhan keupayaan pendakwaan untuk menambahbaik perkhidmatan yang diberikan, meningkatkan kecekapan pengurusan pendakwaan, serta meningkatkan kualiti sistem penyampaian perkhidmatan secara fokus dan komprehensif.

4) Sehingga Ogos 2015, 11 negeri telah mendapat perakuan, kelulusan dan perkenan oleh Majlis Agama Islam Negeri-Negeri berkaitan cadangan pewujudan Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri, termasuklah Negeri Kelantan. Maka dengan penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah ini, Kelantan adalah negeri pertama di Malaysia yang merealisasikan penubuhan Jabatan Pendakwaan Syariah yang berasingan dari sudut pentadbiran dengan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN).

5) YAB Ustaz Dato’ Haji Ahmad Yakob ketika berucap merasmikan jabatan tersebut berkata:

“Dengan tertubuhnya Jabatan Pendakwaan Syariah Negeri ini, ianya akan memacu satu entiti utama dalam mewujudkan proses keadilan berdasarkan hukum Syarak dan juga peruntukan undang-undang. Usaha Kerajaan Negeri untuk melaksanakan Kanun Jenayah Syariah telah kita persiapkan semua sekali, baki lagi hanya berada di kuasa kerajaan Persekutuan untuk memberi kelulusannya. Alhamdulillah hasrat untuk Kerajaan Negeri siapkan persediaan dengan sempurna telah berjaya pada tahun 2015 ini, mudah-mudahan usaha kita ini dipermudahkan untuk fasa pelaksanaan nanti.”



Laporan Oleh : Setiausaha Akhbar kepada YAB Menteri Besar Kelantan
16 Rabiul Awwal 1437

0 comments:

Ekonomi Muram: Kecil Kabinet, Buang Menteri Kontroversi

Kejatuhan harga minyak dan ketidakstabilan mata wang Ringgit menyebabkan senario ekonomi negara pada tahun 2016 dijangka sangat membimbangkan.

Kedudukan terkini bebanan yang dihadapi oleh rakyat sudah di tahap mencekik leher. Laporan pemberhentian pekerja oleh pelbagai sektor dengan jumlah ribuan pekerja, serta kenaikan kos hidup yang kini amat memuramkan suasana sosiopolitik negara.

Ombak kemelesetan ekonomi sudah dirasai meskipun kerajaan yang suka bermain dengan nombor-nombor statistik dengan rakyat enggan mengakui secara terbuka. Tapi sekurang-kurangnya ada seorang timbalan menteri yang secara tidak langsung mengakui keadaan kian meruncing sehingga beliau sanggup mencadangkan agar rakyat Malaysia bekerja #2kerja untuk menampung kehidupan. Meskipun cadangan itu menghiris perasaan rakyat, tapi ia adalah satu pengakuan realiti semasa oleh seorang ahli parlimen Umno.
Bagi PAS, sebelum mencadangkan langkah-langkah yang patut diambil oleh rakyat untuk mengatasi kemelut ekonomi, eloklah kerajaan yang dipimpin Umno memandang cermin terlebih dahulu dan mengambil pelbagai tindakan segera untuk mengurangkan ‘kos sara hidup’ kerajaan.

Tindakan segera ini perlu diambil untuk mengelakkan situasi panik di kalangan rakyat bawahan. Rakyat perlu dibebaskan daripada menampung kerajaan yang 'high maintenance' kerana sikap perbelanjaan pemimpinnya yang boros, membazir dan tidak ekonomi.

Berikut ada beberapa cadangan yang boleh dilaksanakan segera:

1. Mengurangkan saiz kabinet agar ia sesuai dengan nisbah negara. Menteri dan timbalan menteri yang sering memberikan cadangan kontroversi boleh dibuang agar pembelanjaan mengurus kerajaan dapat dikurangkan.

2. Menyemak kembali peruntukan gila Jabatan Perdana Menteri yang sangat besar dengan mengurangkan kakitangan kontrak bergaji tinggi di Jabatan Perdana Menteri dan menyalurkan peruntukan itu ke sektor pendidikan.

3. Jabatan Perdana Menteri juga harus menghentikan kewujudan agensi baru dan syarikat milik kerajaan yang baru dan misteri yang mempunyai fungsi bertindih dengan agensi kerajaan sedia-ada untuk disalurkan dana dan kerajaan juga perlu menamatkan jawatan duta khas bertaraf menteri kerana ini jawatan bertindih.

4. Potongan gaji sebanyak 20% bagi Menteri dan Timbalan Menteri agar mereka memahami keperitan untuk mencari pendapatan lain dengan bekerja #2kerja.

5. Menghapuskan elaun tol dan minyak Menteri dan Timbalan Menteri dan pegawai kanan kerajaan agar mereka dapat merasai keperitan rakyat.

6. Mengurangkan perlantikan konsultan luar untuk projek kerajaan dan memasukkan klausa agar tuntutan ganti rugi dapat dibuat sekiranya cadangan yang dibuat konsultan luar tidak mendatangkan hasil.

7. Tidak menuntut bajet tambahan untuk 2016. Segala keperluan tambahan perlu ditampung menggunakan kaedah penjimatan dan mengurangkan pembaziran.

8. Mengurangkan kadar GST secara berperingkat dan cukai pendapatan bagi mereka berpendapatan sederhana untuk meninggikan pendapatan boleh guna seisi rumah. Kerajaan tidak boleh sesekali menaikkan GST untuk menaikkan pendapatan.

9. Menghapuskan GST ke atas keperluan pendidikan seperti baju, kasut, beg sekolah, buku latihan dan teks bahkan perlu dipertimbangkan subsidi ke atas bahan pendidikan sehingga peringkat universiti. Jangan biarkan GST menyusahkan perjalanan pendidikan negara dan rakyat marhen.

10. Meletakkan setiap transaksi dan kontrak yang melibatkan kerajaan pusat secara online.

11. Mengurangkan perbelanjaan dalam sektor pertahanan.

12. Melakukan rundingan semula semua perjanjian yang berat sebelah yang memberi impak kepada pembelanjaan rakyat seperti tol dan pengangkutan awam.

13. Mengurangkan cukai untuk penerbangan domestik bagi rakyat Malaysia.

14. Menggunakan penerbangan komersial untuk semua lawatan rasmi kerajaan. Kelayakan Tiket Penerbangan Domestik dan Antarabangsa bagi penjawat awam, termasuk menteri ialah Kelas Ekonomi. Mengurangkan lawatan rasmi kerajaan dan jumlah ahli yang menyertai rombongan rasmi.

15. Mengurangkan jamuan makan dan minum di semua peringkat kerajaan serta menghapuskan pemberian hadiah dan mengurangkan iklan, penggunaan bunting dan banner untuk penganjuran persidangan atau majlis-majlis kerajaan.

16. Menangguhkan program PLKN sehingga keadaan ekonomi negara pulih.

Cadangan-cadangan di atas tidak susah dilaksanakan. Yang diperlukan hanyalah keikhlasan, kesungguhan dan komitmen kepada ‘ciri-ciri tatakelola kerajaan yang baik’ atau good governance.

Kepada kerajaan pimpinan Umno, jika hendak membuat cadangan, buatlah cadangan untuk memperbaiki diri sendiri dulu. Hentilah retorik dan memberikan nasihat tidak masuk akal kepada rakyat. Dan jangan salahkan orang lain atas kesusahan rakyat kerana tiada lagi yang pernah memerintah negara selain BN sejak merdeka.


DATUK TUAN IBRAHIM TUAN MAN
Timbalan Presiden PAS
17 Rabiul Awal 1437 / 29 Disember 2015

0 comments: